Topik diikuti
Pergi ke BHkuSajian klise ‘tangkap muat’ punca program adu bakat hilang taring
Sudah tiba masa pentas realiti ‘paksa’ peserta keluar zon selesa, henti format basi lagi menjemukan
Sajian klise ‘tangkap muat’ punca program adu bakat hilang taring
Tidak dinafikan, pertandingan nyanyian terus menjadi antara program yang mewarnai industri hiburan di Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Hampir setiap tahun ada sahaja pertandingan yang muncul di kaca televisyen.
Daripada mencari bakat baharu, menghidupkan kembali nama lama hinggalah menemukan bintang yang diharap mampu menjadi pelapis industri.
Tetapi entah mengapa, bagi saya, lama-kelamaan format kebanyakan pertandingan nyanyian semuanya terasa sama sahaja.
Misalnya, minggu pertama, nyanyi lagu pilihan sendiri. Minggu seterusnya, nyanyi rangkaian lagu malar segar.
Kemudian, persembahan duet bersama penyanyi berpengalaman dalam industri.
Apabila tiba separuh akhir, pilihan lagu pula semakin ‘mega’, sebelum setiap peserta mengerah segala kemampuan untuk memberikan persembahan terbaik di pentas akhir.
Habis satu musim, datang pula pertandingan lain dengan acuan atau format yang tidak jauh berbeza.
Saya sampai terfikir: “Tidakkah ada cabaran yang mampu menguji keupayaan peserta dengan cara lebih mencabar dan di luar kebiasaan?”
Sebagai penonton, saya mendahagakan sesuatu yang lebih mencabar, yang benar-benar ‘memaksa’ peserta keluar dari zon selesa.
Sebab kalau peserta itu memang hebat menyanyikan lagu balada, kemudian terus disajikan genre sama saban minggu, sudah tentulah kita akan jemu melihat persembahan itu tanpa sebarang kejutan.
Bayangkan peserta yang selama ini selesa berdiri di tengah pentas tiba-tiba diberikan lagu yang menuntut gerakan tarian.
Atau, peserta dicabar membawakan lagu hit dengan olahan sendiri sehingga mencerminkan identiti mereka.
Di situlah, bagi saya, sesebuah pertandingan nyanyian menjadi lebih menarik dan sukar dijangka.
Malangnya, ruang untuk meneroka sisi sebegini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam kebanyakan pertandingan nyanyian, yang saya perhatikan hari ini.
Vokal hebat belum tentu memikat
Hakikatnya, cara generasi hari ini menikmati muzik sudah berubah.
Mereka bukan lagi duduk di depan televisyen semata-mata untuk mendengar siapakah yang boleh mencapai nota paling tinggi dengan baik.
Persoalannya, dalam lambakan penyanyi berbakat, apakah yang membuatkan seseorang peserta itu menonjol dan terus diingati?
Pada pendapat saya, cara seseorang penyanyi menyampaikan lagu, membina konsep, bermain dengan susunan muzik, menggunakan pentas dan mencipta detik sukar dilupakan atas pentas amat penting.
Ini mengingatkan saya kepada seorang penyanyi muda kelahiran Bangka Belitung, Indonesia, yang berbakat, iaitu Shabrina Leanor, 26 tahun.
Beliau yang cukup dikenali dengan watak ‘gila-gila’ dan penuh tenaga atas pentas merupakan Juara Indonesian Idol (Musim 13).
Dalam podcast On The Grind, yang dimuat naik dalam laman web, YouTube baru-baru ini, pemilik suara alto (bernada rendah dan ‘berisi’) mengakui suaranya tidak berada dalam keadaan baik atas faktor kesihatan, sepanjang pertandingan itu berlangsung pada 2025.
Meskipun berdepan kekangan tersebut, beliau bijak menyerlahkan kekuatan lain atas pentas seperti lenggok berjalan, tatapan mata yang tajam hinggalah aksi pentas penuh kejutan.
Pendek kata, seperti katanya kepada hos podcast tersebut iaitu, Praz Teguh, yang penting, ‘yang sensasi aja!’
Di situlah terletaknya kreativiti Shabrina, yang berjaya menyerlahkan auranya di atas pentas dan mencuri perhatian ramai biarpun berdepan cabaran vokal sepanjang pertandingan.
Sebab itu peserta perlu terus dicabar, kerana di luar zon selesalah kita dapat melihat sejauh manakah potensi sebenar mereka.
Kerjasama bakat baharu dengan ‘otai’ muzik
Satu lagi perkara yang saya gemari dalam pertandingan berkenaan ialah peluang diberikan kepada peserta untuk berganding dengan pemuzik dan komposer berpengalaman dalam meneroka warna serta sisi muzik yang berbeza.
Sebagai contoh, saya sentiasa menanti-nantikan gandingan peserta Indonesian Idol dengan komposer tersohor seperti Andi Rianto dan Yovie Widianto, yang menjadi antara segmen menarik sejak beberapa musim lalu.
Menariknya, di tangan mereka, lagu yang mungkin kedengaran biasa boleh diberikan nafas baharu menerusi olahan muzik dan susunan orkestra yang gah, sekali gus mencungkil sisi serta potensi peserta yang mungkin tidak terserlah sebelum ini.
Komposer Indonesia, Eka Gustiwana Putra, pula membawa pendekatan berbeza iaitu lebih berani mencuba kelainan dalam Indonesian Idol, termasuk menerusi sentuhan muzik tarian elektronik (EDM) dan nuansa muzik Jepun.
Bagi saya, penerokaan sebegini penting kerana peserta tidak lagi sekadar menyanyikan semula lagu hit, malah dicabar menyesuaikan kekuatan vokal mereka dengan dunia muzik yang mungkin bukan arus perdana.
Apabila digandingkan dengan penggubah lagu berpengalaman, peserta berpeluang memahami proses kreatif dengan lebih mendalam, bertukar pandangan dan menentukan bagaimana sesebuah lagu boleh diolah mengikut kekuatan serta identiti mereka.
Proses inilah yang mengasah ‘rasa’ muzik bakat muda, sesuatu yang tidak boleh dinilai hanya melalui kemampuan mencapai nota tinggi.
Lebih penting, industri sebenar menuntut penyanyi untuk sentiasa menyesuaikan diri, meneroka dan bekerjasama dengan pengkarya lain.
Lagu kemenangan usahlah sekadar ‘tangkap muat’
Selesai pertandingan, lazimnya peserta dibekalkan lagu kemenangan atau single debut sebagai buah tangan dan batu loncatan untuk memulakan perjalanan dalam industri.
Karya pertama cukup penting kerana ia seharusnya mencerminkan kekuatan dan identiti sebenar peserta sebagai artis.
Dalam Big Stage X Rocketfuel, misalnya, ada karya peserta yang belum cukup mencerminkan potensi besar yang ditonjolkan sepanjang pertandingan.
Salah satunya, lagu Malas La Wey, dendangan Qilo, tampil santai dan dekat dengan Generasi Z, tetapi belum cukup memanfaatkan kekuatannya yang lebih menyerlah ketika menyanyikan lagu bernuansa jaz sepanjang pertandingan.
Begitu juga lagu, Terus Terang, nyanyian kumpulan duo, Adam & Nazmie.
Sepanjang pertandingan, kekuatan vokal dan harmoni mereka begitu menyerlah.
Namun, karya debut mereka itu, masih terasa ‘tangkap muat’ dan belum lagi menyerlahkan kelebihan tersebut, sedangkan duo itu berpotensi menawarkan warna tersendiri dalam industri muzik.
Ini bukan sekadar soal lagu itu sedap atau tidak, tetapi sejauh manakah karya tersebut dibentuk untuk penyanyinya.
Sebab itu pertandingan perlu memberikan ruang kepada peserta untuk mengenali warna muzik dan identiti sendiri, selain terlibat dalam proses kreatif bersama komposer.
Sayang seribu kali sayang jika berminggu-minggu bakat digilap, tetapi selepas pentas pertandingan berakhir, mereka masih tercari-cari siapakah diri mereka sebagai artis.
Di ambang kemunculan pertandingan realiti tempatan, Anugerah, yang bakal disiarkan di Mediacorp Suria mulai 25 Ogos ini, saya berharap pentas tersebut membawa nafas lebih segar dengan mencabar peserta keluar dari zon selesa, meneroka pelbagai warna muzik dan menemukan identiti tersendiri sebagai artis.
Pada akhirnya, pertandingan nyanyian bukan sekadar mencari bakat baharu, malah melahirkan artis yang bersedia menghadapi cabaran industri yang datang bertali arus.
