Topik diikuti
Pergi ke BHkuJarang aktif di media sosial, Norman Ishak tetap dekat di hati peminat
Wujud kumpulan WhatsApp khas demi hargai sokongan penyokong tegar sejak bergelar pelakon cilik
Jarang aktif di media sosial, Norman Ishak tetap dekat di hati peminat
Dalam dunia hiburan yang sering diukur menerusi jumlah pengikut dan kadar penglibatan di media sosial, pelakon tempatan, Norman Ishak, memilih jalan yang berbeza.
Buat Norman, 38 tahun, kenangan terbaik tidak semestinya perlu dirakam atau dikongsi, sebaliknya cukup dinikmati sepenuhnya secara langsung.
“Dulu saya pernah ada laman Facebook dan Instagram seperti orang lain.
“Malah, saya pernah menyahaktifkan Instagram selama kira-kira dua tahun sebelum kembali menggunakannya. Itu pun sekadar ada, bukannya aktif.
“Saya faham media sosial penting, terutama bagi mereka yang menjalankan perniagaan atau menggunakan platform itu untuk tujuan pemasaran.
“Tetapi bagi saya, ia bukan sesuatu yang saya begitu selesa gunakan.
“Saya rasa tidak semua perkara perlu dikongsikan. Kalau keluar makan dengan kawan atau pergi ke acara, saya memang tidak terfikir nak muat naik gambar atau video.
“Kalau saya pergi konsert sekalipun, saya jarang mengeluarkan telefon pintar untuk merakam kenangan.
“Saya lebih suka menikmati suasana ketika itu.
“Bagi saya, pengalaman yang dirasai sendiri jauh lebih bermakna.
“Namun, setiap orang mempunyai cara yang berbeza.
“Ini hanyalah pandangan dan pilihan peribadi saya,” katanya kepada Berita Minggu (BM), dalam satu sesi wawancara menerusi Zoom baru-baru ini.
Disebabkan jarang berkongsi perkembangan di laman Instagram, pelakon drama Sayang Semuanya dan Firasat itu, akur ada peminat setia yang sanggup ‘menumpang’ akaun media sosial jurusolek hanya untuk mengetahui kegiatan seni serta projek terbaharunya.
Menyedari kesetiaan peminatnya, Norman mewujudkan kumpulan WhatsApp khas untuk penyokong tegarnya itu.
Menerusi wadah itu, beliau juga mudah berkongsi perkembangan kerjaya dan projek terbaharu tanpa perlu terlalu bergantung pada media sosial.
“Saya masih ada sekumpulan peminat tegar yang mengikuti perjalanan kerjaya saya sejak kecil.
“Kalau saya ada acara, mereka sanggup datang. Itulah yang berlaku ketika Pesta Perdana 2025.
“Mereka datang senyap-senyap untuk berikan sokongan…sampai bawa sepanduk lagi!
“Saya mula mengenali mereka dalam satu kumpulan di laman Facebook.
“Yang melucukan, disebabkan saya jarang memuat naik gambar atau video di Instagram, mereka selalunya mengikuti perkembangan saya melalui akaun media sosial jurusolek yang suka berkongsi detik ketika di set penggambaran.
“Saya rasa amat terhutang budi kepada mereka.
“Sebab itu, saya wujudkan kumpulan WhatsApp khas untuk berkongsi perkembangan terkini bersama mereka.
“Saya sudah lama mengenali mereka, dan mereka pun tidak akan sesuka hati memberikan nombor telefon saya kepada orang lain,” kongsi Norman.
