Topic followed successfully
Go to BHkuNikmati pelbagai stik di restoran
Nikmati pelbagai stik di restoran
Nikmati pelbagai stik di restoran
Stik bukan sekadar hidangan daging panggang, tetapi satu pengalaman yang bergantung kepada potongan, teknik penyediaan dan tahap kematangan daging.
Antara potongan popular termasuk ribeye yang kaya lemak dan berjus; striploin yang lebih seimbang antara lemak dengan tekstur; serta tenderloin yang terkenal dengan kelembutannya.
Bagi penggemar rasa yang lebih mendalam, teknik dry-aging atau peram pula membantu memekatkan rasa daging, menjadikannya lebih kompleks dan beraroma.
Dari segi profil rasa, stik wagyu biasanya mempunyai tekstur lembut dengan lemak yang cair di mulut, menghasilkan rasa berlemak dan memuaskan.
Sebaliknya, daging grass-fed (daripada haiwan yang hanya makan rumput) pula mempunyai rasa daging lembu yang lebih ketara.
Stik biasanya dinikmati bersama sos seperti peppercorn atau lada hitam, cairan daripada daging itu sendiri, atau hanya garam dan disertakan kentang goreng, puri kentang atau sayur panggang.
Berikut antara restoran yang menyediakan stik halal di Singapura, selain restoran baru The Velvet Cut yang dibuka pemilik The Malayan Council.
ASAP & Co
Sebagai antara restoran halal yang dikenali dengan hidangan stik di Singapura, ASAP & Co, menggunakan teknik unik dengan penggunaan kayu hickory dan ceri untuk proses salai, memberikan aroma berasap yang harum serta rasa yang lebih mendalam pada daging.
Terletak di 70 Telok Ayer St, #01-01, Far East Square, restoran itu menawarkan pelbagai potongan premium seperti Southern Ranges SR4, di mana ribeye 250 gram berharga $58 manakala striploin 250 gram berharga $48.
Bagi penggemar dry-aged, Wanderer Black Angus yang diperam selama 28 hari ditawarkan dengan harga $88 untuk bone-in ribeye 350 gram.
Pilihan wagyu seperti Sanchoku MS9 pula mencecah $127 untuk ribeye 250 gram; manakala Miyazaki A5 dari Jepun ditawarkan pada harga $237 untuk ribeye 250 gram.
The Butcher’s Table
Restoran, The Butcher’s Table, yang terletak di 8 Jalan Klapa, menampilkan Wagyu Picanha yang melalui proses peram selama 21 hari untuk menghasilkan rasa kompleks.
Hidangan seperti 21-Day Cocoa Tallow Aged Ribeye, $32, memberikan sentuhan unik dengan lemak wagyu dan koko; manakala F1 Wagyu Picanha MS4/5, $55 pula menawarkan tekstur lembut dengan rasa lemak yang seimbang.
Emir Brasserie
Untuk pilihan di restoran Perancis, Emir Brasserie menawarkan promosi makan tengah hari seperti Steak Frites Sirloin au Poivre Vert pada harga $38++, disajikan bersama sos lada hijau dan kentang goreng.
Petite Tender au Jus pula berharga $42++, lengkap dengan puri kentang dan sos daging yang kaya.
Restoran ini terletak di 743 North Bridge Road.
Poulet
Di Poulet, hidangan Pan Fried Ribeye dengan Mushroom Gratin seberat 200 gram ditawarkan pada harga $25, menjadikannya pilihan lebih mesra bajet tetapi tetap memuaskan dengan gabungan rasa daging dan sos berkrim.
Terdapat 9 cawangan di seluruh Singapura, antaranya di 201 Victoria Street, #04-12, Bugis+; dan di 1 HarbourFront Walk, VivoCity.

