Topik diikuti
Pergi ke BHkuZahid: 14 Adun Umno Negeri Sembilan kekal sokong Kerajaan Perpaduan
Zahid: 14 Adun Umno Negeri Sembilan kekal sokong Kerajaan Perpaduan
Keputusan dicapai selepas perbincangan mendalam bersama semua wakil rakyat terbabit pada 30 April
Zahid: 14 Adun Umno Negeri Sembilan kekal sokong Kerajaan Perpaduan
PUTRAJAYA: Kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan sebulat suara tekad terus mendukung Kerajaan Perpaduan negeri itu demi memastikan kestabilan kekal utuh, ujar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menjelaskan keputusan ini dicapai selepas perbincangan mendalam bersama semua wakil rakyat terbabit pada 30 April.
“Saya bertemu kesemua 14 Adun ini bukan untuk membatalkan langkah mereka, tetapi untuk memperbetulkan tanggapan. Mereka tiada hasrat menjatuhkan kerajaan negeri atau membentuknya melalui ‘pintu belakang’.
“Parti di peringkat nasional dan semua Adun yang saya temui bersetuju untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, agar tiada sebarang ancaman penggugatan berlaku,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan dan menyaksikan Majlis Pertukaran MoU Antara MyDigital ID Sdn Bhd dan Rakan Kerjasama Strategik di Putrajaya, pada 30 April.
Ditanya sama ada menarik sokongan terhadap Menteri Besar tetapi kekal menyokong Kerajaan Perpaduan adalah taktik menukar Menteri Besar, Datuk Ahmad Zahid menegaskan sebarang isu atau pertikaian harus ditangani bersama.
“BN dan Pakatan Harapan (PH) terikat dengan Perjanjian 18 Perkara.
“Jika timbul ‘dispute’ (pertikaian) atau masalah yang perlu dihadapi, perjanjian itu menetapkan kita harus kembali ke meja rundingan untuk mencari jalan penyelesaian bersama.
“Saya yakin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi PH, sangat terbuka dan berlapang dada untuk kita sama-sama meneliti dan menyelesaikan secara terperinci setiap perkara yang berbangkit,” tambahnya.
Kerajaan Negeri Sembilan dibentuk oleh gabungan PH dan Umno/BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.
Mengulas lanjut, Datuk Ahmad Zahid, Pengerusi BN, menjelaskan bahawa tindakan 14 Adun tersebut didorong niat murni untuk mempertahankan kedaulatan institusi raja dan adat di Negeri Sembilan, agar terus dihormati dan didukung rakyat.
“Kita sedar negara berdepan cabaran ekonomi global; justeru, kita perlu bersatu hati, bukan sahaja untuk menangani, tetapi juga bersama-sama mendukung hasrat Perdana Menteri.
“Ini penting demi mewujudkan kestabilan politik agar kita dapat bersama-sama menghadapi krisis global ini, demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” tegas beliau.
Terdahulu, 14 Adun Umno/BN Negeri Sembilan telah menarik balik sokongan mereka terhadap Datuk Aminuddin. Tindakan ini berpunca daripada dakwaan campur tangan Menteri Besar yang didakwa telah merumitkan kemelut institusi Raja dan Adat di negeri itu, sehingga mencetuskan polemik yang berpanjangan.
Konflik bermula apabila empat Undang di Negeri Sembilan mengisytiharkan penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, atas dakwaan salah laku yang tidak diperincikan.
Namun, Datuk Aminuddin menolak cubaan penyingkiran itu dengan alasan salah seorang daripada empat Undang tersebut telah dilucutkan jawatan. Penolakan ini mencetuskan reaksi balas daripada Undang-Undang yang kemudiannya mendesak pemecatan Datuk Aminuddin kerana didakwa tidak menghormati institusi Adat Negeri Sembilan.
