Konvensyen Umno menjadi pentas buat Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, memperjelaskan pendirian berhubung krisis politik di negeri berkenaan, termasuk menyatakan kesediaan untuk Umno menjadi pembangkang berbanding terus berada dalam kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan Umno Negeri Sembilan tidak lagi bersedia mengambil pendekatan berkompromi dalam isu yang membabitkan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/Barisan Nasional (BN) hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau.

Datuk Jalaluddin yang juga Adun Pertang, berkata fokus Umno sekarang ialah mengembalikan dominasi Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 yang berbaki kurang dua tahun lagi.

“Umno Negeri Sembilan rela jadi pembangkang daripada duduk dalam kerajaan dan melihat apa saja kesalahan yang dilakukan oleh Menteri Besar (Datuk Aminuddin).

“Kita fokus menghadapi PRU16 dan Insya-Allah Umno Negeri Sembilan akan terus dominan serta cuba sedaya upaya untuk kembali memenangi semua kerusi,” katanya ketika berucap di pentas Konvensyen Umno sempena sambutan ulang tahun parti itu ke-80 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada 2 Mei.

Datuk Jalaluddin yang juga mantan Exco Kanan kerajaan Negeri Sembilan turut mengingatkan pucuk pimpinan Umno supaya tidak menggadaikan masa depan parti hanya untuk menjaga hubungan politik dengan mana-mana pihak.

“Jangan gadaikan masa depan Umno hanya untuk menjaga hati rakan atau mana-mana pihak. Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap krisis ini.

“Sebagai Pengerusi Umno Negeri Sembilan, saya bertanggungjawab memastikan parti kekal di landasan yang dominan, dan selagi Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi kepercayaan kepada saya, saya akan melaksanakan amanah ini dengan sebaiknya,” katanya lagi.

Seiring penjelasannya itu, Datuk Jalaluddin ketika ditemui media selepas itu menegaskan pendirian 14 Adun Umno/BN yang hilang keyakinan terhadap Menteri Besar tidak akan berubah, sambil menegaskan ia bukan soal perebutan kuasa atau ‘tebuk atap’, sebaliknya melibatkan isu tadbir urus institusi adat dan raja di negeri itu.

Menjawab persoalan sama ada kenyataan ‘bersedia menjadi pembangkang’ itu satu isyarat awal perubahan kedudukan politik, beliau menjelaskan ia bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan tertinggi BN dan PH, berikutan situasi semasa pentadbiran negeri itu.

“Kita tunggu keputusan pucuk pimpinan. Apabila sokongan sudah ditarik dan Menteri Besar masih mentadbir, Umno bersedia menjadi pembangkang sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan sebarang keputusan mengenai pelantikan Menteri Besar baru bukan ditentukan di peringkat negeri, sebaliknya akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.

Pada 27 April lalu, 14 Adun Umno/BN Negeri Sembilan membuat pengumuman mengejut menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam ucapannya di pentas Konvensyen itu, Datuk Jalaluddin menjelaskan ketegangan politik di Negeri Sembilan tercetus apabila terdapat pihak yang melanggar ‘garis merah’ berkaitan kedaulatan institusi adat dan raja, seperti yang dipersetujui dalam kerjasama politik antara Umno/BN dan PH.

“Sebab itu Umno rasa tak senang hati dan sangat kecewa apabila Menteri Besar terang-terangan mencampuri urusan adat dan gagal menangani krisis dengan baik dan mengambil mudah perkara yang berlaku sehingga membawa kepada pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz,” katanya.

Pada 30 April, Datuk Ahmad Zahid yang telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan 14 Adun BN akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan, tetapi tidak akan menarik balik hilang percaya terhadap Menteri Besar.

Krisis politik di Negeri Sembilan menyusuli konflik perebutan takhta Yang di-Pertuan Besar apabila empat Undang (ketua daerah adat) di Negeri Sembilan mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz.

Namun Datuk Aminuddin menolak cubaan itu atas alasan seorang daripada Undang terbabit telah dipecat daripada jawatannya.