Jenama makanan tempatan, Padi, melangkah lebih jauh membawa cita rasa Melayu menerusi pembukaan cawangan baharu di London.

Padi, yang juga bertapak di Bussorah Street dan New York, melihat peluang di ibu kota Britain itu sebagai satu langkah penting dalam memperkenalkan masakan Melayu di pentas antarabangsa.

Dengan pelaburan sekitar £100,000 ($170,000), pembukaan itu lebih daripada sekadar pengembangan perniagaan, tetapi turut menjadi satu misi budaya.

Padi menawarkan hidangan tradisional seperti nasi ambeng.

“Peluang ini datang dalam dua fasa.

“Pada Ogos 2025, kami sebenarnya terpaksa melepaskan satu ruang kerana diminta untuk buka dalam masa 48 jam, sesuatu yang tidak realistik ketika itu,” kata Pengasas Padi, Encik Mohamad Hashim Ali.

Menurutnya, perjalanan ke London bukanlah sesuatu yang dirancang dalam sekelip mata.

Namun, takdir menemukan mereka semula dengan pemilik ruang tersebut pada awal 2026.

“Ketika rakan kongsi kami berada di London, kami berhubung semula.

“Walaupun tiada kekosongan, beliau memperkenalkan kami kepada pengendali pusat makanan lain di Kensington.

“Dari situ, kami nampak potensi dan terus bergerak pantas,” kata Encik Hashim.

Di sebalik strategi perniagaan, menampilkan masakan Melayu ke pentas antarabangsa merupakan sumber motivasi yang amat penting.

“Kami mahu masakan Melayu dikenali, bukan sekadar dalam kalangan orang kita, tetapi di peringkat global.

“Hidangan seperti nasi ambeng, rendang dan ayam lemak bukan hanya makanan, ia adalah identiti dan budaya kita,” jelasnya.

Pemilihan Kensington sebagai lokasi juga dibuat dengan teliti.

Kawasan tersebut yang sibuk dengan pekerja pejabat, pelancong dan penduduk tempatan dilihat sebagai tempat sesuai untuk memperkenalkan sesuatu yang baharu.

“Di sini, orang lebih terbuka untuk mencuba masakan yang berbeza. Itu penting bagi kami,” kata Encik Hashim.

Walaupun mendapat sambutan baik di New York sebelum ini, pasukan Padi mengakui setiap pasaran mempunyai cabaran tersendiri.

“Operasi di luar negara banyak mengajar kami tentang kawalan kos dan pengurusan tenaga kerja.

Di London, ramai pekerja adalah pelajar dengan waktu kerja terhad, jadi kami perlu lebih fleksibel,” ujarnya.

Dari segi bekalan pula, mereka turut berdepan kekangan.

“Tidak seperti di Singapura, di mana bahan dan peralatan lebih mudah diperoleh, di London kami perlu ada pelan alternatif.

“Ini mengajar kami untuk lebih bersedia dan kreatif,” katanya.

Namun, segala cabaran itu tidak mematahkan semangat mereka.

“Sebaliknya, ia menguatkan lagi tekad untuk terus berkembang secara mampan.

“Buat masa ini, fokus kami adalah untuk memperkukuh tiga lokasi sedia ada Singapura, New York dan London.

“Jika semuanya berjalan lancar, kami terbuka untuk berkembang lagi, mungkin ke arah restoran sepenuhnya sendiri,” ungkap Encik Hashim.

Bagi Padi, perjalanan ini lebih daripada sekadar membuka cawangan baharu.

Ia adalah tentang membawa cerita, rasa dan jiwa masakan Melayu ke dunia.

“Harapan kami mudah agar satu hari nanti, masakan Melayu berdiri sebaris dengan masakan global lain, dikenali dan dihargai oleh semua.”

Harga: Set nasi ambeng, £22 (sekitar $38) dan teh tarik, £3.50 (sekitar $6)

Padi London
Alamat: 62 Kensington High Street, London, W8 4PE
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 11 pagi hingga 9 malam

Get therelocation-icon