Topic followed successfully
Go to BHkuM’sia teroka tenaga nuklear susulan perang Asia Barat
M’sia teroka tenaga nuklear susulan perang Asia Barat
Bertujuan kurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil
M’sia teroka tenaga nuklear susulan perang Asia Barat
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia sedang meneroka potensi tenaga nuklear, langkah strategik sebagai tindak balas terhadap krisis tenaga sejagat yang tercetus ekoran ketegangan Amerika Syarikat-Israel dengan Iran serta penutupan Selat Hormuz.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata langkah yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 itu amat penting.
Ia bertujuan memperkukuh jaminan tenaga negara dalam jangka masa panjang di samping menyokong agenda tenaga bersih.
Beliau menjelaskan bahawa pergolakan di Asia Barat, termasuk gangguan terhadap laluan perbekalan tenaga utama seperti Selat Hormuz, telah memberi kesan buruk kepada pasaran dan bekalan tenaga dunia.
Dalam konteks itu, katanya, tenaga nuklear mampu menawarkan penjanaan beban asas yang stabil dan rendah karbon.
Dengan itu, kebergantungan kepada bahan api fosil dapat dikurangkan.
“Keperluan menilai potensi dan kebolehlaksanaan tenaga nuklear semakin relevan menyusuli perubahan landskap tenaga dunia yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik serta ketidakstabilan bekalan dan harga bahan api,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Free Malaysia Today.
Datuk Fadilah berkata beberapa negara Asean juga sedang menilai semula peranan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian sumber tenaga.
Filipina menyasarkan pembangunan tenaga nuklear berkapasiti sehingga 4,800 megawatt menjelang 2050, manakala Vietnam turut memasukkan semula tenaga nuklear dalam pelan pembangunan tenaga negara.
Indonesia juga, tambah beliau, sedang meneroka potensi penggunaan reaktor modular kecil termasuk reaktor terapung sebagai penyelesaian tenaga bersih yang fleksibel untuk negara kepulauan dengan sasaran menjelang 2030.
Menurut Datuk Fadillah, MyPower Corporation, agensi di bawah kementeriannya, telah dilantik sebagai Pertubuhan Pelaksana Program Tenaga Nuklear (Nepio), bagi menerajui usaha persediaan pembangunan program tenaga nuklear negara.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan penghargaan kepada Iran dan menghargai keputusan negara itu membenarkan kapal minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.
Datuk Anwar berkata keputusan awal Iran itu membolehkan kapal minyak Malaysia dan pekerjanya meneruskan perjalanan pulang.
“Saya ambil kesempatan juga ucapkan terima kasih kepada Presiden Iran (Encik Masoud Pezeshkian), kerana awal memberi laluan dan sekarang kita dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja yang terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan pulang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas mengenai langkah strategik menangani krisis tenaga berikutan perang di Asia Barat ketika ini.
Datuk Anwar berkata Malaysia turut terkesan berikutan peperangan di rantau itu dan penutupan Selat Hormuz.

