Topik diikuti
Pergi ke BHkuCef Siti Mastura imbau kenangan perjalanan kerjaya kulinari selama dua dekad
Cef Siti Mastura imbau kenangan perjalanan kerjaya kulinari selama dua dekad
Tampilkan hidangan Melayu di bawah kerjasama dengan J65 di Hotel JEN
Cef Siti Mastura imbau kenangan perjalanan kerjaya kulinari selama dua dekad
Sebagai anak bongsu dalam keluarganya, Cef Siti Mastura Alwi, mengakui beliau suatu ketika dahulu seorang yang manja dan tidak tahu memasak mahupun membakar kuih.
Namun siapa sangka, wanita yang pernah dipandang rendah kerana tidak mempunyai kemahiran dapur kini muncul sebagai cef selebriti terkenal dan pengarah urusan, Siti’s Delight.
Beliau berkongsi, titik perubahan itu bermula selepas berkahwin pada usia 19 tahun ketika masih bekerja dalam sektor korporat.
Kata-kata sinis yang menggelarnya sebagai ‘bimbo’ kerana tidak tahu memasak menjadi pembakar semangat untuk beliau belajar dan memperbaiki diri.
“Saya berasakan perjalanan saya daripada seorang yang tidak tahu membuat kuih sehinggalah menjadi seorang cef profesional sangat luar biasa.
“Daripada situ, saya terus belajar dan mahu buktikan bahawa saya juga mampu berjaya dalam bidang ini,” katanya.
Selepas kehilangan pekerjaan pada 2003, Cef Siti mengambil keputusan memanfaatkan kemahiran memasaknya dengan menubuhkan sekolah kulinari sendiri.
Dari 2004 hingga 2016, beliau mengendalikan sekolah membuat kuih sebelum ditawarkan menjadi pengetua di SSA Culinary Institute.
Bagi beliau, ilmu masakan bukan sekadar untuk memenuhi minat, malah boleh menjadi sumber pendapatan dan peluang kedua buat ramai wanita.
“Saya selalu galakkan pelajar saya agar gunakan ilmu masak daripada saya untuk tambah pendapatan mereka.
“Saya juga selalu tekankan penting untuk mereka majukan masakan tradisional dan kuih-muih Melayu supaya ia tidak hilang ditelan zaman,” ujar cef berusia 62 tahun itu.
Kini, orang ramai berpeluang menikmati hasil air tangan beliau menerusi kerjasama eksklusif bersama bufet antarabangsa di J65 di Hotel JEN Singapore Tanglin by Shangri-La hingga 17 Jun.
Ia ditawarkan setiap Ahad hingga Rabu sempena ‘International Buffet Dinner’, dari 6 petang hingga 9.30 malam, bufet tersebut berharga $88 bagi dewasa dan $44 bagi kanak-kanak.
Melalui kerjasama itu, ia mengetengahkan lima hidangan klasik Melayu seperti Cucur Udang, Black Angus Beef Rendang, Ayam Masak Kerisik, Nasi Jagung Basmati dan Nagasari Jagung bersama sos butterscotch gula melaka.
Butterscotch merupakan sos campuran gula dan mentega dan dimasak pada suhu tinggi.
Menurut Cef Siti, idea kerjasama itu berlaku dengan pantas apabila pihak hotel menghubunginya kira-kira 10 hari sebelum pelancaran.
Keesokan harinya, beliau terus membawa beberapa hidangan untuk sesi rasa bersama pasukan J65.
“Mereka kata masakan saya rasa seperti masakan ‘mak-mak’ dan mereka sangat suka.
“Saya sebenarnya bawa tujuh hidangan tetapi kami pilih lima hidangan yang lebih sesuai dari segi logistik dan persiapan,” katanya.
Pemilihan rakan kerjasama juga penting, ujar Cef Siti kerana beliau mahu memastikan mutu makanan memenuhi jangkaan pengikutnya.
“Saya rasa siapa yang saya bekerjasama sangat penting sebab pengikut saya ada jangkaan tertentu tentang rasa makanan saya.
“Sebelum setuju dengan kerjasama ini, saya cuba sendiri makanan di sini dan saya suka dengan mutu makanan mereka serta bagaimana makanan laut sentiasa ditambah semula.
“Cef di sini juga terbuka menerima cadangan,” katanya.
Antara hidangan yang mencuri perhatian penulis ialah Nagasari Jagung bersama sos butterscotch gula melaka yang diinspirasikan oleh anak perempuannya, Cef Sarah Ariffin.
Menurut Cef Siti, idea itu tercetus selepas mereka berpendapat sos karamel menjadi satu pilihan yang sering didapati dalam pasaran.
“Cef Sarah cadangkan guna gula melaka sebab ia lebih dekat dengan cita rasa kita.
“Nagasari itu sendiri sebenarnya sudah sedap, tetapi apabila dipadankan dengan butterscotch gula melaka, ia naik ke satu tahap lain.
“Rasanya lemak tetapi tidak terlalu manis,” katanya.
Selain pencuci mulut itu, Nasi Jagung Basmati yang gebu dan harum turut dipadankan dengan Ayam Masak Kerisik dan Rendang Daging Black Angus.
Menurut Cef Siti, beliau sengaja memilih hidangan klasik Melayu tetapi mengurangkan sedikit tahap kepedasan agar lebih mudah diterima pelbagai lapisan masyarakat.
“Bagi saya kalau mahu tarik pelanggan Melayu, kita kena masak hidangan klasik dengan cara yang betul dari segi teknik dan penggunaan rempah.
“Saya mahu jadi orang yang menghubungkan pelbagai generasi dengan masakan Melayu,” katanya.
Semasa penulis Kaki Makan berada di J65, terdapat ramai pelanggan yang menikmati hidangan Cef Siti seperti Cucur Udang dan pencuci mulut nagasari bersama sos gula melaka yang merupakan antara hidangan terlaris.
“Saya berasa amat terharu dengan maklum balas yang baik. Bukan sahaja daripada pelanggan Melayu, malah Cina dan India,” dedah Cef Siti.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama istimewa itu, warga emas berumur 60 tahun ke atas boleh menikmati diskaun eksklusif 30 peratus promosi makan malam bufet dengan minimum dua pengunjung, dari Ahad hingga Rabu sepanjang tempoh promosi.
J65 @ Hotel JEN Singapore Tanglin by Shangri-La
Alamat: 1A Cuscaden Road, Singapura 249716Isnin hingga Jumaat (makan tengah hari); 12 tengah hari hingga 3 petang dan (makan malam) 6 petang hingga 10 malam
Sabtu dan Ahad (makan tengah hari); 12.30 tengah hari hingga 3 petang dan (makan malam) 6 petang hingga 9.30 malam
