SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Jubli emas Zainalabidin dirai dalam konsert meriah di Esplanade

Jubli emas Zainalabidin dirai dalam konsert meriah di Esplanade

Legenda muzik sifatkan persembahan skala besar ini yang terakhir buat peminat
Apr 12, 2026 | 5:30 AM

Jubli emas Zainalabidin dirai dalam konsert meriah di Esplanade

zainalabidin, konsert, Esplanade, terakhir, muzik
Penyanyi legenda, Datuk Zainalabidin, berhasrat menampilkan kelainan dalam konsert sambutan ulang tahun ke-50 beliau dalam industri seni dengan menghadirkan maestro muzik jazz, Michael Veerapen, selaku pengarah muzik. - Foto ESPLANADE

Dalam dunia seni, jarang sekali kita mendengar kisah peribadi artis veteran yang menjadi tumpuan di media sosial.

Penyanyi legenda, Datuk Zainalabidin, yang sebelum ini lebih dikenali dengan ejaan nama Zainal Abidin merupakan antara anak seni yang tidak suka terlalu ‘bergayut’ di media sosial, apatah lagi menjaja kisah peribadi bagi mendapat perhatian ramai.

Sehingga kini, selepas lebih 50 tahun dalam dunia seni, Zainal, 66 tahun, masih selesa menjadi diri sendiri, dan itulah rahsia beliau kekal bertahan dalam industri.

“Saya jarang menggunakan media sosial untuk hal peribadi, kecuali ketika ingin mempromosikan lagu baharu atau konsert.

“Saya melihat media sosial sebagai sebuah kenderaan yang memudahkan saya merangkai hubungan dengan rakan baharu serta peminat.

“Selebihnya, saya tidak terlalu ikuti berita yang ada di luar, terutama tentang kisah peribadi artis dan sebagainya,” kata Zainal, yang juga vokalis kumpulan Headwind, ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, baru-baru ini.

Wawancara ini dibuat sempena konsert sejam setengah, Dato’ Zainalabidin - 50th Anniversary Concert, pada 17 April ini, yang diadakan di Dewan Konsert Esplanade, sempena Pesta Raya 2026, kendalian pusat seni Esplanade.

Berpegang pada nilai ‘jika tidak mampu berkata baik, diam itu lebih baik’, begitulah juga respons Zainal ketika ditanya mengenai perkembangan hubungannya bersama anak perempuannya, Timur Gabriel, 31 tahun.

Timur merupakan anak hasil perkahwinan pertamanya dengan Natasya Gabriel Abdullah, yang bertahan antara 1987 dengan 2000. Beliau juga mempunyai seorang anak lelaki, Mikhail, 33 tahun.

Sejak 2003, Zainal membina hidup baharu dan mendirikan rumah tangga bersama Datin Angelina Asmawi.

“Apa yang dikongsikannya (Timur) sebelum ini melalui podcast, Heels Over Head, itu hanya kisah sebelah pihak.

“Bagi saya, saya tidak mahu membuka aib orang lain. Anak-anak saya dibesarkan oleh ibu mereka sejak kecil lagi, dan mungkin saya tidak diberi peluang untuk mendidik atau bersama mereka.

“Ini merupakan kisah peribadi saya, yang tidak ingin saya ceritakan pada orang lain, kerana tidak mahu membuka aib sesiapa,” kata Zainal lagi.

Berbalik pada perkembangan seni, beliau melihat kecenderungan anak muda berkarya mengikut budaya Barat.

“Pada zaman saya, ramai artis amat menitikberatkan mutu karya mereka, dan setiap kerja seni dicorak dan diukir dengan baik.

“Namun kini, ia hanya tinggal bunyi. Jadi, kita kehilangan jati diri sebagai orang Asia,” ujarnya.

Sebab itu, beliau turut menekankan kepentingan menghasilkan karya yang memartabatkan budaya sendiri berbanding mengikut gaya Barat.

Sebagai anak seni yang sudah lebih dahulu makan garam, Zainal akur pendidikan amat penting untuk melindungi hak diri sebagai artis.

Nilai tersebut jugalah yang ditekankannya kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang muzik.

“Sebenarnya, dalam apa jua bidang sekalipun, pendidikan itu amat penting.

“Sebagai seorang artis, kita perlu memahami undang-undang serta peraturan yang tersedia.

“Jika seseorang itu mengetahui prinsip dalam industri muzik dengan baik, termasuk hak sebagai pencipta, penyanyi dan penggubah lagu, mereka tidak akan mudah diperdaya.

“Jangan hanya mencipta lagu dan memuat naik ke wadah YouTube tanpa pengetahuan yang cukup, sehingga orang lain pula meraih keuntungan kerana kita tidak memahami undang-undang.

“Jika boleh, utamakan untuk menamatkan pendidikan terlebih dahulu agar tidak mudah tersasar pada masa hadapan,” nasihatnya.

Bercerita mengenai konsert sambutan ulang tahun ke-50 beliau dalam industri muzik di Esplanade, Zainal menjanjikan sesuatu yang luar biasa dengan menampilkan maestro muzik jaz, Michael Veerapen.

“Sebelum ini, saya tampil bersama kumpulan Headwind, dan pengarah muzik, Mac Chew, yang telah berpuluh tahun bersama saya.

“Jadi, jika saya kembali dengan orang yang sama, perubahan tidak akan begitu ketara.

“Namun kali ini, saya akan bekerjasama dengan maestro muzik jaz, Michael Veerapen.

“Arahan muzik bagi konsert ini akan lebih pada genre jaz, sekali gus menampilkan kesenian yang matang, mencerminkan 50 tahun perjalanan saya dalam industri muzik.

“Walaupun begitu, lagu ‘hit’ saya seperti Telaga, Sabar, Khayalan, dan Puteri, mesti ada. Lagu Headwind pula tiada dalam set persembahan kali ini.

“Persembahan konsert nanti ibarat seperti sebuah ‘sarkas’. Peminat tahu apabila Zainalabidin berada di atas pentas, dia akan menjadi ‘momok’!” selorohnya.

Tambahan lagi, beliau akur ini mungkin menjadi konsertnya yang terakhir, sebelum bersara.

“Saya memang berniat untuk bersara, tetapi bukan bersara sepenuhnya.

“Jika terdapat undangan persembahan daripada pihak kerajaan atau rakan-rakan, saya akan menerimanya, namun ia bukanlah konsert berskala besar,” katanya lagi.

Selain nyanyian, Zainal gemar melancong. Bahkan, kegiatan tersebut menjadi salah satu cara untuk menghindari perhatian orang ramai ketika berada di luar.

Namun begitu, perkara itu ternyata sukar untuk dielakkan.

“Saya lebih selesa berada di rumah. Tetapi, saya juga suka melancong. Melancong ini bukan apa, kadangkala saja ingin elak diri daripada orang ramai.

“Tapi, apakan daya? Mana-mana saya pergi pun, akan ada peminat yang ingin mengambil gambar.

“Apatah lagi jika saya berada di Singapura. Kalau pergi kedai murtabak Zam Zam di Arab Street, makan setengah jam, ambil gambar dua jam!

“Pernah satu kali ketika saya sedang berkhemah di hutan di Malaysia, ada juga yang menegur saya dan ingin mengambil gambar…tengah-tengah malam pula tu.

“Tetapi itulah lumrah menjadi artis,” kongsi Zainal seraya tertawa.

Dalam banyak-banyak negara yang pernah diterokainya, Jepun paling meninggalkan kesan mendalam buat Zainal, khususnya kerana tahap disiplin yang tinggi, kebersihan persekitaran serta keperibadian masyarakatnya yang penuh adab.

“Antara negara yang paling meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya ialah Jepun. Masyarakatnya terkenal dengan tahap disiplin yang sangat tinggi.

“Selain itu, persekitarannya juga bersih, dan orang Jepun kaya adab.

“Itulah sebabnya saya juga sangat titikberatkan ketepatan masa apabila bekerja. Saya jarang lambat, dan memastikan sentiasa membuat ‘homework’ sebelum menghadiri mana-mana acara.

“Saya juga membuat persiapan rapi setiap kali ingin mengadakan konsert atau menghadiri sesi wawancara.

“Semua itu kerana pengalaman yang saya dapat ketika melancong ke Jepun,” kongsi Zainal.

Tiket bagi konsert ulang tahun ke-50 Datuk Zainalabidin, berharga antara $40 dengan $120, boleh didapatkan melalui laman Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/zainalabidin0426

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg