Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeater ‘La Luna’ lontar jeritan suara wanita digari tradisi
Teater ‘La Luna’ lontar jeritan suara wanita digari tradisi
Lakonan Siti K cuit hati dalam usaha teroka kuasa pincang, cabaran wanita dalam dunia konservatif
Teater ‘La Luna’ lontar jeritan suara wanita digari tradisi
Bagi saya yang terlebih dahulu menonton filem, La Luna, arahan M Raihan Halim, pementasan La Luna yang dibawakan Teater Ekamatra sempena Pesta Raya 2026, hadir dengan cabaran perbandingan yang sukar dielakkan.
Ia kemudian menimbulkan satu persoalan lain, yang bukan lagi mempersoal sama ada jalan cerita itu dibikin serupa atau berbeza, tetapi sejauh mana ia dapat memberi kesan mendalam terhadap penonton.
Apabila saya berpeluang menonton pementasan La Luna, yang berlangsung selama dua jam di Teater Singtel Waterfront, Esplanade pada 18 April, saya difahamkan watak dan jalan cerita diolah sedikit berbeza berbanding versi filem.
Secara tidak langsung, jangkaan saya terhadap pementasan itu turut berubah dengan cuba memahami versi pentas ini sebagai satu tafsiran baharu.
Pementasan dibuka dengan Azura (lakonan Haziqah Hashir), yang sedang menulis tesis mengenai sejarah kampungnya iaitu, Kampung Bras Basah.
Dalam proses itu, Azura bermain dengan permainan kata seperti ‘beras’ dan ‘bras’ (pakaian dalam wanita), hingga lahirlah jenaka linguistik ‘bras basah’.
Bagi saya, permulaannya menarik, namun tidak begitu menimbulkan rasa ingin tahu yang mendalam untuk mengikuti perkembangan jalan cerita, berbanding versi filem, yang sejak awal lagi berjaya membentuk suasana konservatif dengan lebih ketara.
Bagaimanapun, cerita ini masih berlatarkan Kampung Bras Basah yang terikat dalam pemikiran tradisional, sebelum kedatangan gadis bandar, Hanie Abdullah (Munah Bagharib), yang membuka kedai pakaian dalam wanita, La Luna, di kampung itu.
Kehadirannya secara perlahan-lahan mula menggugat norma kehidupan masyarakat kampung, khususnya dalam membuka ruang peribadi serta kebebasan baharu bagi kaum Hawa.
Namun begitu, antara perubahan paling ketara yang saya lihat adalah watak Azura.
Azura kini digambarkan sebagai wanita berani yang tidak terikat dengan norma budaya di kampung itu, yang sering meletakkan wanita pada kedudukan lebih rendah.
Malah, dialah yang terlebih dahulu meluahkan rasa cintanya pada rakan sekolah, Yazid (Ali Mazrin).
Memang kalau mengikut kepercayaan orang dulu-dulu, ia bak peribahasa, ‘perigi mencari timba’!
Pendekatan ini sangat mengujakan kerana ia mencabar stereotaip peranan antara lelaki dengan perempuan, namun dalam konteks kampung yang konservatif, ia juga menimbulkan ketegangan yang menuntut perubahan.
Sementara itu, ungkapan Tok Hassan (Sani Hussin) terhadap kedudukan wanita sebagai ‘kelas kedua’ dan ‘mesin melahirkan anak’ pula menjadi antara detik paling mendebarkan dalam pementasan.
Ia disampaikan secara terus terang, tanpa sebarang lapisan atau penyaringan.
Walaupun ia mencetus rasa tidak selesa dan kemarahan, ia juga terasa dekat dengan realiti sosial yang masih mendarah daging dalam sebahagian pemikiran masyarakat hari ini.
Jika filem La Luna berjaya membina emosi secara perlahan dan berkesan, versi pentas ini pula sering menyebarkan idea tanpa benar-benar mengikatnya dalam satu aliran cerita yang kukuh.
Walaupun usaha memberi ruang agar setiap watak digambar secara jelas wajar dipuji, tidak semuanya berkembang dengan baik.
Misalnya, plot sampingan seperti isu barah buah dada yang dihadapi Cikgu Enah (Farhana M Noor) hanya diperkenalkan tanpa perkembangan lanjut.
Ketiadaan plot keganasan rumah tangga yang dipaparkan secara jelas juga sangat dirasai.
Dalam filem, ia merupakan antara unsur penting yang memaparkan kemelut rumah tangga yang sering kali tidak diberi perhatian.
Namun begitu, dalam versi pentas, ia digantikan dengan kisah Yam, kakak Cikgu Enah yang juga isteri Tok Hassan, yang diperlakukan secara kejam sehingga meragut nyawanya.
Mungkin, ini juga dilakukan bagi memberikan pemahaman lebih mendalam tentang watak Tok Hassan di sebalik kekejaman yang dilakukan serta ‘pemikiran songsang’ terhadap peranan wanita dalam kampung itu.
Bagaimanapun, pementasan ini tetap mempunyai kekuatan tersendiri.
Sebagai contoh, Siti Khalijah Zainal atau Siti K menyerlah sebagai Jenab melalui gabungan jenaka, vokal yang kuat serta kehadiran pentas yang cukup tekal.
Lebih menarik lagi, lukisan ‘bawang merah’ pada busana yang dipakai, di samping keadaan wataknya yang membawa mikrofon ke mana-mana – ia turut menyuntik unsur jenaka yang dekat dengan hati penonton.
Ia seakan-akan memaparkan keperibadian ‘mak cik bawang’ yang gemar berkaraoke dan berceloteh.
Adakah mikrofon itu sekadar prop, atau sebenarnya membawa makna lebih mendalam dan tersirat, iaitu tentang bagaimana suara wanita perlu lebih dikuatkan agar benar-benar didengari masyarakat sekeliling, khususnya kaum Adam?
Jika itu benar niatnya, ia menjadi satu sentuhan yang cukup bermakna.
Sementara itu, Rizman Putra sebagai Mat Noh, turut mencuri perhatian melalui lakonan fizikal yang kemas dan meyakinkan.
Perkembangan wataknya daripada menjadi pengikut setia Tok Hassan yang seakan ‘lembu dicucuk hidung’ kepada individu yang mula mempersoalkan arahan, khususnya ketika diperintah membakar kedai La Luna, menambah lapisan konflik moral lebih hidup.
Dialognya masih lagi jelas di ingatan saya.
Ia berbunyi: “Kalau Tok Hassan berani masuk La Luna, saya akui budak-budak saya dayus...tidak ada telur.”
Dari segi visualnya pula, set yang direka oleh pengarah, Mohd Fared Jainal, sangat terperinci dan menarik, dengan penggunaan kayu berukir dan pentas berlapis yang membina suasana kampung dengan jelas.
Namun, apa yang sedikit kurang bagi saya ialah jiwa masyarakat kampung itu sendiri.
Jika versi filem berjaya menampilkan semangat masyarakat desa yang lebih hidup, versi pentas ini terasa sedikit asing dalam menggambarkan kehidupan bersama masyarakat kampung.
Di penghujung cerita, meskipun Tok Hassan berjaya disingkirkan, bayangannya masih tetap menghantui.
Persoalannya, adakah perubahan benar-benar telah berlaku, atau kita hanya menyaksikan kitaran yang berulang dalam bentuk yang berbeza?
Mungkin di situlah pementasan La Luna mahu penontonnya berhenti sejenak dan berfikir.
