SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Trump tangguh serangan ke atas aset tenaga Iran, dakwa rundingan ‘berjalan baik’

Trump tangguh serangan ke atas aset tenaga Iran, dakwa rundingan ‘berjalan baik’

Tarikh akhir dilanjut hingga 6 Apr; beri bayang akan ambil alih sumber minyak Iran
Mar 27, 2026 | 11:16 AM

Trump tangguh serangan ke atas aset tenaga Iran, dakwa rundingan ‘berjalan baik’

iran, rundingan
Wanita Iran berjalan berhampiran poster mantan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, ketika menghadiri pengebumian mangsa konflik antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran. Gambar dirakam di tanah perkuburan Behesht Zahra, selatan Teheran, Iran, pada 26 Mac. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menangguhkan tarikh akhir untuk melancarkan serangan ke atas aset tenaga Iran sehingga 6 April, dalam satu langkah yang dilihat sebagai percubaan membuka ruang kepada rundingan di tengah konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Encik Trump berkata keputusan itu dibuat atas permintaan Teheran, sambil menegaskan rundingan antara kedua-dua pihak kini menunjukkan perkembangan positif walaupun suasana keseluruhan kekal tegang.

“Rundingan sedang berlangsung dan, walaupun terdapat kenyataan yang tidak tepat daripada media, ia berjalan dengan sangat baik,” katanya menerusi platform Truth Social.

Namun, kenyataan tersebut muncul dalam suasana mesej yang bercanggah dari Washington, ketika pendekatan diplomatik dan tekanan ketenteraan dilihat berjalan seiring.

Sebelum ini, Encik Trump menafikan beliau terdesak untuk mencapai perjanjian damai, walaupun Iran memberikan respons dingin terhadap pelan keamanan yang dikemukakan Amerika.

Dalam perkembangan sama, tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini terus dilanjutkan, mencerminkan bahawa tekanan terhadap Teheran masih berterusan meskipun pintu rundingan belum ditutup sepenuhnya.

Pada 21 Mac lalu, Encik Trump memberikan tempoh 48 jam kepada Iran untuk membuka laluan penting di Selat Hormuz kepada kapal tangki minyak, sambil mengancam memusnahkan loji tenaga negara itu sekiranya gagal mematuhi tuntutan tersebut.

Kini, tempoh itu telah dilanjutkan buat kali kedua.

“Seperti yang diminta oleh pemerintah Iran, saya menangguhkan tempoh pemusnahan loji tenaga selama 10 hari sehingga 6 April 2026, pada 8 malam waktu Timur,” katanya.

Walaupun penangguhan itu memberi isyarat kemungkinan penyelesaian diplomatik, Encik Trump dalam masa sama tidak mengendurkan retorik keras terhadap Iran.

Dalam satu mesyuarat Kabinet yang disiarkan, Encik Trump berkata Iran sebenarnya berada dalam keadaan terdesak dan sedang mencari jalan keluar daripada konflik.

“Mereka mahu membuat perjanjian. Sebabnya, mereka telah mengalami tekanan yang sangat besar,” katanya, sambil mendakwa Iran semakin hampir untuk “menyerah”.

Beliau juga memberi bayangan bahawa Amerika mungkin mengambil alih sumber minyak Iran, dengan membuat perbandingan kepada pendekatan Washington terhadap Venezuela sebelum ini.

Utusan Khas Encik Trump, Encik Steve Witkoff, memaklumkan terdapat “isyarat kukuh” daripada Teheran bahawa rundingan mungkin dapat diteruskan.

Beliau mengesahkan buat kali pertama bahawa Amerika telah menghantar pelan tindakan 15 perkara kepada Iran melalui perantara Pakistan.

“Kita akan lihat ke mana arah rundingan ini dan sama ada kita boleh meyakinkan Iran ini adalah titik perubahan tanpa pilihan lain selain mengelakkan lebih banyak kemusnahan,” katanya.

Namun, di pihak Iran, respons yang diterima menunjukkan jurang yang masih ketara antara kedua-dua pihak.

Agensi berita Tasnim melaporkan Teheran telah mengemukakan jawapan rasmi terhadap cadangan tersebut melalui saluran tidak langsung dan kini menunggu maklum balas Washington.

Menurut laporan itu, Iran menetapkan beberapa syarat utama, termasuk menghentikan serangan oleh Amerika dan Israel serta jaminan bahawa konflik tidak akan berulang.

Teheran turut menuntut pampasan bagi kerosakan perang serta pengiktirafan terhadap kedaulatannya ke atas Selat Hormuz, yang disifatkan sebagai “hak semula jadi dan sah”.

Seorang pegawai kanan Iran menyifatkan cadangan Amerika sebagai “tidak seimbang dan tidak adil”.

“Cadangan itu pada asasnya meminta Iran melepaskan keupayaan mempertahankan diri sebagai pertukaran kepada pelan yang tidak jelas untuk menarik balik sekatan,” katanya.

Beliau turut menegaskan setakat ini, “tiada aturan rasmi untuk rundingan”, manakala usaha oleh Turkey dan Pakistan masih tertumpu kepada merapatkan perbezaan antara kedua-dua pihak.

Sumber tersebut juga menyatakan Iran menyifatkan seruan rundingan oleh Amerika sebagai satu “helah”.

“Ia bertujuan menggambarkan Amerika sebagai pencari keamanan, mengekalkan harga minyak rendah dan memberi masa untuk persiapan ketenteraan lanjut,” katanya.

Walaupun wujud perbincangan diplomatik, konflik di lapangan terus memuncak.

Israel mendakwa telah membunuh Komander Tentera Laut Iran, Encik Alireza Tangsiri, dalam satu serangan terbaru bersama beberapa pegawai kanan lain.

Serangan tersebut merupakan sebahagian daripada gelombang pengeboman yang berterusan sejak konflik bermula pada 28 Februari.

Seorang wartawan agensi berita, AFP, di Teheran melaporkan bunyi pesawat perang dan beberapa letupan kuat, manakala media Iran melaporkan serangan di bandar utama seperti Isfahan, Shiraz, Bandar Abbas dan Tabriz.

Ketegangan turut merebak ke negara Teluk apabila serpihan peluru berpandu Iran yang dipintas menyebabkan kematian di Abu Dhabi, selain serangan dron yang menyasarkan Arab Saudi dan Kuwait.

Iran menuduh negara Teluk sebagai pangkalan pelancaran bagi serangan Amerika, satu dakwaan yang dinafikan oleh negara berkenaan.

Di Israel, tekanan terhadap pemerintah semakin memuncak apabila Ketua Pembangkang, Encik Yair Lapid, memberi amaran keupayaan tentera negara itu kini berada di ambang had operasi.

“Tentera sudah beroperasi pada tahap yang sangat tinggi hingga hampir melampaui kemampuan.

“Pemerintah menghantar mereka ke medan tempur tanpa strategi yang jelas dan tanpa sumber yang mencukupi,” katanya.

Jurucakap tentera Israel turut mengakui lebih ramai anggota diperlukan untuk menghadapi konflik pelbagai medan, termasuk di sempadan Lebanon.

Dalam masa sama, Encik Trump mendakwa Iran telah membenarkan 10 kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz sebagai tanda kesediaan untuk berunding.

Namun, ketidaktentuan mesej dari Washington terus memberi kesan kepada pasaran sejagat.

Harga minyak yang sebelum ini menurun kembali meningkat, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap kemungkinan gangguan bekalan tenaga. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg