Keterujaan untuk menimang cahaya mata baharu bertukar menjadi detik paling memilukan buat pelakon asal Singapura, Shah Iskandar, apabila beliau terpaksa membuat keputusan yang cukup sukar untuk diterima sebagai seorang bapa.

Sekitar November 2025, dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Shah Iskandar, atau nama sebenarnya, Shah Iskandar Mahfuz, 44 tahun, mendedahkan isterinya, Siti Sarah Mohd Noor, 40 tahun, terpaksa menjalani satu prosedur perubatan yang amat berat untuk menamatkan kandungan.

Keputusan itu dibuat selepas bayi perempuan dalam kandungan isterinya disahkan menghidap sindrom Edward, iaitu gangguan genetik yang jarang berlaku dan boleh mengancam nyawa.

Menurut Shah, detik tersebut menjadi antara ujian paling sukar pernah dilalui bagi dirinya dan seisi keluarga.

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 21 Mei, beliau berkata:

“Apabila perkara itu terjadi, saya akui ia bukan sesuatu yang mudah untuk saya hadapi.

“Saya sering mempersoalkan mengapa kami perlu melalui dugaan sebegini dan membuat keputusan yang begitu berat?

“Namun, saya rasa tiada pengorbanan yang lebih besar daripada apa yang terpaksa dilalui oleh isteri saya sendiri.

“Ketika itu, doktor meminta saya membuat pilihan sama ada mahu menyelamatkan isteri atau anak perempuan kami.

“Doktor juga menjelaskan peluang untuk bayi kami bertahan hidup sangat rendah. Jadi, saya akhirnya memilih untuk menyelamatkan isteri saya.”

Walaupun terpaksa membuat keputusan yang amat memilukan, pasangan itu tetap mencari kekuatan dengan memberikan nama Maryam Inara kepada bayi perempuan mereka yang belum sempat dilahirkan.

Dalam hantaran itu juga, Shah, yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-44 pada 1 Mei itu, menyifatkan puterinya sebagai anak syurga.

Kedua pasangan itu telah mendirikan rumah tangga sejak 16 Januari 2016.

Mereka dikurniakan dua anak lelaki, Yusuf Zulkarnaen, enam tahun; dan Noah Arjuna, setahun.

Dalam masa sukar itu, Shah akur beliau harus menguatkan diri demi isterinya, Sarah, yang berasal dari negeri jelapang padi, Kedah, Malaysia, serta anak-anak.

“Secara emosi, saya lebih risaukan keadaan isteri berbanding diri sendiri. Apa yang saya rasa ketika itu seperti tidak penting lagi.

“Mungkin sebab saya seorang suami, anak sulung dan juga lelaki, saya hanya cuba kuatkan diri, ketepikan perasaan sendiri dan teruskan hidup,” kata anak pertama dalam keluarga tiga beradik itu.

Dalam pada itu, Shah turut berusaha menerima segalanya dengan berlapang dada.

Beliau percaya belum ada rezeki baginya untuk menimang cahaya mata pada kali itu.

Sementara itu, sempena Hari Raya Aidiladha ini, Shah menjayakan telefilem, Dua Hari Ke Korban, terbitan The Moving Visuals Co., yang memberi tumpuan kepada kehidupan empat anak yatim – watak yang dibawa Shah, Suhaillah Salam, Tysha Khan dan Hasif Nasir.

Ia juga merupakan kesinambungan daripada telefilem, Tiga Hari Ke Korban, yang disiarkan di Mediacorp Suria, pada 2022.

Entah apa pula dugaan dan kisah baharu yang menanti mereka kali ini tatkala meraikan Hari Raya Aidiladha di kampung halaman bersama nenek kesayangan, yang dilakonkan pelakon veteran Malaysia, Fauziah Nawi.

“Dari segi perkembangan watak, tidak banyak perubahan daripada siri pertama.

“Namun, saya seronok dapat kembali bekerjasama dengan Suhaillah, Tysha dan Hasif dalam telefilem ini, selain teruja menantikan sambungan kisah kami dalam bahagian ketiga pula nanti.

“Saya juga suka suasana kekeluargaan dan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha di kampung seperti yang dipaparkan dalam telefilem ini.

“Selain itu, watak nenek yang dilakonkan oleh ibu (panggilan buat Fauzia) juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan kesinambungan dan suasana kekeluargaan dalam cerita ini.

“Kalau bercakap mengenai ibadah korban, ramai mungkin menganggap ia sesuatu yang sedih. Namun, sebenarnya tidak.

“Saya boleh katakan, penonton akan dihiburkan dengan jalan cerita yang menyentuh hati, disulami jalan cerita menarik serta persembahan lakonan yang mantap,” ujarnya.

Sementara itu, penggambaran yang berlangsung selama tujuh hari itu, sebahagiannya dirakam di kawasan perkampungan dengan tanaman kelapa sawit di Banting, Selangor.

Berkongsi lanjut mengenai erti pengorbanan, Shah mengimbau detik dirinya membuat keputusan untuk memulakan kerjaya lakonan di seberang Tambak pada 2008.

Ini setelah beliau memenangi tempat ketiga dalam pertandingan realiti anjuran Mediacorp Suria, Anugerah Skrin, pada 2006.

Kerelaan hati ibu tunggal untuk melepaskan anak daripada pangkuan keluarga demi mengejar cita-cita juga amat Shah hargai

“Selepas ayah meninggal dunia akibat barah paru-paru pada 2006, ibu saya, yang kini dalam lingkungan usia 60-an tahun, memikul tanggungjawab besar untuk menyara keluarga.

“Namun begitu, beliau tetap memberi restu untuk saya bawa haluan sendiri, membina kerjaya lakonan dan berhijrah ke Malaysia.

“Padahal, sebagai anak sulung, saya yang sepatutnya berada di sisi Ibu untuk membantu keluarga.

“Apa pun, pengorbanan itulah yang masih saya kenang hingga hari ini,” kongsinya.

Meskipun periuk nasinya kini di Malaysia, pelakon drama, Gerak Khas dan Nora Elena, itu tidak menafikan kerinduan untuk kembali membintangi drama terbitan Singapura.

“Biasanya, saya hanya berpeluang menjayakan satu atau dua projek sahaja di Singapura.

“Jadi, saya memang akui ada kerinduan untuk kembali aktif berlakon dalam drama di tanah air sendiri.

“Saya juga amat berbesar hati sekiranya diberi peluang untuk membintangi drama bersiri panjang di sana.

“Tambahan pula, sekarang semakin banyak syarikat penerbitan bukan Melayu yang berjaya menghasilkan drama Melayu dengan cukup baik,” kata Shah, yang sebelum ini muncul sebagai salah seorang anggota juri bagi pertandingan realiti, Berani Lakon!, di Mediacorp Suria.

Telefilem khas Hari Raya Aidiladha, Dua Hari Ke Korban, boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria, pada 27 Mei, bermula 9.30 malam.

Ia juga boleh ditonton di aplikasi mewatch.

Secara emosi, saya lebih risaukan keadaan isteri berbanding diri sendiri. Apa yang saya rasa ketika itu seperti tidak penting lagi. Mungkin sebab saya seorang suami, anak sulung dan juga lelaki, saya hanya cuba kuatkan diri, ketepikan perasaan sendiri dan teruskan hidup.
Shah Iskandar, mengenai pilihan berat antara menyelamatkan bayi dalam kandungan isteri yang mempunyai sindrom Edward, iaitu gangguan genetik atau isterinya.