Naskhah Macbeth karya penulis agung Inggeris, William Shakespeare, diberi nafas baharu menerusi pementasan, Randai Macbeth, arahan Dr Norzizi Zulkifli, dan dibawakan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Ia berlangsung dari 16 hingga 19 April lalu, pada 3 petang (hanya Ahad) dan 8 malam (Khamis hingga Sabtu), di Studio Teater Esplanade, sempena Pesta Raya 2026, anjuran pusat seni Esplanade.

Menariknya, pementasan itu mengangkat kisah tragedi Macbeth (lakonan Che’ Kem), pahlawan asal Scotland, yang juga orang kaya Glamis dan kemudian, Cawdor, ke dalam dunia kepahlawanan Melayu.

Walaupun jalan ceritanya kekal setia pada naratif asal tentang ketaasuban mengejar cita-cita, yang akhirnya menjauhkan Macbeth daripada nilai moral murni dan membawa kepada kehancuran, penggunaan seni randai (bentuk teater tradisional Minangkabau), menjadikan keseluruhan persembahan lebih hidup sambil tetap berakar pada budaya Nusantara.

Ketika saya menonton pementasan yang berlangsung selama hampir dua jam itu pada 16 April, persembahan dimulakan dengan tanda-tanda awal akan berlakunya sesuatu yang buruk.

Diselang-seli bunyi guruh, kilat dan hujan, tiga ahli sihir (lakonan Eliza Mustafa, Rosman Ishak, dan Mohd Shahrul Mizad Asaari) membuka tirai cerita dengan langkah perlahan dan gerakan penuh misteri, sambil menggumamkan ramalan Macbeth akan diangkat menjadi raja seterusnya.

Suasana penuh misteri dan ketegangan terus dikekalkan apabila 10 anak randai memasuki ruang pentas dengan gerakan membentuk satu bulatan sambil mempersembahkan gerak silat yang kemas.

Setiap pergerakan mereka diiringi tapuak iaitu, tepukan tangan dan pukulan telapak tangan ke galembong.

Galembong ialah seluar panjang menyerupai kain sarung yang dipakai pemain randai.

“Tak... Aiii..., Ih, Ap, Tah, Tih!” – bunyi laungan bersahut-sahutan diteriakkan oleh ketua anak randai sebagai isyarat pertukaran gerakan, perubahan tempat, dan pengaturan tempo permainan randai.

Sungguh mengasyikkan! Terasa satu aura yang kuat seolah-olah menarik penonton masuk ke dalam dunia yang dibentuk di hadapan mata.

Di samping itu, kumpulan muzik secara langsung ditempatkan di bahagian belakang pentas, mengiringi pemain randai dan pelakon dengan lapisan muzik dan kesan bunyi yang menghidupkan lagi ketegangan suasana.

Ciri muzik memainkan peranan penting dalam membentuk emosi pementasan.

Di bawah arahan pengarah muzik, Muhammad Azril Yeop, alat muzik tradisional Melayu digabungkan dengan vokal yang sarat jiwa, menghasilkan lapisan bunyi yang berhasil menyentuh perasaan.

Selingan lagu hadir secara semula jadi dalam aliran cerita, dengan suara pelantun, Nor Azura Abu Bakar dan Ezdianie Hayatie Omar.

Nyanyian mereka dalam bahasa Minang meresap ke seluruh ruang teater dengan kejelasan yang memukau, sekali gus memperdalam lagi suasana tegang yang menyelubungi pementasan.

Kain putih yang panjang dan berjuraian pula memenuhi pentas.

Ia sentiasa berubah makna melalui gambaran berbeza sepanjang perjalanan cerita.

Kadangkala, kain itu membentuk bayangan istana, atau ruang upacara.

Ia juga boleh bertukar menjadi sesuatu yang lebih mengancam, sekali gus memberi bayangan bahaya semakin hampir dan kian berlaku.

Kesan ini begitu ketara dan menjadi antara kekuatan utama pementasan, khususnya dalam babak pembunuhan Raja Duncan (Mohd Adika Zainal).

Set pentas yang menyerupai bumbung rumah digantung di ruang pentas, dan terbuka secara dramatik sebelum melepaskan helaian kain panjang yang seolah-olah berlumuran darah.

Kain itu membentuk gambaran abstrak pembunuhan Raja Duncan yang dilakukan secara kejam, diperkuat lagi dengan respons serentak anak randai yang menghidupkan lagi ketegangan babak tersebut.

Bagi saya, di sinilah terserlah keyakinan pementasan dalam menggabungkan simbolisme dengan kesan visual yang kuat.

Dalam pada itu, di tengah-tengah pementasan, dua watak utama menjadi nadi penggerak emosi cerita.

Che’ Kem, atau Mohd Kamarulzaman Taib sebagai Macbeth, menampilkan karisma memikat, namun, pada masa yang sama sarat dengan pergolakan jiwa.

Perubahan dirinya daripada pahlawan gagah kepada pemerintah yang kian hanyut dalam kegilaan kuasa dipersembahkan dengan penuh kesungguhan, yang jelas terpancar melalui mimik wajah dan bahasa tubuhnya.

Sementara itu, Juhara Ayob, menguasai pentas sebagai Lady Macbeth dengan persembahan gemalai dan anggun, namun, diselubungi kerakusan dan tamak haloba untuk merampas kuasa pemerintahan daripada Raja Duncan.

Antara babak paling berkesan adalah ketika Lady Macbeth dihantui dosa silam dan dihimpit rasa bersalah atas pembunuhan Raja Duncan.

Lady Macbeth berulang kali cuba membersihkan kesan darah yang tidak wujud di tangannya, namun, perbuatan itu mula menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat yang mempersoalkan kewarasan dirinya.

Lambang itu merujuk kepada keruntuhan moral yang akhirnya membawa kepada pengakhiran tragik bagi Lady Macbeth.

Dari segi busana pula, hasil sentuhan Nur Afifi Mohamed Taib, berjaya menyerlahkan keindahan pakaian tradisional Melayu.

Setiap pelakon mengenakan pakaian berwarna merah gelap, hitam dan emas serta songket, yang melambangkan kemegahan dan darjat watak itu.

Lebih daripada itu, perincian seperti hiasan kepala, Tingkuluak Tanduak, turut mencuri perhatian, dengan reka bentuknya yang menyerupai tanduk kerbau, dan sangat ikonik dalam budaya Minangkabau.

Dihasilkan daripada kain songket tenunan benang emas yang berkilau, hiasan itu bukan sahaja memperkukuh identiti budaya, malah, menyerlahkan keanggunan dan aura berwibawa pada watak, Lady Macbeth.

Namun begitu, terdapat sedikit kelemahan dari segi perkembangan watak tertentu.

Watak seperti Raja Duncan dan Macduff (Yusmar Afeendi Yusof) muncul dalam tempoh yang agak singkat, sekali gus mengehadkan keterikatan emosi penonton terhadap mereka.

Bagi penonton yang kurang mengikuti teks Shakespeare ini, ia mungkin terasa sedikit mengelirukan.

Lebih baik sekiranya diselitkan unsur pertempuran aksi silat antara Macbeth dengan Raja Duncan atau Macduff, bagi menambah lagi kesan dramatik dan memperkukuh ketegangan dalam persembahan.

Namun begitu, kekurangan ini tidak menjejas keseluruhan kesan pementasan.

Randai Macbeth tetap berdiri sebagai sebuah adaptasi yang berani dan sarat makna, mengangkat teks klasik Inggeris melalui lensa seni persembahan Nusantara.

“Set pentas yang menyerupai bumbung rumah digantung di ruang pentas, dan terbuka secara dramatik sebelum melepaskan helaian kain panjang yang seolah-olah berlumuran darah. Kain itu membentuk gambaran abstrak pembunuhan Raja Duncan yang dilakukan secara kejam, diperkuat lagi dengan respons serentak anak randai yang menghidupkan lagi ketegangan babak tersebut. Bagi saya, di sinilah terserlah keyakinan pementasan dalam menggabungkan simbolisme dengan kesan visual yang kuat.”
Penulis.