Bagi pasangan selebriti yang masing-masing terikat dengan tuntutan kerjaya dan jadual padat, kepercayaan serta usaha meluangkan masa bersama menjadi antara nilai penting dalam memastikan hubungan terus kukuh.

Perkara sama menjadi pegangan pelakon dan usahawan, Mimi Lana, dalam melayari rumah tangga bersama suaminya yang juga pelakon terkenal, Syafiq Kyle, terutama apabila kededuanya perlu bijak membahagikan masa antara kehidupan peribadi dan komitmen seni.

Mimi, atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30 tahun, berkata meskipun perjalanan rumah tangganya dengan Syafiq, 34 tahun, masih baharu, beliau percaya sesebuah hubungan perlu sentiasa berkembang seiring kematangan pasangan.

“Susah untuk saya katakan apa rahsia hubungan yang kukuh kerana kami sendiri baru dua tahun berkahwin.

“Tetapi, bagi saya, dalam sesebuah hubungan kita perlu sentiasa berkembang dan berubah ke arah yang lebih baik.

“Antara perkara yang kami pegang sekarang ialah kepercayaan dan sentiasa berusaha mencari masa untuk diluangkan bersama.

“Disebabkan kami berdua sibuk, kami memang perlu mengatur jadual supaya tetap mempunyai masa untuk satu sama lain,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Wawancara bersama BM berlangsung ketika pelakon itu berada di Singapura baru-baru ini bagi menghadiri tayangan perdana filem terbaharunya, Mojoku Hilang, di pawagam Golden Village, Bugis+.

Bagi Mimi, berkongsi kerjaya sama dengan Syafiq memberi kelebihan kerana mereka lebih memahami tuntutan kerja masing-masing.

“Saya bersyukur kerana memiliki seorang suami yang pada masa sama menjadi sahabat baik dan cukup memahami diri saya.

“Apabila pulang ke rumah, saya ada seseorang untuk berkongsi mengenai penggambaran dan watak.

“Saya juga banyak belajar daripada Syafiq kerana dia lebih berpengalaman dalam lakonan,” ujarnya.

Mimi dan Syafiq bakal kembali digandingkan menerusi sebuah filem yang dijadualkan menemui penonton pada November ini.

Projek itu menjadi filem ketiga mereka bersama, namun kali pertama mereka membawakan watak sebagai pasangan.

Mimi, bagaimanapun, tidak mendedahkan tentang nama filem, jalan cerita atau watak yang dibawakan.

Dalam perkembangan terkini, Mimi turut mencabar dirinya menerusi filem komedi romantik Mojoku Hilang, arahan Min Lim, yang membuka ruang buatnya mencuba beberapa perkara baharu sepanjang bergelar pelakon.

“Ini merupakan genre yang belum pernah saya bawakan sebelum ini.

“Malah, banyak perkara dalam filem ini juga menjadi pengalaman pertama saya di layar perak.

“Saya memang suka mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa dan melakukan sesuatu yang belum pernah saya cuba.

“Itulah antara sebab mengapa saya memilih Mojoku Hilang dan bersetuju untuk terbabit dalam projek ini,” ceritanya yang memiliki jenama minyak wangi, MIMS Essential.

Filem ini turut menyaksikan gandingan pertama Mimi bersama pelakon Indonesia, Adipati Dolken, 34 tahun, yang membawakan watak Adi, pengurus korporat yang menyamar di sebuah kampung di Perlis demi mendapatkan kembali Mojo, lembu maskot syarikatnya, sebelum jatuh hati kepada Ayu (lakonan Mimi).

Meskipun berasal dari Taiping, Perak, yang turut dipengaruhi lenggok pertuturan utara, Mimi tetap berdepan cabaran menghidupkan watak gadis tempatan, Ayu, terutama dalam memastikan loghat Perlis yang dituturkannya kedengaran meyakinkan.

“Saya bukan berasal dari Perlis, tetapi pernah menetap di Taiping yang terletak berhampiran kawasan utara.

“Pada mulanya, saya fikir loghat Perlis tidak jauh berbeza daripada cara saya bercakap.

“Namun, apabila mula menjalani penggambaran dan mendalami skrip, barulah saya sedar telo Perlis sebenarnya lebih pekat dan mempunyai lenggok serta sebutan tersendiri,” kongsinya.

Selain perlu menguasai loghat Perlis, Mimi turut berdepan satu lagi cabaran besar apabila perlu menyanyi dalam filem Mojoku Hilang.

“Saya seorang pelakon dan tidak mempunyai asas nyanyian.

“Sebelum ini, Lim pernah bertanya sama ada saya boleh menyanyi atau tidak.

“Kalau sekadar menyanyi di bilik air atau berkaraoke, bolehlah, tetapi bukan secara profesional.

“Namun, Lim meyakinkan saya, saya tidak perlu menyanyi terlalu hebat kerana watak Ayu sendiri bukan seorang penyanyi profesional.

“Dia pernah menyertai pertandingan nyanyian, tetapi tidak menang sebelum kembali ke kampung halaman,” ujar Mimi yang turut menjalani latihan vokal bersama guru vokal dari Amerika Syarikat, yang hanya dikenali sebagai Sam.

Mimi turut melihat kemunculan semula genre komedi romantik di layar perak sebagai perkembangan positif, terutama selepas industri hiburan Malaysia sejak kebelakangan ini, banyak disajikan dengan filem aksi dan seram.

Menurutnya, perubahan corak tontonan menerusi pelbagai wadah penstriman menjadikan penonton hari ini lebih terbuka terhadap kepelbagaian genre dan bentuk penceritaan.

“Saya sendiri menyukai filem aksi dan seram, malah saya percaya kededua genre itu mempunyai peminat yang ramai.

“Sebab itu, kita sering melihat filem sebegitu ditayangkan di pawagam.

“Namun, saya rasa penonton sekarang semakin terbuka.

“Mereka sudah terdedah dengan pelbagai jenis cerita menerusi wadah penstriman seperti Netflix, jadi bagi saya, inilah masa yang tepat untuk industri kita turut menawarkan lebih banyak pilihan.

“Mungkin ada penonton yang memang perlukan filem seperti komedi romantik, yang lebih santai, dekat dengan kehidupan, menghiburkan dan menyentuh hati.

“Pada masa sama, penghasilan filem komedi romantik lazimnya tidak memerlukan bajet sebesar filem aksi.

“Jadi, saya melihatnya sebagai satu peluang untuk lebih banyak penerbitan menghasilkan karya sebegini.

“Sebenarnya, bukan komedi romantik sahaja.

“Masih banyak genre lain yang boleh kita terokai dan pelbagaikan supaya penonton mempunyai lebih banyak pilihan,” katanya, yang sebelum ini membintangi filem seram, Polong.

Filem Mojoku Hilang kini boleh ditonton di beberapa cawangan pawagam Golden Village termasuk GV Jurong Point, GV Suntec City dan GV Paya Lebar.