Menerusi set persembahan sulungnya di Singapura, penyanyi R&B dari Indonesia, Adrian Khalif, tidak sekadar mendendangkan untaian lagu daripada album keduanya, Harap-Harap Emas, malah turut menghadirkan suasana muzik memukau yang berhasil meresap ke dalam jiwa penonton.

Meskipun hanya mempersembahkan 10 lagu, Adrian tidak berusaha untuk tampil berlebihan, sebaliknya cukup sekadar mencipta suasana yang terasa dekat dan intim.

Beliau membuat persembahan di Singapura pada 19 April, di Studio Annexe Esplanade sempena Pesta Raya 2026.

Memulakan persembahan tepat 8 malam, Adrian yang segak mengenakan kemeja hitam, tampil dengan gaya santai, bahkan sempat berseloroh memuji wanita Singapura yang kelihatan ayu.

“Jadi benarlah kata-kata orang, cewek (perempuan) Singapura cantik-cantik semua,” katanya.

Meskipun ringkas, ia berupaya menghangatkan suasana penuh mesra dengan penonton, khususnya kaum Hawa.

Dengan suaranya yang lembut, Adrian membawakan lagu cinta berentak R&B yang terasa dekat di hati, seakan-akan mencerminkan kisah cinta yang pernah dilalui ramai.

Mungkin di situlah kekuatan utama Adrian – kemampuannya membangkitkan semula kenangan itu, lalu membuka ruang bagi penonton mencurahkan segala rasa yang terpendam sepanjang malam tersebut.

Dalam persembahan selama sejam, beliau ditemani barisan pemuzik Indonesia yang berbakat, termasuk pemain bes, Austin Ong; pemain papan nada, Dustin David; dan pemain dram, Josh Song.

Adrian membuka persembahan dengan beberapa lagu seperti Kualat dan Kembali Kesepian, nyanyian asalnya bersama kumpulan, Juicy Luicy.

Di tengah persembahan, penyanyi berketurunan Jawa-Padang itu sempat mengimbau kenangan ketika membuat persembahan kali pertama di Singapura pada 2018, yang hanya disaksikan sekitar 10 penonton.

Namun, suasananya kini jauh berbeza di Studio Annexe Esplanade, apabila ratusan penonton memenuhi ruang, menjadi bukti jelas perjalanan serta perkembangan dirinya sebagai penyanyi selama sembilan tahun.

Malah, Adrian turut menyuarakan harapan agar suatu hari nanti, beliau dapat bekerjasama dengan penyanyi senegara, Afgan.

Antara detik yang mencuri perhatian saya adalah apabila Adrian menyanyikan lagu, Officially Missing You, dendangan asal Tamia, dalam versi sendiri lengkap dengan sentuhan rap yang hadir sebagai satu kejutan.

Tidak sangka Adrian pun boleh rap dengan baik!

Lagu Maling pula mengundang sorakan, dengan penonton sama-sama menyanyikan lirik yang cukup melekat dan berbunyi, “Tak butuh sejuta, kuminta kamu saja... samaku selamanya.”

Apabila lagu hit seperti Menawan dan Alamak, duet Adrian bersama Rizky Febian dimainkan, suasana menjadi lebih hidup.

Dalam lagu Alamak, Adrian mengungkapkan perasaan cinta mendalam terhadap isterinya, Libra Akila Wulandaru, sekali gus menegaskan hatinya akan sentiasa terpaut kepada wanita yang sama walau diberi sembilan nyawa sekalipun.

Sebagai penutup, lagu yang berhasil melonjakkan namanya ke carta populariti iaitu, Sialan, benar-benar menyatukan semua yang hadir dalam satu rentak.

Adrian membawa penonton menelusuri semula kisah pertemuan yang tidak dijangka dengan bekas kekasih, bersama sisa perasaan yang belum tuntas, serta detik jatuh cinta semula walaupun keadaan sudah berubah.

Antara bait yang paling membekas di hati saya berbunyi, “Lupa bahawa lupakannya tak mudah, tapi menyangkut dia, aku tak bisa. Sepertinya sama, tatapan khas matanya masih yang lama.”

Mungkin kerana terlalu larut dibuai perasaan, sejam berlalu begitu cepat.

Ketika suasana baru sahaja hangat, malam itu sudah sampai ke penghujungnya.

Bagaimanapun, saya akur yang tinggal hanyalah rasa puas hati, disertai sedikit harapan agar lebih banyak lagu dapat dipersembahkan di lain kesempatan.

Saya juga berharap Adrian akan terus menghasilkan lagu bermutu, di samping lebih banyak berinteraksi dengan penonton agar mereka dapat mengenal dirinya dengan lebih dekat.