Hanya kerana penerbit lain di Asia Tenggara berebut-rebut menghasilkan filem seram yang mampu menarik lautan penonton ke pawagam bukan penyebab utama mengapa pengasas syarikat penerbitan, Red Communications, Lina Tan, pun ikut terpaut pada trend menjana karya menggerunkan.

Sebaliknya, Tan, 59 tahun, ingin merealisasikan impian menerbitkan filem genre seram yang bukan sahaja mampu menaikkan bulu roma anda yang menonton, malah lebih daripada itu, mengupas pelbagai isu sosial, warisan dan kekeluargaan yang berlegar di sekitar kehidupan seorang wanita.

Maka, digali kembali skrip yang ditulis sebelum wabak Covid-19 melanda, hasil karya, Fariza Azlina, yang dikenali kerana kekuatan plot naskhah filem Songlap dan Kami sebelum ini.

Maka, terhasil filem Khadam, arahan Shamyl Othman, dan dibintangi ‘Ratu Filem Seram’ Indonesia, Aghniny Haque; dan ‘Hero Malaya’, Datuk Remy Ishak.

Filem terbitan bersama Red Communications dan Komet Productions itu akan ditayangkan di pawagam serata Malaysia pada 11 Jun, dengan perancangan membawanya ke pawagam Singapura dan Indonesia pada selepas itu pada 2026.

Tarikhnya, bagaimanapun, belum diputuskan.

Khadam yang menggunakan cogan kata, ‘Jangan Sampai Jadi Tuan’, membawa penonton ke era 1950-an dan mengisahkan tentang seorang wanita bernama Melor (lakonan Aghniny), yang mewarisi saka keluarganya selepas kematian ibunya.

Kehadiran saka itu mula menghantui hidupnya, dengan Melor kini mengejar masa untuk melindungi anak perempuannya yang masih kecil daripada terikat dan menjadi ‘hamba’ pada khazanah mistik lagi gelap yang boleh memusnahkan hidupnya.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom, Lina, selaku Penerbit Eksekutif Khadam, berkata:

“Segalanya bermula daripada penulis skrip, Fariza Azlina, dan hasil penulisannya yang bagus.

“Saya malah pernah bekerjasama dengan Fariza dalam projek terdahulu, yang agak lama, iaitu filem Songlap.

“Apabila dia hubungi saya untuk memberikan skrip Khadam, saya pun baca naskhah itu semalaman. Entah mengapa, saya kata ‘okey’ keesokan harinya!

“Saya betul-betul suka dengan skrip itu. Saya bukanlah peminat ‘gila’ filem seram tetapi saya yakin jalan cerita yang dihasilkan Fariza mempunyai ulitan plot yang sangat utuh dan boleh dikaitkan dengan kehidupan ramai wanita.

“Watak utamanya Melor ialah seorang ibu, isteri dan anak.

“Ia menjadikan filem seram ini begitu menarik sebab ia bukan semata-mata tentang hantu tetapi sarat dengan emosi.”

Menurut Tan, filem itu awalnya diberi nama Saka dan sepatutnya menjalani penggambaran setelah diusulkan dan mendapatkan pembiayaan dana pada 2019.

Bagaimanapun, gara-gara Covid-19, ia tergendala sehinggalah pada 2025, Komet Productions, yang diasaskan Datuk Ahmad Izham Omar, menghubunginya dan bertanya jika skrip itu masih disimpan.

“Apabila Izham berminat menerbitkannya bersama syarikat saya, saya pun rasa penantian saya selama lima tahun untuk Khadam direalisasikan benar-benar berbaloi!” ujar Tan dengan nada teruja.

Ahmad Izham, 56 tahun, yang juga bertindak sebagai Penerbit Eksekutif Khadam, menambah beliau mengikut saranan Ketua Kandungan Komet Productions, Ayu Amirrol, untuk membaca skrip Khadam.

“Menurut Ayu, inilah cerita saka paling ‘best’ yang pernah beliau baca.

“Ternyata, selepas membacanya, saya bersetuju kerana walaupun ia naskhah filem seram, ia dramatik.

“Saya tertarik pada aspek pengorbanan watak utamanya, Melor, dan keputusan yang dia perlu ambil sebagai seorang wanita yang sentiasa dihimpit masalah dunia, sama ada masalah dengan suami, anak ataupun emak.

“Memandangkan dalam dunia Melor ini ada hantu, maka dia terpaksa pergi pada saka itu.

“Jadi ada unsur pemakaian saka. Apakah ‘hantu’ itu dia setelah dia ‘memakainya’ dan barang itu sudah mula mengambil alih kehidupannya?

“Masalahnya, Melor dah ‘hilang’ diri dan mula ‘hilang’ keluarganya. Bagaimana dia nak cari semula keluarganya?

“Pada penghujungnya, dia terpaksa mengambil keputusan yang meremukkan jiwa.

“Ayu menangis menonton filem ini. Setiap kali baca skrip, dia akan menangis. Sebab, dia boleh rasakan emosi seorang ibu sebab Ayu juga seorang ibu.

“Memang ini filem sedih. Ada unsur seram dramatik. Saya betul-betul sanjung penulisan skrip Fariza sebab dahulu dia buat Songlap dan Kami yang merupakan kerja seni bukan calang-calang,” cerita Ahmad Izham.

Menurut Ahmad Izham, mereka beruntung kerana Fariza merupakan penulis skrip yang teliti dengan penceritaan yang condong pada pasang surut emosi sesuatu watak.

“Lina pula beritahu kami kalau nakkan pengarah, mesti ambil sutradara filem Rahsia, Syamyl Othman.

“Kita perlukan ‘Ratu Filem Seram’ Indonesia, Aghniny Haque, sebab tengok sahaja penampilannya dalam filem seram, KKN Di Desa Penari.

“Dengan disiplin yang beliau bawa ke set penggambaran dan penghayatan matangnya meski masih muda lagi, Aghniny memang pilihan tepat untuk filem ini.

“Kami pun ada Hero Malaya, Remy Ishak. Remy bawa watak suami yang sukar meluahkan perasaan dalam lubuk hatinya sehingga ia menggores jiwa isteri.

“Kami juga ada pelakon yang kian meningkat naik namanya, Siti Khadijah.

“Kumpulan pelakon kami tak ramai tetapi semuanya dapat memberikan yang terbaik dari segi emosi yang diperlukan bagi watak mereka,” jelasnya.

Penggambaran dibuat di Gopeng, sekitar Ipoh, Perak, di mana Tan berjaya menemui lokasi yang begitu cantik sekali.

Menurut Tan, kru penggambaran Khadam membangun rumah kampung yang terpencil persis yang wujud pada era 1950-an, dengan memastikan sekitarannya juga tidak kelihatan seperti kawasan bandar.

“Pada akhirnya, kita tak nak buat filem seram murahan yang hanya buat penonton sekadar terperanjat dan terkejut!

“Kami ingin pastikan jalan ceritanya baik, skripnya berisi dan kita boleh ikuti perjalanan hidup watak utamanya. Kami akan sajikan filem seram yang tidak pernah ditonton sebelum ini,” ujar Ahmad Izham, memberi jaminan.

Tan pula menambah: “Fariza menghasilkan naskhah skrip tentang warisan saka ini daripada cerita bapa, ibu dan teman-teman lain.

“Moga penonton akan tersentuh dengan pasang surut emosi dalam filem ini, yang mana protagonisnya bukan sahaja menjadi mangsa saka, bahkan mangsa keadaan dan akhirnya bertukar menjadi antagonis.

"Ada kematangan dan kepiluan menyayat hati dalam jalan cerita Khadam,” katanya.