Topic followed successfully
Go to BHkuWarisan Melaka bak hubungkan dunia Melayu dengan S’pura
Warisan Melaka bak hubungkan dunia Melayu dengan S’pura
Kepelbagaian Melaka sudah terbina dalam DNA kota ini sejak ia muncul sebagai pelabuhan
Warisan Melaka bak hubungkan dunia Melayu dengan S’pura
Perasaan yang timbul setibanya saya di Melaka sama seperti sebelumnya – sejarah di sini tidak hanya tersimpan dalam muzium semata-mata.
Bahkan, ia mengalir ke jalan-jalan, menyelinap dalam hembusan angin, dan berdenyut-denyut seiring gaya kota lama.
Namun sebelum saya membiarkan diri ditarik sepenuhnya ke Bandar Hilir, saya sengaja membelok ke Masjid Tengkera, sebuah masjid yang, anehnya, terlepas daripada kunjungan saya dalam lawatan-lawatan terdahulu.
Berdiri di situ bukan sekadar menyinggah di destinasi yang ‘wajib lawat’, tetapi lebih seperti melangkah ke sebuah jambatan hidup yang menghubungkan dunia Melayu dengan Singapura.
MASJID TENGKERA DAN DETIK PENTING SEJARAH SINGAPURA
Masjid Tengkera, yang juga dikenali sebagai Tranquerah Mosque, siap dibina pada tahun 1728, dan seni binanya menceritakan satu hakikat penting: Melaka sejak dahulu merupakan titik pertemuan pelbagai latarbelakang.
Islam yang ditonjolkan di sini bukan dalam satu bentuk.
Sebaliknya, masjid ini dibentuk oleh Melaka maritim, bumbung bertingkat, warisan kayu, dan yang paling menonjol, menara berbentuk pagoda yang secara halus mencerminkan budaya berbilang bangsa dalam bandar pelabuhan itu.
Islam di sini hadir bukan sebagai kuasa paksaan, tetapi sebagai sebuah tamadun yang belajar hidup bersama estetika tempatan dan realiti sosial – namun tetap kekal jati dirinya.
Namun, yang menjadikan masjid ini terasa dekat di hati bukan sekadar disebabkan keindahan seninya.
Masjid itu menyimpan satu kisah yang menghubungkannya secara langsung dengan detik penting dalam sejarah moden Singapura.
Sultan Hussein Shah, tokoh utama yang menandatangani perjanjian bersama Sir Stamford Raffles dan Temenggong Abdul Rahman di Singapura pada 6 Februari 1819, wafat di Melaka pada tahun 1835 dan disemadikan di Masjid Tengkera.
Apabila berdiri berhampiran makamnya, Singapura terasa tiba-tiba lebih dekat daripada sekadar jarak Koswe.
Masa depan pulau itu, dan dunia politik Melayu yang lebih luas, tidak lagi kelihatan sebagai babak abstrak sejarah namun sebaliknya menjadi jejak langkah, makam, dan ruang yang dapat dirasakan tatkala berada di sana.
Apabila saya bertanya Tengku Shawal, keturunan generasi ketujuh Sultan Hussein, tentang bagaimana Sultan mengakhiri hayatnya di sini, beliau berkongsi sesuatu yang amat menyentuh hati.
Menurutnya, Sultan Hussein menghabiskan tahun-tahun terakhir hidupnya sebagai seorang noja, iaitu pegawai masjid.
Menggalas peranan itu, beliau membantu imam, mengurus hal ehwal harian masjid, dan berkhidmat kepada masyarakat dalam suasana keagamaan.
Ia merupakan satu pengakhiran yang merendahkan hati bagi seorang tokoh yang pernah berada di pusat kuasa politik dan barangkali juga satu pengakhiran yang sarat dengan makna.
Mungkin di situlah terletaknya kekuatan tersirat, Masjid Tengkera.
Apabila melangkah keluar dari lamannya yang tenang, kita tidak sekadar kembali sebagai ‘pelancong Melaka’, tetapi kembali ke dunia hari ini, dunia di mana sejarah terpaksa berkongsi ruang dengan arus pemodenan perancangan bandar, pembangunan, dan sebuah kota yang sentiasa berkembang untuk generasi akan datang.
Masjid itu mengingatkan saya bahawa masa silam kita mengalir merentasi laut dan sempadan.
Beberapa minit kemudian, pengalaman berjalan-jalan meninjau Melaka pula mengingatkan saya bahawa masa terus berlalu, kadang-kadang pantas, dan membentuk semula landskap secara berterusan.
MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA, DATARAN MERAH, JONKER STREET
Selepas melawat Masjid Tengkera, saya menuju ke Bandar Hilir, dan perbezaannya terasa mengejutkan.
Sebentar tadi saya berdiri di ruang yang membuatkan sejarah berabad lamanya terasa dekat.
Dengan sekelip mata, saya kemudian melangkah masuk ke sebuah bandar yang dibentuk semula dengan penuh kemodenan.
Banyak jalan raya kini mempunyai laluan pejalan kaki, bersih dan tersusun.
Saya teringat akan Mahkota Parade, dan kemudian menyedari sesuatu yang lain: bangunan-bangunan baru yang ditubuhkan atas tanah tambak, membuktikan bahawa garis pantai Melaka pun tidak terkecuali daripada proses penciptaan semula.
Selepas makan tengah hari di Tony Roma’s di Mahkota Parade, kami mendaftar masuk ke Hatten Hotel, dan disajikan pemandangan indah menghadap Tapak Warisan Dunia Unesco Bandar Bersejarah Melaka.
Lawatan saya ke Muzium Istana Kesultanan Melaka bukan sekadar bersiar-siar dalam galeri, bahkan lebih seperti menyelami sistem operasi sebuah tamadun.
Pamerannya bukan sekadar memaparkan artifak, tetapi menjelaskan bagaimana Melaka berfungsi – daripada pemerintah dan institusi, kepada undang-undang laut dan rentak kuasa yang pernah mentadbir Selat Melaka.
Busana tradisional dari pelbagai negeri Melayu dipamerkan bersama penjelasan tentang protokol istana, mengingatkan bahawa apa yang kini kita sebut sebagai ‘kepelbagaian serantau’ suatu ketika dahulu bergerak dalam satu alam politik dan budaya Melayu yang dikongsi bersama.
ASAS KEKUATAN KESULTANAN MELAKA
Yang paling menarik perhatian saya ialah carta institusi Kesultanan Melaka, satu peringatan visual jelas bahawa ini bukan sebuah kerajaan yang tidak tersusun, tetapi sebuah negara yang berstruktur.
Peranan Sultan, Bendahara, Temenggong, Laksamana dan pegawai lain ditakrifkan dengan rapi, memperlihatkan sistem pemerintahan yang menggabungkan adat, Islam, dan disiplin pentadbiran.
Di situ, menjadi jelas bahawa kekuatan Melaka bukan sekadar terletak pada geografinya, tetapi pada institusi yang mampu menterjemahkan kuasa maritim kepada ketertiban, legitimasi, dan kesinambungan melalui Hukum Kanun Melaka.
Muzium ini secara senyap menegaskan satu kebenaran: sebelum kedatangan penjajahan, dunia Melayu sudah pun tahu mentadbir dirinya dengan kecanggihan, hierarki, dan kefahaman mendalam tentang bagaimana kuasa seharusnya dilaksanakan.
Daripada pemerhatian saya sendiri, budaya Melayu di Singapura banyak dipelihara dan diamalkan merentas generasi – sebahagiannya datang dari Kepulauan Riau, sebahagiannya mengalir daripada warisan Kesultanan Melaka.
Bersama adat dan tradisi, turut diwarisi ialah tatatertib, yang dibentuk sejak awal melalui kerangka undang-undang dan etika seperti Hukum Kanun Melaka.
Lama-kelamaan, prinsip-prinsip ini meresap ke dalam kehidupan seharian, di mana adat dan adab bukan sekadar konsep, tetapi nilai yang hidup – menjadi ukuran peribadi dalam pertuturan, tingkah laku, rasa hormat terhadap orang lain, dan kefahaman tentang tempat seseorang dalam masyarakat.
Melaka merupakan antara gambaran hidup paling jelas tentang kepelbagaian budaya Asia Tenggara.
Kepelbagaiannya bukan sesuatu yang ‘diimport’ pada zaman moden, tetapi sudah terbina dalam DNA kota ini sejak ia muncul sebagai pelabuhan strategik yang diasaskan oleh Parameswara, Raja Singapura kelima yang berundur dari Bukit Larangan dan seterusnya mendirikan Melaka.
Pedagang dan pelaut dari dunia Melayu dan luarannya – Cina, India, Arab, dan kemudiannya Bugis – datang untuk berdagang, tetapi mereka meninggalkan lebih daripada sekadar barangan.
Bahasa, selera, kraf, seni bina, dan adat seharian mereka bercampur dan berakar dalam jalan-jalan dan kampung Melaka, membentuk tekstur budaya yang hingga kini masih terasa kuat sebagai sebuah kota maritim.
Namun, kisah Melaka juga merupakan kisah gangguan dan perubahan.
Penaklukan Portugis, diikuti pemerintahan Belanda, menyusun semula landskap dan struktur kuasa bandar ini, mengubah sebuah pelabuhan Alam Melayu menjadi kubu kolonial.
Walau begitu, warisan lama itu tidak pernah lenyap sepenuhnya.
Ia terus hidup dalam irama kehidupan beragama, dalam adat dan adab, dalam ingatan keluarga, dan dalam cara bandar ini masih memelihara asas Melayu di bawah setiap lapisan baru.
Apabila pentadbiran British mengambil alih, Melaka telah menjadi kota yang berlapis oleh waktu - setiap zaman meninggalkan bekasnya – namun denyut asal Selat Melaka tetap berterusan.
JONKER STREET SARAT LAPISAN SEJARAH DAN BUDAYA
Berjalan menyusuri Jonker Street, lapisan-lapisan sejarah dan budaya terus terasa.
Rumah kedai Cina dengan bidai kayu dan jubin seramik berbaris di sepanjang jalan yang dinamakan sempena seorang pahlawan Melayu.
Tanglung merah tergantung di atas gerai yang menjual kuih Nyonya di sebelah snek Melayu halal, sementara tekstil India, minyak wangi berpengaruh Arab, dan makanan jalanan global berdampingan tanpa jurang.
Bahasa bertukar dengan mudah, daripada Melayu ke Mandarin, Hokkien, dan Inggeris, sering kali dalam satu urusan yang sama.
Malah papan tanda turut bercerita: ucapan dalam bahasa Melayu, aksara Cina, dan terjemahan Inggeris disusun bersama, masing-masing tidak lengkap jika berdiri sendiri, tetapi bermakna apabila digabungkan.
Sebuah lagi muzium yang saya lawati turut meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kerana koleksi artifaknya, tetapi kerana bangunannya sendiri.
The Stadthuys iaitu istilah Belanda lama yang bermaksud ‘balai kota’, terletak di tengah-tengah Bandar Melaka, di kawasan Dataran Merah yang ikonik.
Dikenali melalui bangunannya yang merah terang dan menara jam berdekatan, ia bukan sekadar latar bergambar, tetapi sebuah struktur yang menyaksikan pertukaran kuasa dan perubahan zaman.
Dibina oleh Belanda pada 1650 sebagai pejabat Gabenor dan Timbalan Gabenor, Stadthuys kemudiannya terus digunakan selepas pengambilalihan British sebagai perbendaharaan, pejabat pos, pejabat kerajaan, dan juga kediaman pegawai kanan.
Ketika melangkah lalu galerinya, saya merasakan seolah-olah saya bukan sekadar melihat artifak di sebalik kaca, tetapi bergerak di dalam sebuah artifak yang masih hidup.
Itulah sebabnya muzium ini terus melekat dalam ingatan saya iaitu ia bukan sekadar menceritakan sejarah, tetapi membenarkan kita menyelaminya.
ASAM PEDAS LAUK KAMPUNG
Asam Pedas Lauk Kampung menyajikan masakan tradisional Melaka yang asli, terus dari dapur kedai.
Bukan sekadar asam pedas, mereka juga menyediakan Daging Salai Masak Lemak Cili Padi, Siput Masak Lemak, Sambal Petai Tumis, Paru Sambal, dan pelbagai lagi hidangan kampung yang sukar didapati di tempat lain.
Saya sendiri sempat menikmati Asam Pedas Ikan Tenggiri, Ayam Percik, sambal petai, ulam raja, dan terung, semuanya memang padu, kaya dengan rasa, pedasnya kena dengan lidah, dan cukup membuka selera.
Sejujurnya, itulah hidangan paling sesuai untuk menggulung perjalanan di Melaka, memberi bekalan tenaga dan kalori untuk memandu pulang ke Singapura dengan hati yang puas.
Jadi, jika anda datang ke Melaka dan mencari asam pedas asli Melaka, inilah tempat yang wajib anda singgah dan rasai sendiri keenakan masakan tradisi.
SAHABAT DAN KERABAT BUGIS
Tidak lengkap rasanya jika saya ke Melaka tetapi tidak menziarahi sahabat dan kerabat Bugis yang saya kenali sejak menubuhkan media sosial ‘Bugis Temasek’ sejak tahun 2008.
Alhamdulillah saya menerima sambutan mesra daripada rakan-rakan berketurunan Bugis di Malaysia.
Saya amat bersyukur kerana berpeluang bertemu Encik Jaafar Kelana, seorang bekas anggota Gerak Khas.
Selepas bersara, beliau terus menyemarakkan semangat warisan Bugis dengan mendirikan sebuah Muzium Bugis di sebahagian rumahnya sendiri.
Mengakhiri perjalanan saya di Melaka, saya pulang dengan rasa syukur melihat betapa rapatnya jalinan warisan serantau; lorong, sungai, masjid, makam dan jejak perdagangan yang masih bergema hingga Singapura.
Ini bukan sekadar sejarah di tempat lain, tetapi cerminan kepada akar dan pembentukan kita di tanah air sendiri.
Buat sesiapa yang ingin menghargai warisan tempatan, kunjungilah lokasi yang bertaut dengan kisah serantau; berjalan dengan santai, mendengar, bertanya, dan pulang dengan tekad memelihara warisan bersama.
Penulis merupakan pengkaji warisan. Beliau juga pengasas Bugis Temasek, anggota Persatuan Genealogi Singapura dan anggota Persatuan Melayu Bugis Singapura.

