SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Penantian 10 tahun Adrian Khalif berbuah manis

Penantian 10 tahun Adrian Khalif berbuah manis

‘Sialan’ dan ‘Alamak’ julang kerjaya seni hingga diundang ke S’pura untuk konsert solo
Apr 13, 2026 | 5:30 AM

Penantian 10 tahun Adrian Khalif berbuah manis

adrian khalif
Berkat kesabaran dan ketekunan, penyanyi Indonesia, Adrian Khalif, akhirnya merasai manisnya kejayaan setelah mengeluarkan lagu, ‘Sialan’, hasil kerjasama dengan kumpulan, Juicy Luicy. - Foto INSTAGRAM ADRIAN KHALIF

Bak pepatah Melayu, ‘tuah manusia, siapa yang tahu.’

Setelah membina kerjaya seni selama hampir 10 tahun, baru kali ini, penyanyi Indonesia, Adrian Khalif, merasakan kemanisan berada di puncak populariti.

Adrian, 33 tahun, memulakan langkahnya dalam industri muzik Indonesia melalui lagu, Made In Jakarta, hasil kerjasama dengan komposer dan deejay terkenal Indonesia, Dipha Barus, pada 2017.

Pada 2019, beliau turut mengeluarkan album sulung berjudul, Embrace Embrace, namun ia kurang mendapat sambutan.

Bagaimanapun, berkat kesabaran dan ketekunannya, beliau akhirnya merasai manisnya kejayaan melalui lagu, Sialan, hasil kerjasama dengan kumpulan, Juicy Luicy.

“Saya gembira dengan tahap kerjaya seni saya sekarang. Kerjaya saya melonjak selepas merakam lagu, Sialan, bersama Juicy Luicy.

“Satu lagi pencapaian adalah melalui lagu, Alamak, bersama penyanyi Indonesia, Rizky Febian.

“Namun, saya tidak melihat kejayaan lagu tular di media sosial, sebagai sesuatu yang perlu dikejar.

“Saya sentiasa berusaha menghasilkan muzik yang baik, dan jika diterima, alhamdulillah, itu sudah menjadi tanda positif.

“Semasa album pertama, saya sangat tegang dan terlalu memikirkan sama ada muzik saya akan diterima oleh masyarakat. Akhirnya, album itu tidak laku.

“Oleh itu, untuk album kedua, saya cuba bekerjasama dengan ramai artis lain dan banyak belajar daripada pengalaman itu,” kata anak bongsu dalam keluarga dua beradik itu, ketika dihubungi Berita Minggu (BM), baru-baru ini.

Wawancara ini dibuat di ambang konsert sulung Adrian yang akan diadakan pada 19 April, di Studio Annexe, Esplanade, bermula 8 malam, sempena Pesta Raya pusat seni Esplanade.

Sehingga akhbar ini diterbitkan, lagu, Sialan, telah mencapai sebanyak 58 juta tontonan di laman YouTube, dan 368 juta penstriman di Spotify.

Manakala, lagu, Alamak, telah mencapai 16 juta tontonan di wadah YouTube.

Ia juga telah menjana sebanyak 114 juta penstriman di Spotify.

Dalam pada itu, siapa sangka sebenarnya, penyanyi berketurunan Jawa-Padang ini, juga pernah meluangkan masa kecilnya di pelbagai negara.

Ini kerana ayahnya, Encik Yuri Octavian Thamrin, 65 tahun, pernah menjadi seorang diplomat, sebelum meniti usia persaraannya kini.

“Saya pernah tinggal di banyak negara kerana ayah saya seorang diplomat.

“Saya pernah menetap di Geneva, London, Belgium, Amerika Syarikat dan beberapa kota lain di Eropah.

“Berpindah dari satu tempat ke tempat lain menuntut saya menyesuaikan diri dengan pantas, tetapi setiap pengalaman yang diperoleh amat bernilai.

“Bagaimanapun, satu perkara yang agak sukar apabila berpindah negara ialah mengekalkan kawan rapat.

“Ketika saya berpindah kembali ke tanah air di Indonesia, saya sering susah bergaul dengan rakan sebaya. Ketika itu, saya berada di bangku sekolah rendah.

“Rakan saya selalu memanggil saya ‘bule’ (orang putih).

“Namun, begitulah kehidupan dahulu, di mana saya sentiasa terpaksa menyesuaikan diri di bermacam negara dan kota, termasuk dalam aspek budaya dan bahasa,” kongsinya, yang merupakan lulusan ijazah Sarjana Muda dalam Sastera Perancis daripada Universiti Indonesia.

Menyentuh pula tentang konsert sulungnya di Singapura, Adrian akur teruja kerana acara ini kian menandakan kerjayanya semakin mendapat perhatian di luar Indonesia.

“Sudah tentu, orang pertama yang saya maklumkan tentang berita ini ialah isteri saya.

“Setiap awal bulan, saya biasanya berkongsi jadual saya sepanjang bulan dengan beliau.

“Apabila beliau melihat saya akan membuat persembahan di Singapura, beliau sangat gembira dan memberi sokongan sepenuhnya.

“Dahulu, ketika saya melancong di Singapura dan duduk di Teater Luar Esplanade, suasana muzik di situ begitu memukau.

“Saya berbisik pada diri sendiri bahawa suatu hari nanti, saya mahu membuat persembahan di sini, dan akhirnya impian itu berhasil dikotakan,” ujarnya, yang beristerikan pengacara dan peragawati Indonesia, Libra Akila, 32 tahun.

Hasil perkahwinan mereka pada 2017, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki, iaitu Kaiu Arshad Thamrin, tujuh tahun; dan Admiralkin Musa, tiga tahun.

Sebelum ini, Adrian juga pernah membuat persembahan di Singapura sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, ini adalah kali pertama beliau mempersembahkan set lagunya sendiri.

“Saya cuma ingin mencipta suasana yang menghiburkan untuk penonton nanti.

“Mereka juga boleh menantikan beberapa lagu daripada album kedua saya, Harap Harap Emas (2024),” tambahnya.

Seterusnya, Adrian sedang merancang untuk mengeluarkan album ketiga, yang bernuansa muzik pop dan R&B, pada 2027.

“Dalam industri muzik Indonesia masa kini, terdapat banyak lagu ‘bucin’ (lagu mengisahkan tentang cinta) atau perasaan ketika baru jatuh cinta, contohnya seperti lagu Alamak.

“Kali ini, saya ingin menghasilkan muzik yang sesuai bagi mereka yang mungkin telah berkahwin selama 10 tahun.

“Saya rasa saya mampu menyalurkan perasaan itu pada pendengar, kerana saya sendiri telah berkahwin selama sembilan tahun.

“Jadi, saya berharap dapat sampaikan perasaan ‘naik turun’ dalam percintaan, lebih-lebih bagi mereka yang telah lama berkahwin,” katanya, tanpa mengumumkan judul album.

Sementara itu, peminat Adrian boleh menantikan album mini atau EP (extended play) yang dijadualkan terbit pada 2026.

Tiket bagi konsert Adrian Khalif, berharga $34 dan $40, boleh didapatkan melalui laman Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/adrian0426

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg