SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kuota petrol RON95 bersubsidi warga M’sia diselaras sementara kepada 200 liter sebulan mulai 1 Apr

Kuota petrol RON95 bersubsidi warga M’sia diselaras sementara kepada 200 liter sebulan mulai 1 Apr

Mar 26, 2026 | 4:28 PM

Kuota petrol RON95 bersubsidi warga M’sia diselaras sementara kepada 200 liter sebulan mulai 1 Apr

Subsidi petrol, RON95, M’sia
Kuota petrol RON95 bersubsidi untuk warga Malaysia dijangka dipotong daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan mulai April, berikutan kenaikan kos bahan api ekoran konflik Asia Barat yang berlarutan. - Foto MALAYSIAKINI

KUALA LUMPUR: Meskipun Putrajaya masih mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 ($0.64 sen) seliter, Kerajaan Perpaduan mengambil langkah menyelaraskan sementara kelayakan petrol bersubsidi itu daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar menyusuli ketidaktentuan pasaran minyak sejagat dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia, dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.

Beliau berkata penyelarasan berkenaan tidak menjejas sebahagian besar pengguna memandangkan data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.

“Kita (sudah) meneliti apakah penggunaan Budi95 (petrol bersubsidi) ini mencukupi.

“Kita dapati, purata penggunaan Budi95 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, maka tidak terjejas.

“Oleh itu, kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan Budi95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026.

“Langkah ini tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas pada 26 Mac, berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga dunia berikutan konflik di Asia Barat, hari ini.

Pada masa sama, Datuk Anwar menegaskan inisiatif Budi95 kekal pada harga RM1.99 seliter selain had siling bagi e-panggilan (e-hailing) dan pekerja gig sehingga 800 liter turut dikekalkan.

“Maka untuk meringankan beban rakyat, saya tegaskan Budi95 kekal pada RM1.99 seliter.

“Kita turut kekalkan had siling sehingga 800 liter (bagi pekerja gig dan e-hailing) mengambil kira tanggungjawab mereka, pekerjaan mereka, dan urusan yang mereka harus lakukan,” katanya.

Terdahulu, organisasi berita kewangan, ‘The Edge’, yang memetik sumber yang tidak dinamakan, melaporkan kuota bulanan petrol RON95 bersubsidi untuk warga Malaysia yang layak dan ditetapkan pada 300 liter sebulan, akan dikurangkan kepada 200 liter.

Sumber itu menjelaskan, apabila had 200 liter telah habis digunakan, pengguna akan dikenakan harga pasaran (apungan).

Pada 25 Mac, Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi naik 60 sen seliter dari 26 Mac hingga 1 April.

Harga diesel di Semenanjung Malaysia pula melonjak 80 sen kepada RM5.52 seliter.

Ia merupakan kenaikan mendadak untuk minggu ketiga berturut-turut bagi RON97 dan diesel di Semenanjung sejak 11 Mac.

Ia sebahagian daripada usaha kerajaan menyelaraskan harga bahan api domestik dengan tekanan berterusan pasaran minyak sejagat.

Kementerian Kewangan juga merancang mengawal pembelian diesel, terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan, dalam usaha mengekang ketirisan subsidi dan penyeludupan.

Serentak itu, Kerajaan Malaysia mengukuhkan bantuan sasaran untuk mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api, dengan menaikkan pembayaran subsidi bahan api menerusi Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi kepada RM300 pada Mac 2026, berbanding RM200 sebelum ini.

Harga minyak mentah Brent, yang melonjak kepada hampir AS$120 setong lebih dua minggu lalu pada 9 Mac, menyusut kepada AS$94.49 setong pada 26 Mac.

Kenaikan itu lebih 33 peratus daripada harga AS$70.84 pada 26 Februari lalu, sebelum perang meletus.

Konflik Asia Barat dijangka berlarutan.

Media antarabangsa melaporkan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menolak tawaran Amerika Syarikat mengenai perjanjian untuk menamatkan perang dan menegaskan bahawa Teheran tidak berhasrat berunding.

“Ketika ini, dasar kami adalah meneruskan tentangan,” katanya dalam siaran televisyen negara, sambil menambah bahawa Amerika yang kini bercakap mengenai rundingan menunjukkan Washington sudah mengakui kekalahan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg