SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Munah Bagharib ketengah jiwa, perjuangan wanita moden

Munah Bagharib ketengah jiwa, perjuangan wanita moden

Teroka lebih dalam tema hak, pemerkasaan dan peranan wanita dalam masyarakat
Apr 10, 2026 | 5:30 AM

Munah Bagharib ketengah jiwa, perjuangan wanita moden

Rasa teruja menguntum dalam hati pelakon, pengacara dan pencipta kandungan, Munah Bagharib, apabila diberi peluang membawakan watak yang begitu dekat dengan dunia wanita.

Perasaan itu bertambah apabila Munah, 39 tahun, membawa watak Hanie Abdullah dalam pementasan, La Luna, yang dipadankan daripada filem arahan sutradara Singapura, M Raihan Halim.

Hanie merupakan usahawan yang mengendalikan kedai menjual pakaian dalam wanita dan secara tidak sengaja perbuatan itu turut mengejutkan seluruh desa di Kampung Bras Basah.

“Ketika filem ini mula ditayangkan pada 2024, pelakon, Siti Khalijah Zainal, yang turut terlibat dalam pementasan teater, La Luna, menyarankan saya untuk menontonnya.

“Katanya, saya pasti akan menyukainya, dan ternyata benar.

“Beberapa tahun kemudian, apabila saya dimaklumkan saya akan terlibat dalam pementasan, La Luna, saya berasa amat teruja.

“Bagi versi pentas, saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang lain daripada tema asal.

“Namun, terdapat unsur baharu yang diperkenalkan seperti nyanyian, tarian dan reaksi yang lebih langsung dengan watak lain.

“Pendekatan ini memberi dimensi berbeza dalam memahami setiap watak,” kata Munah, dalam satu sesi wawancara bersama Berita Harian (BH) di Studio Latihan, Esplanade, pada 1 April.

Pementasan, La Luna, dibawakan oleh Teater Ekamatra, yang ditugaskan Esplanade, sempena Pesta Raya 2026.

La Luna dipentaskan buat kali pertama dengan sentuhan penulis skrip asal Malaysia, Ridhwan Saidi, dan pengarah Singapura, Mohd Fared Jainal.

Ia akan dipersembahkan dalam lima set persembahan, antara 16 dengan 19 April – bermula 3 petang (Sabtu dan Ahad); dan 8 malam (dari Khamis hingga Sabtu) – di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.

Selain Munah, pementasan itu turut menampilkan pelakon ternama seperti Farhana M Noor, Fauzie Laily, Sani Hussin, Rizman Putra, Fir Rahman, dan Siti Khalijah Zainal, serta pelakon generasi pelapis iaitu, Haziqah Hashir dan Ali Mazrin.

Ketika diminta BH untuk memberi takrifan peribadi tentang watak Hanie, Munah berkata:

“Satu perkara tentang watak Hanie yang boleh saya kritik ialah kecenderungan beliau untuk tidak melihat dari perspektif lain.

“Setiap orang mempunyai cara pemikiran sendiri, dan masyarakat yang terbiasa dengan cara hidup mereka bertahun-tahun lamanya tidak mudah berubah begitu sahaja.

“Tidak semua orang boleh berfikir seperti kita dan itulah mungkin kekurangan yang boleh diperhatikan pada dirinya.”

Beliau turut mengakui walaupun wataknya, Hanie, bukan watak utama seperti dalam versi filem, ia tidak menjejas kekuatan jalan cerita itu.

“Walaupun watak Hanie bukanlah penggerak utama dalam pementasan ini, tema besar La Luna tetap dikekalkan dan jelas dipaparkan seperti isu hak, pemerkasaan dan peranan wanita dalam masyarakat, serta persoalan tentang siapa yang berhak menentukan pilihan kaum Hawa.

“Jika dalam filem, cerita ini dilihat melalui sudut pandang Hanie, pementasan ini pula membawa perspektif seorang watak muda, Azura (lakonan Haziqah), yang berasal dari kampung yang sama, tetapi mempunyai pemikiran lebih moden, seiring dengan Hanie.

“Hanie mungkin dilihat sebagai ‘orang luar’ dalam filem, La Luna, namun dalam pementasan ini, pemikiran moden itu lahir daripada salah seorang anggota masyarakat itu sendiri.

“Saya rasa itu satu pendekatan yang menarik dan bermakna.” ujar Munah.

Tiket bagi pementasan La Luna, berharga antara $50 dengan $65, boleh didapatkan melalui laman web Sistic di pautan, https://www.sistic.com.sg/events/laluna0426

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg