Topik diikuti
Pergi ke BHkuKemelut politik Negeri Sembilan: Hampir semua Adun Umno didakwa enggan jadi pembangkang
Kemelut politik Negeri Sembilan: Hampir semua Adun Umno didakwa enggan jadi pembangkang
Kenyataan Pengerusi Umno Negeri Sembilan didakwa bercanggah dengan keadaan sebenar
Kemelut politik Negeri Sembilan: Hampir semua Adun Umno didakwa enggan jadi pembangkang
KUALA LUMPUR: Kenyataan Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, bahawa 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno lebih rela menjadi pembangkang daripada bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, susulan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, didakwa meleset sama sekali.
Sebaliknya, 12 daripada 14 Adun tersebut dikatakan menyambut baik keputusan pucuk pimpinan Umno untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan negeri itu.
Malah, sumber mendedahkan dalam pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 30 April lalu, 12 Adun itu tegas menolak hasrat menjadi pembangkang di Negeri Sembilan.
Menurut sumber yang hadir, pendirian 12 Adun itu bertentangan dengan kenyataan Datuk Jalaluddin.
“Dalam pertemuan itu, 12 Adun berkenaan menyatakan kesediaan untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
“Mereka juga mahu Adun Umno dilantik sebagai Exco kerajaan negeri bagi tujuan mekanisme semak dan imbang,” lapor Malaysiakini, memetik sumber.
Pada masa yang sama, sumber itu menekankan menjadi pembangkang bukan pilihan yang baik kerana ia akan menyukarkan Umno untuk berkhidmat kepada rakyat.
Tambah sumber, Datuk Ahmad Zahid turut mengingatkan Adun Umno Negeri Sembilan agar tidak bertindak sendirian berunding secara peribadi untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan negeri.
Pertemuan di ibu negara itu, dakwa sumber terbabit, turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Bagaimanapun, Datuk Jalaluddin, Pengerusi Umno Negeri Sembilan merangkap Adun Pertang, tidak hadir.
Seorang lagi Adun yang tiada dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan, yang juga Adun Rantau dan Menteri Luar Malaysia.
Berucap di Konvensyen Umno sempena Ulang Tahun Umno ke-80 di Pusat Dagangan Dunia pada 2 Mei lalu, Datuk Jalaluddin menyuarakan kesediaan Umno menjadi pembangkang, berbanding terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama PH.
Beliau menegaskan Umno Negeri Sembilan tidak lagi berkompromi dalam isu membabitkan kepimpinan Datuk Aminuddin, susulan 14 Adun Umno/Barisan Nasional (BN) hilang keyakinan terhadap Menteri Besar.
Datuk Jalaluddin turut mengulangi pendirian 14 Adun Umno/BN yang hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar tidak akan berganjak.
Beliau menegaskan ia bukan perebutan kuasa atau ‘tebuk atap’, sebaliknya berpunca daripada kegagalan Datuk Aminuddin mengurus konflik institusi adat dan raja di negeri itu.
Sementara itu, Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ditemui media pada 4 Mei, enggan mengulas kenyataan Umno Negeri Sembilan yang sedia menjadi pembangkang, ekoran kemelut politik di negeri berkenaan.
Datuk Anwar berkata, kenyataan Datuk Jalaluddin dilihat kabur dan tidak wajar diperbesar-besarkan sehingga mencetus kekeliruan politik.
