Topic followed successfully
Go to BHkuLangkah berani pemilik The Malayan Council buka restoran stik premium
Langkah berani pemilik The Malayan Council buka restoran stik premium
The Velvet Cut tampil konsep lebih diperhalusi, guna teknik masak dengan kayu api
Langkah berani pemilik The Malayan Council buka restoran stik premium
Pembukaan The Velvet Cut menandakan langkah baharu bagi Pengasas, The Malayan Council, Encik Mohamad Hafiz Salim Alkhatib.
Matlamatnya adalah meneroka konsep yang lebih tertumpu dan diperhalusi dalam landskap makanan dan minuman (F&B).
Sebelum ini, Encik Hafiz terkenal dengan The Malayan Council, dengan pendekatan mengolah semula cita rasa tempatan secara moden dan penuh nostalgia, menerusi makanan fusion seperti Smoked Duck Chilli Padi Pasta dan Roti Kirai Beef Ribs.
Kini, The Velvet Cut pula tampil dengan identiti berbeza sebagai restoran konsep woodfire (kayu api) steakhouse.
“Dengan The Velvet Cut, saya mahu teroka ruang yang berbeza, sesuatu yang lebih fokus dan refined (diperhalusi).
“Ia tentang keluar daripada zon selesa, bukan sekadar fusion tetapi menembusi kategori yang sebelum ini kurang diceburi dalam dunia makanan halal,” jelas Encik Hafiz.
Menurut beliau, idea tersebut tercetus daripada jurang yang dilihat dalam pasaran, kekurangan steakhouse premium milik Muslim yang menawarkan pengalaman menyeluruh, bukan sekadar hidangan daging semata-mata.
“Memang ada permintaan untuk stik berkualiti, tetapi sangat sedikit tempat yang menyajikan pengalaman steakhouse premium yang dimiliki pemilik Islam.
“Bukan hanya pada daging, tetapi teknik, suasana dan keseluruhan pengalaman.
“Kami nampak peluang itu dan mahu lakukannya dengan betul,” tambahnya yang membuka The Velvet Cut pada Disember lalu.
Konsep The Velvet Cut bermula kira-kira setahun sebelum pembukaan, dengan beberapa bulan diperuntukkan khusus untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pemilihan bahan, teknik memasak dan pembentukan pasukan dapur.
Antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah mendapatkan pembekal halal yang mampu memenuhi standard mutu yang diinginkan, di samping memperhalusi teknik memasak menggunakan kayu api yang memerlukan ketelitian tinggi.
“Memasak dengan woodfire ini nampak ringkas, tetapi ia sangat teknikal.
“Kami perlu kawal suhu, asap dan masa dengan tepat, untuk keluarkan rasa terbaik tanpa menenggelami rasa bahan utama,” tambah Encik Hafiz.
Teknik ini menjadi teras kepada identiti restoran tersebut, dengan penggunaan kayu oak yang memberikan aroma salai yang seimbang serta memperkayakan rasa semula jadi daging itu.
Menu di The Velvet Cut menampilkan hidangan seperti stik diperam atau dry-aged, termasuk potongan tomahawk yang diperam selama 25 hari, selain sumsum tulang atau bone marrow dan burger dry-aged yang turut mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan.
Daging yang diperam itu menyerlahkan rasa daging sebagai rasa utama hidangan itu.
Menurut Encik Hafiz, walaupun stik menjadi tarikan utama, mereka juga memberi perhatian kepada hidangan lain, agar pengalaman pelanggan lebih menyeluruh.
“Kami mahu setiap hidangan ada peranannya dalam perjalanan makan itu, daripada pembuka selera hingga pencuci mulut.
“Milo tiramisu contohnya, beri sentuhan yang dekat dengan selera tempatan tetapi dalam gaya yang lebih diperkaya,” katanya.
Dari segi suasana, restoran ini direka agar terasa intim dan selesa, tanpa terlalu formal, sesuai untuk pelbagai acara, sama ada sambutan istimewa atau makan santai.
“Kami mahu orang datang dan rasa seperti di rumah, tetapi masih ada elemen istimewa.
“Tidak terlalu intimidating (menggerunkan), tetapi cukup bermutu untuk satu pengalaman yang berbeza,” ujarnya.
Pemilihan lokasi di Joo Chiat juga bukan kebetulan, memandangkan kawasan itu terkenal dengan karakter dan kepelbagaian pengunjung yang menghargai konsep unik.
“Fokus utama adalah untuk mengekalkan konsistensi dan memperkukuh jenama sebelum mempertimbangkan sebarang peluasan.
“Industri F&B bergerak sangat pantas. Kita tidak boleh buat benda yang sama sahaja.
“Inovasi penting untuk kekalkan minat pelanggan, tetapi pada masa sama kita perlu pastikan asas itu kukuh,” ulas Encik Hafiz.
“
“Dengan The Velvet Cut, saya mahu teroka ruang yang berbeza, sesuatu yang lebih fokus dan ‘refined’ (diperhalusi). Ia tentang keluar daripada zon selesa... Memang ada permintaan untuk stik berkualiti, tetapi sangat sedikit tempat yang menyajikan pengalaman ‘steakhouse’ premium yang dimiliki pemilik Islam. Bukan hanya pada daging, tetapi teknik, suasana dan keseluruhan pengalaman.”The Velvet Cut
Alamat: 51 Joo Chiat Road, #01-02, Singapura 427373Isnin hingga Ahad, 11 pagi hingga 11 malam

