SEREMBAN: Umno Negeri Sembilan berpendapat Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diadakan segera, demi menangani krisis politik semasa di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, khuatir pentadbiran negeri akan terumbang-ambing jika sidang DUN ditangguh hingga enam bulan seperti dimaklumkan.

“Jika kerajaan negeri bertahan enam bulan menangguh sidang DUN, pentadbiran akan tidak stabil, sekali gus mengundang pelbagai masalah baharu.

“Oleh itu, sidang DUN khas mesti dipanggil segera untuk menyelesaikan krisis politik ini demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Jalaluddin mendesak Yang di-Pertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, bertindak segera memanggil sidang khas DUN. Langkah ini penting bagi membincangkan dan memutuskan penyelesaian kepada kemelut politik yang melanda.

“Langkah ini dilihat satu-satunya cara untuk mengembalikan keadaan kepada landasan biasa, memastikan pentadbiran negeri berjalan stabil.

“Pada pandangan saya, sidang khas dewan mesti dipanggil dalam masa terdekat, kita tiada pilihan lain,” tegasnya.

Terdahulu, 14 Adun Umno/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Negeri Sembilan pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH).

Tindakan itu didorong kegagalan beliau menyelesaikan isu melibatkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Seri Menanti.

Lima Adun Perikatan Nasional (PN) kemudian menawarkan kerjasama bertulis kepada Umno dan BN untuk membentuk kerajaan baru, demi memulihkan kestabilan politik di Negeri Sembilan.

Pada 23 Apri lalu, istiadat pembukaan persidangan DUN Negeri Sembilan Ke-15 telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ia sepatutnya bersambung dengan persidangan DUN pada 27 hingga 29 April, namun diputuskan ditangguh hingga suatu tarikh akan dimaklumkan kemudian.

Penangguhan itu berikutan konflik takhta diraja selepas empat Undang mengisytiharkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, atas dakwaan salah laku.

Bagaimanapun, Datuk Aminuddin menolak pengisytiharan itu atas alasan seorang daripada empat Undang yang menandatangani pengisytiharan penyingkiran Tuanku Muhriz telah dipecat daripada jawatannya sejak 13 Mei 2025.

Berikutan penolakan itu, empat Undang terbabit mendesak pemecatan Datuk Aminuddin, sebelum ia kemudian melarat kepada tindakan Umno/BN Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Aminuddun yang didakwa gagal menguruskan krisis berkenaan.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Datuk Aminuddin diarah meneruskan tugas seperti biasa, sebagaimana diminta Tuanku Muhriz, sehingga pertikaian undang-undang dan adat di Negeri Sembilan diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata krisis di Negeri Sembilan yang menyaksikan PN menyatakan sokongan terhadap Umno untuk berganding menubuhkan kerajaan, akan ditangani atas kapasiti PN.

Mantan Pengerusi PN itu berkata ini kerana PN bukan hanya melibatkan Bersatu, tetapi juga Parti Islam SeMalaysia (PAS).

“Kita tunggu Setiausaha Agung (PN) mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan (mengenai krisis di Negeri Sembilan) kerana ini bukan hanya soal Bersatu. Ini juga soal PAS dan kami ambil pendirian atas nama PN,” katanya.