Topik diikuti
Pergi ke BHkuUjian miliki anak autisme: Ungkapan ‘Haris sayang ayah’ penawar jiwa Junaidi
Ujian miliki anak autisme: Ungkapan ‘Haris sayang ayah’ penawar jiwa Junaidi
Pelakon drama ‘Keranamu Khadijah’ perkukuh komunikasi dengan isteri untuk galas amanah bersama
Ujian miliki anak autisme: Ungkapan ‘Haris sayang ayah’ penawar jiwa Junaidi
Bapa mana yang tidak gusar memikirkan masa depan anak, apatah lagi apabila anak yang dibesarkan berada dalam spektrum autisme.
Itulah perasaan yang membelenggu jiwa pelakon tempatan, Junaidi Sali, 42 tahun, apabila mengenang perjalanan penuh jerih payah membesarkan anak sulungnya, Haris, tujuh tahun.
Menurut Junaidi, pada peringkat awal beliau dan isterinya, Elliani Zainali Yahya, 43 tahun – yang bekerja sepenuh masa dalam bidang kewangan – sukar menerima hakikat keadaan anak.
“Awalnya, cabaran paling besar buat kami adalah menerima secara sepenuh hati dan menyedari anak kami sebenarnya berada dalam spektrum autisme.
“Perkara ini juga amat penting buat kami supaya kami dapat meraih bantuan dan sokongan yang sewajarnya demi perkembangan Haris.
“Jika bercakap soal kerisauan mengenai masa depannya, perkara itu sentiasa bermain dalam fikiran kami.
“Lebih merisaukan adalah, bagaimana nanti dia akan menyesuaikan diri dengan orang sekeliling serta menyampaikan keperluannya, terutama apabila ibu bapanya tidak berada di sisi,” kata Junaidi ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, baru-baru ini.
Kebimbangan Junaidi terhadap anaknya, Haris, mula timbul apabila beliau menyedari terdapat beberapa perkembangan penting yang tidak dicapai atau kurang selari dengan kanak-kanak lain seusianya.
“Dalam era teknologi dan Internet sekarang, saya banyak membaca serta membuat rujukan dan mendapati ada beberapa persamaan dengan apa yang dialami Haris.
“Ketika itu, saya cuba memujuk hati sendiri dengan menganggap dia hanya lambat sedikit berkembang kerana masih kecil.
“Namun, lama-kelamaan, tanda-tanda itu semakin ketara.
“Contohnya, setiap kali saya dan isteri memperkenalkan sesuatu yang baharu kepadanya, keterujaannya hanya seketika sebelum dia mula beralih perhatian ke perkara lain.
“Walaupun pada awalnya kami tidak terlalu memikirkan tentang hal (autisme) itu, kami tetap memantau perkembangan Haris dari semasa ke semasa,” tambah Junaidi.
Bagaimanapun, antara perkara yang mendorongnya untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut adalah apabila Haris kerap menangis dan sering dianggap tidak mendengar kata oleh rakan seusianya di sekolah.
“Ketika isteri saya menghantar Haris ke sekolah, ada rakan seusianya mengatakan Haris nakal, tidak mendengar kata dan sering menangis di dalam kelas.
“Sebaik mendengar perkara itu, saya rasa, kami perlu bertindak cepat.
“Haris, yang berusia tiga tahun ketika itu, pun masih belum tahu cara untuk meluahkan apa yang dirasakannya.
“Dari situ, saya berbincang dengan isteri dan berkata kami perlu mendapatkan bantuan awal untuk Haris.
“Pernah juga berlaku ketika kami sekeluarga berada di Taman Haiwan Singapura, dan Haris mahu menaiki trem sekali lagi.
“Apabila permintaannya tidak dapat ditunaikan, dia terus menangis melalak sehingga kedengarannya seperti sedang didera,” tambah Junaidi, yang turut mempunyai cahaya mata perempuan berusia empat tahun.
Meskipun anak perempuannya, Nadra, jauh lebih muda dari Haris, Junaidi bersyukur kerana kehadiran Nadra sedikit sebanyak menjadikan Haris lebih petah dan banyak bercakap.
“Sebelum kehadiran Nadra, mungkin tanda-tanda Haris sebagai kanak-kanak autisme lebih ketara.
“Namun, selepas adanya Nadra, walaupun dia gemar mengusik abangnya, keadaan itu sedikit sebanyak membuatkan Haris lebih banyak bercakap dan lebih mudah meluahkan perasaannya,” ungkap Junaidi.
Ketika membesarkan anak autisme, Junaidi mengakui perjalanan sebagai ibu bapa bukanlah mudah kerana melalui pelbagai cabaran dan roda-roda emosi yang ada pasang surutnya.
Sehubungan itu, pelakon drama Singapura, Keranamu Khadijah itu, menegaskan pentingnya persefahaman dan sokongan antara suami isteri dalam menghadapi cabaran membesarkan anak autisme.
“Saya pernah kecewa dan tertanya-tanya, ‘Kenapa harus kami?’
“Namun, kami mengubah perspektif itu kepada ‘Kenapa tidak?’, dan belajar untuk menerima setiap perasaan yang hadir.
“Bagi saya, apa yang penting adalah untuk terus bangkit dan melangkah ke hadapan.
“Selain itu, saya anggap isteri saya sebagai rakan sepasukan.
“Dalam keadaan seperti ini, kami tak boleh sama-sama lemah.
“Kalau kededuanya tenggelam dalam perasaan masing-masing, memang sukar untuk terus kuat.
“Apa pun, ketika Haris mengutarakan kata-kata, ‘Haris sayang ayah’, segala pengorbanan rasa sangat berbaloi.
“Detik seperti itulah yang sangat jarang, berharga dan membuat saya terus kuat,” ujarnya.
Sebelum ini, Junaidi memperlahankan kegiatan lakonan kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada kededua anaknya, khususnya Haris.
Namun begitu, melihat perkembangan positif Haris kini, beliau berharap dapat kembali aktif dalam dunia lakonan dalam masa terdekat.
“Sejak Haris memasuki Sekolah Pathlight, saya perlahankan kegiatan lakonan.
“Namun, melihat perkembangannya yang positif dan membanggakan ini, saya teruja untuk kembali berlakon.
“Sebelum ini, saya turut menerima tawaran lakonan pada awal tahun (2026).
“Namun, memandangkan ketika itu Haris baru memulakan Darjah Satu, saya memilih untuk memberi keutamaan kepadanya,” ujar Junaidi, yang turut mengusahakan perniagaan biskut aneka perisa dan kek pisang secara kecil-kecilan menerusi Instagram miliknya.
