Topic followed successfully
Go to BHkuDiplomasi telefon Pakistan hubungkan Washington, Teheran dalam usaha tamat perang
Diplomasi telefon Pakistan hubungkan Washington, Teheran dalam usaha tamat perang
Diplomasi telefon Pakistan hubungkan Washington, Teheran dalam usaha tamat perang
ISLAMABAD: Pakistan kini muncul sebagai pengantara penting dalam usaha meredakan konflik antara Amerika Syarikat dengan Iran, apabila negara itu giat menyampaikan mesej antara kedua-dua pihak melalui saluran diplomatik tidak langsung.
Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, mengesahkan rundingan antara Washington dengan Teheran sedang berlangsung melalui komunikasi yang disalurkan oleh Islamabad sebagai pengantara.
“Terdapat spekulasi yang tidak perlu dalam media berhubung rundingan damai untuk menamatkan konflik di Asia Barat.
“Hakikatnya, rundingan tidak langsung Amerika-Iran sedang berjalan melalui mesej yang disampaikan oleh Pakistan,” katanya menerusi hantaran di wadah X.
Menurut beliau, Amerika telah mengemukakan pelan 15 perkara yang “sedang dipertimbangkan oleh Iran”, menandakan wujudnya asas awal untuk rundingan walaupun ketegangan masih tinggi.
Peranan Pakistan tidak terhad kepada penyampaian mesej semata-mata, malah melibatkan usaha diplomasi intensif melalui panggilan telefon dengan pemimpin dunia.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif, dilaporkan telah berhubung dengan sekurang-kurangnya 20 pemimpin antarabangsa dalam tempoh seminggu.
Ia termasuk Presiden Iran Masoud Pezeshkian; Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman; Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi serta Presiden Turkey Recep Tayyip Erdogan.
Selain itu, beliau turut berhubung dengan pemimpin dari Azerbaijan, Bahrain, Bangladesh, Indonesia, Jordan, Kuwait, Lebanon, Malaysia dan Uzbekistan.
Pada masa sama, Encik Ishaq Dar turut mengadakan perbincangan dengan beberapa diplomat kanan termasuk Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi; Menteri Luar Amiriah Arab Bersatu, Encik Abdullah bin Zayed Al Nahya; Menteri Luar Iraq, Encik Fuad Hussein; serta wakil Kesatuan Eropah, Cik Kaja Kallas.
Ketua Tentera Pakistan, Syed Asim Munir, pula dilaporkan memberi tumpuan khusus kepada komunikasi dengan Presiden Donald Trump.
Seorang pegawai kanan Pakistan mendedahkan bahawa Encik Sharif turut mengadakan perbincangan panjang selama beberapa jam dengan Presiden Iran pada 9 Mac, sehari selepas pelantikan pemimpin tertinggi baharu Iran.
Jurucakap Kementerian Luar, Encik Tahir Andrabi, menegaskan rundingan itu masih dalam peringkat awal dan tidak harus dilihat sebagai satu peristiwa segera.
“Berkaitan masa, lokasi dan jadual, butiran itu akan diumumkan kemudian. Usaha kami adalah satu proses, bukan satu acara,” katanya.
Walaupun terdapat perkembangan positif dalam komunikasi, Teheran dilaporkan masih berwaspada terhadap niat Washington.
Sumber di Islamabad menyatakan bahawa minggu ini dianggap kritikal bagi menentukan sama ada rundingan boleh menghasilkan kemajuan sebenar.
Iran dikatakan masih menilai cadangan Amerika dengan penuh berhati-hati, khususnya kerana faktor ketidakpercayaan yang berlarutan.
Dalam masa sama, Pakistan menegaskan bahawa usaha diplomatik tidak hanya bergantung kepada satu negara.
Encik Ishaq Dar turut memuji peranan negara lain seperti Turkey dan Mesir yang memberikan sokongan kepada inisiatif damai tersebut.
“Pakistan kekal komited sepenuhnya untuk mempromosikan keamanan dan akan terus melakukan segala usaha bagi memastikan kestabilan di rantau ini dan seterusnya,” katanya.
Beliau menambah dengan tegas: “Dialog dan diplomasi adalah satu-satunya jalan penyelesaian.”
Usaha diplomatik ini berlaku ketika rantau Asia Barat terus bergolak susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sejak 28 Februari.
Konflik tersebut telah mengorbankan lebih 1,300 nyawa, termasuk kepimpinan tertinggi Iran, dan mencetuskan tindak balas ketenteraan daripada Teheran.
Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara jiran seperti Jordan dan Iraq, selain negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika.
Serangan balas itu bukan sahaja menyebabkan kemalangan jiwa dan kerosakan prasarana, malah turut mengganggu pasaran sejagat serta sektor penerbangan antarabangsa.
Dalam keadaan ini, usaha Pakistan dilihat sebagai salah satu saluran penting untuk mengelakkan konflik daripada terus merebak menjadi krisis serantau yang lebih besar.
Namun, dengan jurang kepercayaan yang masih luas antara Washington dengan Teheran, kejayaan rundingan itu masih belum dapat dipastikan. – Agensi berita.

