Siapa sangka, demi menjayakan watak dalam filem, pelakon terkenal Indonesia, Adipati Dolken, perlu ‘mengambil hati’ seekor lembu terlebih dahulu.

Bukan sehari dua, Adipati, 34 tahun, sanggup meluangkan masa membelai, memberi makan hingga memandikan lembu bernama Mojo demi memastikan ‘rakan lakonnya’ itu selesa bersamanya di depan kamera.

Pengalaman unik itu dikongsikan pelakon asal Tangerang, Banten, itu ketika ditemui baru-baru ini sempena tayangan perdana filem komedi romantik terbaharunya, Mojoku Hilang, di pawagam Golden Village, Bugis+.

“Sebelum penggambaran, memang ada waktu khusus untuk saya mendekatkan diri dengan Mojo. Setiap pagi, saya datang untuk memandikan dan memberinya makan.

“Kadang-kadang, saya hanya duduk memperhatikannya atau mengajaknya ‘ngobrol’ (berbual) walaupun tidak pernah dibalas.

“Saya lakukan itu supaya ketika berada di depan kamera nanti, kami tidak terlihat kaku atau takut antara satu sama lain.

“Ternyata usaha itu berhasil. Ketika penggambaran dimulai, Mojo sudah cukup selesa dengan saya,” katanya kepada BM.

Filem Mojoku Hilang, arahan Min Lim yang diinspirasikan daripada tema Aidiladha, mengisahkan tentang Adi (lakonan Adipati), seorang pengurus korporat yang menyamar di sebuah kampung di Perlis untuk mendapatkan kembali Mojo, lembu yang diculik penduduk kampung bagi menghalang pengambilalihan tanah.

Ia turut dibarisi pelakon terkenal seperti Mimi Lana, Wan Hanafi Su, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Aziz M. Osman, Tony Eusoff, Haeriyanto Hassan, Farah Ahmad, Gambit Saifullah, dan Namron.

Ketika kali pertama menerima skrip Mojoku Hilang untuk sesi uji bakat, Adipati mengakui berdepan kesukaran memahami dialog yang mencampurkan bahasa Melayu dan Inggeris, menyebabkannya melakukan hampir 20 rakaman sebelum menghantar video uji bakat kepada pihak penerbitan.

“Ketika kali pertama ditawarkan untuk uji bakat, mereka menghantar skrip kepada saya.

“Pada mulanya, agak susah untuk saya memahaminya kerana ada campuran bahasa Melayu dan Inggeris.

“Saya kemudian meminta masa untuk memahami skrip dan bertanya kepada mereka yang lebih arif mengenai bahasa Melayu.

“Rupa-rupanya, apa yang saya baca dengan cara ia dituturkan agak berbeza.

“Hampir sebulan saya tidak menghantar video uji bakat kerana masih mencari cara yang tepat untuk membawakan watak itu.

“Saya cuba berkali-kali, mungkin sampai 20 rakaman.

“Akhirnya, saya fikir…hantar sahaja.

“Ternyata mereka menyukainya dan mengajak saya berbincang menerusi Zoom sebelum meminta saya datang ke Malaysia untuk sesi pembacaan skrip serta persiapan lain,” katanya lagi.

Cabaran bahasa tidak berakhir selepas Adipati berjaya memperoleh watak berkenaan.

Dengan tempoh persediaan yang terhad, beliau perlu membiasakan diri dengan bahasa Melayu sebelum penggambaran bermula.

“Saya memang minta teman-teman di set untuk terus bercakap dengan saya dalam bahasa Melayu.

“Saya juga banyak menonton video dan drama di televisyen serta mendengar radio untuk membiasakan diri dengan cara percakapan di sini (Malaysia).

“Walaupun bahasa Melayu turut digunakan di beberapa daerah di Indonesia, saya sendiri tidak pernah mempelajarinya.

“Mimi, yang berlakon sebagai Ayu, juga antara orang yang banyak membantu saya dari segi pertuturan dialog.

“Memang sukar dinafikan, bahasa menjadi antara cabaran terbesar buat saya,” ujar Adipati.

Dalam menikmati pengalaman baharu di Perlis, soal makanan pula menjadi antara perkara yang perlu dibiasakan Adipati.

“Saya agak memilih soal makanan dan kebetulan banyak makanan di sana berasaskan kari, sedangkan saya tidak makan kari.

“Jadi, saya fikir, bagaimana mahu makan sepanjang berada di sini? Akhirnya, saya hanya makan nasi dengan ayam,” katanya berseloroh.

Menjalani penggambaran selama beberapa bulan di Malaysia turut bermakna Adipati perlu berjauhan dengan isterinya yang juga penyanyi, Canti Tachril, 31 tahun, dan anak perempuannya, Naeswari Isthika Dyah Koesmadji, tiga tahun, di Indonesia.

Namun, tuntutan kerja yang sering membawanya ke luar kota membuatkan keluarganya sudah terbiasa dengan situasi sedemikian.

Bagi Adipati, jarak bukan penghalang selagi komunikasi terus terjaga.

“Keluarga sudah terbiasa dengan tuntutan kerja yang sering memerlukan saya berada di luar kota.

“Jadi, keadaan seperti ini bukan sesuatu yang asing buat kami.

“Tetapi, komunikasi tetap harus berjalan. Kami biasanya membuat panggilan video dan saling berkongsi mengenai apa yang dilakukan sepanjang hari.

“Ketika saya mendapat rehat selama seminggu, mereka datang ke Malaysia untuk bersama saya.

“Kebetulan ketika itu bertepatan dengan sambutan Tahun Baharu (2026), jadi kami dapat meluangkan masa bersama seperti bercuti,” kata Adipati.