Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuasana, layanan dan keselesaan ‘ramuan’ utama di restoran ‘hotpot’ JING
Suasana, layanan dan keselesaan ‘ramuan’ utama di restoran ‘hotpot’ JING
Suasana, layanan dan keselesaan ‘ramuan’ utama di restoran ‘hotpot’ JING
Lampunya lebih malap dan menenangkan, muziknya perlahan, manakala jarak antara meja memberi ruang pelanggan berbual tanpa perlu memperlahankan suara.
Di setiap meja, pelanggan boleh menikmati hotpot masing-masing dengan pilihan sup, tahap kepedasan, bahan-bahan dan cita rasa sendiri.
Hotpot berasal dari China, biasanya melibatkan makanan bersup yang dimasak di meja makan dengan periuk khas.
Hidangan itu dinikmati dengan pelbagai bahan makanan untuk dicelup ke dalam sup berperisa yang dibiarkan mendidih.
Di sebalik suasana yang cukup berbeza daripada kebanyakan restoran hotpot halal tradisional itu, JING membawa pendekatan berbeza bagi pengalaman menjamu selera.
Ia satu perubahan yang turut mencerminkan bagaimana permintaan pelanggan semakin menghargai ciri keselesaan, layanan dan hubungan emosi ketika makan di luar.
Bagi pemiliknya, Sharifah Noor Aishah Albukhary, 54 tahun, konsep itu pada awalnya agak asing buat dirinya yang pernah mengendalikan bufet hotpot terkenal di Eastpoint Mall, Simei.
Beliau membesar dalam era restoran yang lebih terang, sibuk dan dipenuhi promosi besar bagi menarik perhatian pelanggan.
Namun anaknya, Sharifah Noura Aljunied, 32 tahun, melihat pengalaman menjamu selera dari sudut berbeza.
“Pada mulanya saya memang tidak begitu faham kenapa Noura mahukan konsep yang lebih tenang dan ‘moody’.
“Generasi saya biasanya fikir restoran perlu terang dan meriah supaya nampak lebih menarik,” kata Sharifah Aishah.
Namun lama-kelamaan, beliau mula memahami bahawa pelanggan kini tidak lagi sekadar mencari makanan yang mempunyai saiz hidangan yang besar atau murah semata-mata.
“Mereka mahu ruang makan yang selesa. Mereka mahu berbual lama dengan keluarga atau kawan-kawan tanpa rasa tergesa-gesa.
“Saya sedar suasana restoran sebenarnya sebahagian daripada pengalaman makan luar yang menjadi keprihatinan pelanggan,” katanya.
Antara perisa sup hotpot di Jing ialah Signature Mala Soup, Creamy Herbal Soup dan Tom Yum Soup.
Bahan makanan yang boleh dinikmati termasuk Goji Berry Chicken, Sarawak Black Pepper Chicken & Beef, Australian Angus Beef dan Snow Crab Legs.
Bagi Sharifah Noura pula, idea itu banyak dipengaruhi pengalaman beliau bekerja dalam industri hospitaliti dan kehidupannya di Amerika Syarikat pada 2023.
Ketika menetap di San Jose sebelum berpindah ke San Francisco, beliau mula melihat bagaimana restoran di bandar besar bersaing bukan hanya melalui makanan, bahkan juga emosi dan pengalaman yang ditawarkan kepada pelanggan.
“Ada tempat yang saya masih ingat sampai hari ini bukan kerana makanannya paling mahal, tetapi kerana suasananya membuat saya rasa tenang dan dihargai,” katanya.
Pengalaman peribadi itu turut membuat beliau lebih peka terhadap suasana restoran yang terlalu bising atau terang sehingga boleh membuat seseorang berasa penat secara emosi.
“Saya pernah rasa terlalu ‘overstimulated’ atau kurang selesa sampai kadang-kadang mahu cepat balik dan elak keluar makan terlalu lama.
“Dari situ saya sedar suasana sebenarnya memberi kesan besar kepada pengalaman seseorang walaupun mereka mungkin tidak sedar,” ujar Sharifah Noura.
Disebabkan itu, setiap ciri di JING daripada pencahayaan, muzik, tekstur ruang hinggalah susunan meja, dirancang dengan teliti agar pelanggan rasa lebih tenang dan selesa untuk meluangkan masa lebih lama di situ.
Konsep hotpot individu pula lahir daripada perubahan cara masyarakat moden menikmati makanan bersama.
Menurut Sharifah Noura, pelanggan sering datang dalam kumpulan yang mempunyai pilihan makanan, tahap kepedasan dan keperluan diet berbeza.
“Hotpot tradisional memang ada daya tarikannya sendiri, tetapi hotpot individu memberi kebebasan kepada setiap orang menikmati makanan mengikut cita rasa mereka tanpa perlu berkompromi,” jelasnya.
Walaupun membawa pendekatan lebih moden dan premium, kededua ibu dan anak itu berkata mereka tetap mahu mengekalkan nilai kebersamaan yang dekat dengan budaya masyarakat Singapura.
“Kami tidak mahu orang datang hanya untuk makan. Kami mahu mereka rasa seperti berada di ruang yang menerima dan meraikan siapa diri mereka.”
“Berjauhan dari Singapura juga membuatkan saya lebih sedar betapa uniknya budaya makan kami, terutamanya dalam cara ia secara semula jadi menempatkan orang dari latar belakang dan pilihan pemakanan yang berbeza dalam satu meja yang sama.
“Saya rasa itu sesuatu yang agak istimewa,” ungkap Sharifah Noura yang terus menyesuaikan perniagaan hotpot mengikuti perubahan pasaran makanan dan minuman (F&B) dan pelanggan bersama ibunya.
JING
Alamat: 11 Tanjong Katong Road, #02-19/20 KINEX Mall, Singapura 437157Isnin hingga Ahad, 12 petang hingga 10 malam
