SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Teater ‘La Luna’ ketengah pelakon generasi pelapis, kupas pemikiran moden penuh hemah

Teater ‘La Luna’ ketengah pelakon generasi pelapis, kupas pemikiran moden penuh hemah

Haziqah Hashir dan Ali Mazrin cabar diri, tampil di luar zon selesa
Apr 10, 2026 | 5:30 AM

Teater ‘La Luna’ ketengah pelakon generasi pelapis, kupas pemikiran moden penuh hemah

haziqah hashir, ali mazrin, La Luna, Esplanade, Pesta Raya
Pelakon generasi pelapis, Haziqah Hashir (kiri), dan Ali Mazrin, mendalami watak dalam naskhah, ‘La Luna’, dengan bimbingan rakan seni termasuk pelakon berpengalaman, Siti Hajar Gani, yang juga ibu kepada Haziqah. - Foto INSTAGRAM TEATER EKAMATRA

Bak pepatah Melayu, di mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi?

Memanglah benar sesetengah bakat boleh diwarisi.

Jika sebelum ini anda terpukau dengan persembahan mantap pelakon mapan, Siti Hajar Gani, di pentas teater, kini tibalah giliran anaknya pula, Haziqah Hashir, untuk membuktikan kemampuan lakonannya yang tidak kurang hebat.

Pada usia 25 tahun, Haziqah buat julung-julung kali bakal memerankan watak utama, Azura Salihin, dalam naskhah teater yang dipadankan daripada filem arahan pengarah Singapura, M Raihan Halim, berjudul, La Luna.

Azura, anak sukarelawan bomba Salihin (lakonan Fir Rahman), digambarkan sebagai gadis ceria dengan semangat ingin tahu yang tinggi dek mula melihat keadaan kampung halamannya dari sudut berbeza.

Ketika ditanya Berita Harian (BH) jika perasaan kekok atau malu terbit ketika berlakon sebaris dengan pelakon teater yang lebih berpengalaman, Haziqah berkata:

“Yang lucunya, saya membesar dengan memanggil pelakon veteran, Sani Hussain, sebagai Cik Sani. Jadi, apabila kami bekerja bersama, terasa agak janggal untuk berbual dengannya seperti kawan.

“Apabila digandingkan bersama pelakon berpengalaman seperti Siti K (Siti Khalijah Zainal), Munah Bagharib, dan Fir Rahman, saya sebenarnya berasa gugup.

“Namun ketika latihan, mereka sangat membantu dengan memberikan nota dan tunjuk ajar.

“Bagi ibu saya pula, beliau selalu bertanya khabar selepas setiap sesi latihan. Kami mempunyai pemikiran yang hampir sama, jadi mudah bagi beliau memahami apa yang saya rasa.

“Beliau menasihati saya supaya tidak mudah rasa rendah diri dan memberi yang terbaik pada pementasan ini.”

Haziqah Hashir, mengakui gementar apabila digandingkan dengan barisan pelakon teater berpengalaman, namun, beliau menghadapinya dengan penuh kematangan, berlandaskan nasihat ibunya, Siti Hajar Gani, agar tidak mudah berasa rendah diri.
Haziqah Hashir, mengakui gementar apabila digandingkan dengan barisan pelakon teater berpengalaman, namun, beliau menghadapinya dengan penuh kematangan, berlandaskan nasihat ibunya, Siti Hajar Gani, agar tidak mudah berasa rendah diri. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pementasan itu dibawakan oleh kumpulan teater berpengalaman, Teater Ekamatra, yang ditugaskan Esplanade sempena Pesta Raya 2026, yang kini memasuki edisi ke-25.

Teater, La Luna, dipentaskan buat kali pertama, dengan bimbingan penulis skrip asal Malaysia, Ridhwan Saidi, dan pengarah Singapura, Mohd Fared Jainal.

Ridhwan sebelum ini pernah bekerjasama dengan Teater Ekamatra dalam karya, Bangsawan Gemala Malam (2022), sempena Festival Seni Antarabangsa Singapura (Sifa), serta Bawang Putih Bawang Merah (2024), yang dipentaskan bagi Pesta Raya.

Dari 16 hingga 19 April, pementasan La Luna bakal dipersembahkan dalam lima set persembahan – bermula 3 petang (hanya Sabtu dan Ahad); dan 8 malam (dari Khamis hingga Sabtu) – di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.

Dengan penampilan pelakon berkaliber seperti Munah, Farhana M Noor, Fauzie Laily, Sani Hussin, Rizman Putra, Fir dan Siti Khalijah, pastinya anda akan dapat menikmati pengalaman teater yang menarik dan menghiburkan.

Meskipun pernah menonton filem, La Luna, Haziqah, anak bongsu dua beradik itu, bagaimanapun, enggan terlalu terikut-ikut dengan gaya lakonan Syumaila Salihin, yang membawakan watak Azura dalam versi filem.

“Kali terakhir saya menonton filem itu adalah semasa ia ditayangkan di pawagam pada 2024, dan selepas itu, saya tidak menontonnya lagi, walaupun kini saya membawa salah satu watak dalam filem tersebut.

“Ini kerana saya tidak mahu terlalu terikut-ikut dengan gaya lakonan Syumaila, pelakon yang membawa watak Azura dalam filem itu.

“Selain itu, lakonan di layar lebar dan di pentas teater sangat berbeza.

“Dalam teater, saya rasa kita perlu membina watak itu dari awal.

“Sesetengah cara lakonan dalam filem itu tidak begitu sesuai untuk teater kerana ia kelihatan lebih ‘kecil’, manakala lakonan pentas pula memerlukan gerakan lebih ekspresif atau dramatik.

“Berbanding dengan Azura, saya agak pemalu. Namun, ada beberapa ciri perwatakan saya yang serupa, cuma tidak begitu saya tunjukkan.

“Dari situ, saya rasa watak ini mendorong saya keluar daripada zon keselesaan saya,” ceritanya, yang juga siswazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Buffalo, Institut Pengurusan Singapura (SIM).

Sementara itu, Ali Mazrin, 28 tahun, yang membawa watak Yazid dalam naskhah itu, mengakui perlu memperkukuh usaha mendalami watak tersebut, memandangkan ia watak sampingan dalam filem tersebut.

Watak asal dalam filem dibawakan Wafiy Ilhan.

“Sebenarnya, jika dilihat dari sudut filem, bahagian membabitkan watak Yazid tidak begitu banyak.

“Oleh itu, saya perlu menggali identiti Yazid dalam pementasan ini… ia masih serupa dengan watak dalam filem tersebut, tetapi memerlukan penerokaan lebih mendalam.

“Bagi saya, watak Yazid ini agak ‘selenge’ (lurus bendul). Keperibadiannya itulah yang perlu saya gali lagi.

Ali Mazrin, yang pernah menjayakan pementasan, ‘Anak’, arahan Noor Effendy Ibrahim, mendalami jati diri watak Yazid dalam naskhah teater, ‘La Luna’, agar tampil berbeza daripada paparan watak dalam versi filem.
Ali Mazrin, yang pernah menjayakan pementasan, ‘Anak’, arahan Noor Effendy Ibrahim, mendalami jati diri watak Yazid dalam naskhah teater, ‘La Luna’, agar tampil berbeza daripada paparan watak dalam versi filem. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Namun begitu, yang mencabarnya adalah tahap ‘selenge’ yang bagaimana ingin saya paparkan supaya tidak sampai ‘membingitkan’ penonton, tetapi tetap menghiburkan.

“Lebih-lebih lagi ketika memainkan watak muda Yazid yang berumur 16 tahun ketika itu.

“Saya juga perlu perhatikan gerak-geri seorang remaja dan cara percakapannya,” kongsi Ali, yang pernah menjalani program bekerja sambil belajar, di bawah bimbingan Teater Ekamatra, sekitar 2018.

Sebelum menceburi bidang lakonan teater, beliau pernah terlibat dalam kerja di belakang tabir sebagai kru pentas, dan turut berlakon dalam naskhah teater, Anak, arahan Noor Effendy Ibrahim, pada 2022.

Selain lakonan, bahasa juga menjadi salah satu unsur pementasan yang menarik perhatian Ali sepanjang latihan bagi pementasan itu.

“Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah bahasa. Penulis kami, Ridhwan Saidi, berasal dari Malaysia, jadi tulisannya lebih sesuai dengan konteks Malaysia.

“Kami pula, secara bersama, menyesuaikan perkataan dan ungkapan supaya lebih dekat dengan penggunaan di Singapura.

“Contohnya, perkataan ‘kot’. Justeru, saya gunakan seperti, ‘Agaknya kot?’

“Saya bercampur dengan orang lebih tua… ada yang biasa menggunakan perkataan itu dalam perbualan harian, tetapi ada juga yang menganggapnya slanga Malaysia, sama seperti ‘kantoi’ (ditemui berbohong).

“Namun, saya rasa menarik apabila tulisan Ridhwan disesuaikan dalam konteks Singapura, kerana beberapa jenaka dalam skrip itu relevan dalam masyarakat kita dan tidak terlalu baku,” ujarnya, yang sebelum ini pernah mengendalikan kedai gunting rambut bagi kaum Adam.

Bagaimanapun, perniagaan itu tidak dilanjutkan lagi kerana tidak sehaluan dengan komitmen seninya.

Ali turut berkongsi mengenai konsep ‘pakaian dalam wanita’ yang dijadikan simbol dalam jalan cerita La Luna, antaranya menggambarkan cabaran wanita dalam masyarakat konservatif.

Ia juga satu unsur yang mungkin menarik perhatian ramai kerana menyentuh topik terlarang yang jarang dibincangkan secara terbuka.

Bagaimanapun, katanya, tiada unsur lucah dalam pementasan itu, malah terdapat pengajaran yang tersirat bagi renungan setiap lapisan masyarakat.

“Sesetengah orang mungkin rasa simbol ‘pakaian dalam wanita’ ini kurang sopan. Tetapi bagi saya, pementasan ini masih selamat untuk ditonton dan tidak mengandungi unsur lucah.

“Lagipun, pakaian dalam wanita adalah perkara biasa dan kegunaannya memang diperlukan dalam kehidupan harian wanita.

“Mungkin yang lebih utama adalah pengajaran yang cuba disampaikan melalui naskhah ini, yang berpotensi mendorong penonton untuk berfikir secara kritikal,” kata Ali.

Tiket bagi pementasan La Luna, berharga antara $50 dengan $65, boleh didapatkan melalui laman web Sistic di pautan, https://www.sistic.com.sg/events/laluna0426

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg