Topic followed successfully
Go to BHku10 jam naik kereta api ke Pahang bawa ketenangan jiwa
10 jam naik kereta api ke Pahang bawa ketenangan jiwa
Percutian bermakna terletak pada pengalaman tempuh perjalanan, bukan sekadar destinasi dituju
10 jam naik kereta api ke Pahang bawa ketenangan jiwa
Sewaktu membesar, saya kerap mendengar ibu bapa saya bercerita tentang pengembaraan mereka menaiki kereta api merentasi Malaysia di zaman muda.
Ramai memandang perjalanan kereta api sebagai sesuatu yang mengambil masa panjang dan membosankan.
Namun, bagi ibu bapa saya, mereka dapat mengubah perjalanan itu menjadi pengalaman yang menyeronokkan, dengan memanfaatkan setiap detik menghayati pemandangan dan memerhatikan keindahan matahari terbenam di luar tingkap kereta api.
Daripada merekalah saya belajar bahawa percutian yang bermakna terletak pada pengalaman menempuhi perjalanan, bukan sekadar destinasi yang dituju.
Bak kata pepatah Inggeris, ‘It’s about the journey, not the destination.’
Kini, pada usia 30 tahun, peluang itu muncul.
Apabila ditanya sama ada ingin menyertai rombongan media ke Pahang menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) baru-baru ini, saya terus bersetuju.
Inilah masanya untuk saya merasakan sendiri pengalaman menaiki kereta api, dan jika ia benar-benar seindah kisah kedua-dua orang tua saya.
Perjalanan hampir 10 jam itu bermula di JB Sentral, dengan tren menuju ke Padang Besar, Perlis.
Ia mengambil masa empat hingga lima jam untuk tiba di Gemas, iaitu stesen perhentian pertama.
Di sana, kami menukar tren untuk perjalanan seterusnya ke Jerantut, iaitu pintu masuk ke Taman Negara, Pahang.
Perjalanan itu mengambil masa hampir lima jam.
Dalam dunia serba pantas ini, menghabiskan hampir separuh hari di atas rel terasa asing, malah janggal pada awalnya.
Namun, sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kereta api, rasa janggal itu luntur, digantikan dengan rasa selesa.
Keselesaan yang ditawarkan ETS jauh melebihi jangkaan saya.
Tempat duduknya empuk dan boleh dilaraskan, gerabaknya bersih dan ruang yang luas memudahkan pergerakan.
Saya sering singgah ke gerabak kafe untuk menikmati suasana santai, memilih snek tempatan, mi segera atau membeli minuman panas.
Secawan kopi hitam menjadi teman setia, sambil mata saya terpaku pada pemandangan yang pantas berlalu di luar jendela, ketika tren mencecah kelajuan sehingga 140 kilometer sejam.
Kemudahan surau yang disediakan dalam tren turut memudahkan penumpang Islam menunaikan solat sepanjang perjalanan.
Perincian sebegini mungkin tampak kecil, namun bagi perjalanan jarak jauh seperti ini, ia mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan penumpang, yang sering terlepas pandang.
Sepanjang perjalanan, landskap di luar berubah-ubah.
Ladang kelapa sawit dan hutan menghijau digantikan dengan deretan rumah dan bangunan kecil apabila tren menghampiri Jerantut.
Berbeza dengan menaiki pesawat yang melintasi awan, perjalanan rel membenarkan setiap peralihan pemandangan dilihat dengan jelas.
Setibanya di Jerantut, kami disambut alunan persembahan tradisional serta aroma hidangan tempatan seperti tempoyak.
Rasa tempoyak yang masam, berlemak dengan aroma durian yang kuat, ibarat ‘salam perkenalan’ yang mencerminkan identiti kulinari Pahang.
Danz Eco Resort menjadi tempat penginapan kami pada malam pertama di Jerantut.
Resort ini unik kerana dikelilingi Taman Negara yang amat menakjubkan.
Malam yang dihabiskan di tebing sungai, di bawah langit yang berkerlipan dengan bintang, menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Sungai menggantikan landasan, bunyi hutan menggantikan deru rel.
Pada hari kedua, ekspedisi ke hutan Taman Negara pula membawa pengalaman yang amat berbeza.
Selepas beberapa jam mendaki Bukit Teresek, segala penat lelah terasa berbaloi, apabila disajikan dengan pemandangan yang indah di puncak bukit, dengan deretan puncak bukit lain kelihatan dari jauh.
Selain itu, kami juga berpeluang menaiki sampan ke Santuari Ikan Kelah, lokasi yang berharga kepada penduduk Pahang, kerana inilah lokasi pembiakan ikan kelah yang boleh mencecah ratusan ringgit sekilo jika dijual, dan juga menjadi hab pelancongan ekologi yang menjana pendapatan penduduk di situ.
Kami juga meredah hutan di tebing sungai untuk menuju ke Lata Berkoh, yang popular dalam kalangan pelancong yang ingin menikmati keindahan Taman Negara.
Kawasan ini terkenal dengan aliran sungainya yang deras, kawasan berbatu, air terjun yang cantik dan suasana alam yang indah.
Perjalanan seterusnya adalah ke Kuala Lipis, sebuah bandar yang lebih tersusun dan kaya dengan warisan sejarah.
Malam itu, Starwell Hotel di Kuala Lipis menjadi tempat rehat selepas perjalanan rel, ekspedisi ke Lata Berkoh dan lawatan ke Santuari Ikan Kelah.
Di Kedai Makan Azmi Steam Fish, kami dihidangkan beberapa jenis lauk-pauk yang sukar didapati di Singapura, seperti ikan kukus tempoyak.
Keesokan harinya, kami menikmati sajian di Warung Pulut Abang Jamil pula, yang menjual pulut dan rendang yang lazat dan sarat dengan rasa, menjadi penutup indah percutian kami di Pahang.
Jejalah warisan di sekitar Bandar Kuala Lipis memberikan perspektif baru terhadap sejarah rel di daerah Pahang.
Apabila direnung kembali, perjalanan ini bukan semata-mata tentang perjalanan ke Jerantut atau Kuala Lipis, tetapi ia mengajar saya bahawa ada kalanya, sesuatu perjalanan menjadi lebih bermakna apabila dilalui dengan tenang, tanpa perlu tergesa-gesa.
Dalam era yang serba pantas ini, memilih rel sebagai mod pengangkutan bukan lagi soal kemudahan, tetapi satu cara untuk kembali kepada rentak kehidupan yang lebih perlahan.
Ada waktunya, bergerak dengan lebih perlahan membuka ruang untuk kita melihat dengan lebih jelas tentang tempat yang ingin dituju dan tentang orang yang kita temui sepanjang perjalanan menuju ke destinasi percutian.
Mungkin itulah sebabnya kisah melakukan perjalanan menggunakan kereta api terus hidup dalam ingatan, merentas generasi.
“
Apabila direnung kembali, perjalanan ini bukan semata-mata tentang perjalanan ke Jerantut atau Kuala Lipis, tetapi ia mengajar saya bahawa ada kalanya, sesuatu perjalanan menjadi lebih bermakna apabila dilalui dengan tenang, tanpa perlu tergesa-gesa.
