SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ketibaan pelancong ke M’sia meningkat walau konflik Asia Barat meruncing

Ketibaan pelancong ke M’sia meningkat walau konflik Asia Barat meruncing

M’sia catat 2.83 juta pelawat antarabangsa bagi tempoh 1 hingga 26 Mac, naik 2.4% berbanding 2025
Apr 1, 2026 | 3:02 PM

Ketibaan pelancong ke M’sia meningkat walau konflik Asia Barat meruncing

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing. - Foto fail

Sektor pelancongan Malaysia kekal berdaya tahan walaupun konflik di Asia Barat semakin meruncing, dengan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa pada Mac meningkat 2.4 peratus.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata Malaysia mencatat sejumlah 2.83 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh 1 hingga 26 Mac, meningkat 2.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2025 dengan 2.77 juta pelancong.

Menurutnya, Asean kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 2.09 juta ketibaan pelawat, mencerminkan pertumbuhan 0.6 peratus berbanding Mac 2025.

“Asia Timur pula merekodkan 407,171 ketibaan pelawat, meningkat 12.8 peratus dengan China mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 22.7 peratus.

“Pelawat dari Asia Barat pula hanya mencatat 4,398 ketibaan, penurunan ketara sebanyak 40.3 peratus tahun ke tahun, mencerminkan kesan ketegangan geopolitik yang berterusan.

“Eropah mencatat 124,824 ketibaan, meningkat 5.2 peratus, manakala Oceania merekodkan antara peningkatan tertinggi iaitu 20.2 peratus kepada 33,127 pelawat ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada 31 Mac.

Menurut Datuk Tiong, angka itu jelas menunjukkan walaupun sesetengah pasaran terjejas akibat konflik geopolitik, sektor pelancongan Malaysia terus disokong oleh pertumbuhan kukuh di rantau utama, khususnya di Asia dan Asean.

Sebelum ini firma penyelidikan TA Research dalam nota penyelidikannya, berkata kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) berkemungkinan terjejas, berikutan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat serta perubahan sentimen sejagat.

Menurut TA Research, sasaran tinggi kempen itu untuk mencapai 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa dan RM329 bilion hasil pelancongan mungkin terkesan oleh cabaran ekoran konflik perang Amerika Syarikat-Israel dan Iran.

Datuk Tiong berkata Malaysia juga terus menerima suntikan keyakinan daripada rakan syarikat penerbangan sejagat, apabila setakat ini tiada sebarang pembatalan laluan penerbangan direkod, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran ekonomi semasa.

Perkembangan itu katanya dilihat sebagai petanda positif terhadap kekuatan sektor penerbangan dan pelancongan Malaysia, dengan beberapa syarikat penerbangan bukan sahaja mengekalkan operasi, malah, memperkenalkan laluan baru serta memperluaskan perkhidmatan sedia ada.

Menurut beliau antara perkembangan terkini termasuk kemasukan dan peluasan operasi syarikat seperti Air Algerie, Aero Dili dari Timor-Leste, serta perkhidmatan Nok Air bagi laluan Bangkok-Kuala Lumpur yang dijadual bermula Julai ini.

Datuk Tiong menambah, sebagai maklum balas terhadap perkembangan semasa, kementerian itu akan memberi tumpuan strategik yang lebih besar kepada pasaran berprestasi tinggi dan stabil, khususnya di rantau Asean dan Asia.

“Pasaran keutamaan termasuk China, Indonesia, Thailand, Jepun, Republik Korea, India, Bangladesh dan Vietnam.

“Pada masa sama, penglibatan dengan pasaran baru dan jarak jauh seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Russia, Perancis, Jerman, Australia, Timor-Leste, Ukraine, Denmark, Switzerland, Turkey dan Poland akan diteruskan bagi memastikan kepelbagaian dan daya tahan jangka panjang,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg