Sejak dicalonkan dalam kategori Personaliti Wanita Paling Popular di Pesta Perdana 2025, kerjaya seni pelakon tempatan, Daya AJ, terus berkembang dengan pelbagai tawaran baharu dalam bidang lakonan.

Daya, atau nama sebenarnya, Nur Hidayah Abdul Jalil, 29 tahun, akur minat dalam lakonan sudah berputik sejak di bangku sekolah lagi, apabila aktif beliau menyertai pementasan teater.

Bagaimanapun, bakat Daya mula mendapat perhatian pihak penerbitan selepas menyertai uji bakat program pencarian bakat terbitan Mediacorp Suria, Elit Suria, pada 2018.

“Saya pernah menyertai uji bakat program Elit Suria, tetapi hanya berjaya mara hingga pusingan kedua sahaja.

“Mungkin pada saat itu, penguasaan bahasa Melayu saya tidak begitu baik, tetapi mereka juga menyarankan agar saya terus berkecimpung dalam dunia lakonan.

“Dari situlah, penerbit, Kak Alfia (Alfia Abros Meah) melihat bakat saya dan memanggil saya menghadiri uji bakat tertutup.

“Daripada proses itu, pintu rezeki dalam bidang lakonan mula terbuka buat saya,” katanya kepada Berita Harian (BH), sambil mengimbau kemunculan sulungnya menerusi drama, Rintihan Hati, pada 2019.

Selain aktif dalam bidang lakonan, Daya turut bergiat sebagai penari tarian Melayu dan pengurus kegiatan seni bersama kumpulan tempatan, T3at3r Muzikal Collective (TMC).

Bagi lulusan Diploma dalam Seni Teater daripada Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) itu, 2025 menjadi tahun yang cukup bermakna apabila beliau dan suaminya, Hazim Saini, sama-sama menerima pencalonan di Pesta Perdana.

Hazim, 35 tahun, turut dicalonkan dalam kategori Personaliti Lelaki Paling Popular dalam majlis anugerah yang sama.

Menurut Daya, pencalonan yang diterima mereka bukanlah ukuran siapa lebih hebat, sebaliknya menjadi bukti usaha dan bakat masing-masing terus mendapat pengiktirafan.

Membina rumah tangga bersama insan yang bergiat dalam bidang sama ujar beliau, memerlukan komunikasi terbuka, saling memahami, serta sentiasa menyokong satu sama lain.

Namun, sebagai pasangan muda yang sama-sama aktif dalam industri hiburan dan bekerja sebagai pelakon secara bebas, Daya mengakui mereka tidak terlepas daripada berdepan cabaran tersendiri.

“Bagi saya, cabaran itu bukan hanya dirasai mereka yang bekerja dalam industri seni, bahkan juga oleh mana-mana pasangan yang sama-sama komited terhadap kerjaya masing-masing.

“Lebih-lebih lagi apabila kami berdua bekerja sebagai pelakon secara bebas, sudah tentu timbul persoalan tentang kestabilan masa depan.

“Namun, alhamdulillah, keluarga dan rakan-rakan terdekat memahami kami memberikan sepenuh komitmen terhadap kerjaya dalam industri hiburan.

“Pada akhirnya, semuanya bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain, termasuk bagaimana kami mengimbangi hubungan peribadi dengan tuntutan kerjaya.

“Mujurlah, kami berdua sangat memahami keadaan masing-masing juga,” ujar Daya, yang telah mendirikan rumah tangga sejak 2024.

Dalam perkembangan terkini, Daya, yang turut bekerja sebagai penasihat kewangan, membintangi telefilem khas sempena Hari Kebangsaan, Umar Umami, arahan M Mahfuz dan terbitan The Moving Visuals Co.

Ia akan disiarkan di Mediacorp Suria, pada 9 Ogos, bermula 9 malam, selepas siaran langsung Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

Umar Umami mengisahkan tentang seorang cef muda, Umar (lakonan Norman Ishak), yang juga pempengaruh media sosial, terpaksa menyertai sebuah kelab memasak kejiranan bagi memulihkan imejnya selepas dikecam kerana mengkritik makanan tempatan.

Pertemuan dengan anggota daripada pelbagai kaum, generasi dan latar belakang membuka matanya terhadap nilai budaya serta perpaduan yang tersimpan di sebalik setiap hidangan.

Telefilem itu membariskan pelakon seperti Era Farida, Bridget Fernandez, Bernard Tan dan Anees Hameed.

Sementara itu, Daya membawakan watak sebagai Laila, pekerja di kelab masyarakat yang mengurus kelab memasak kejiranan.

Pelakon drama, Remuk, itu turut bergandingan dengan pelakon veteran, Fauziah Zie, yang berlakon sebagai neneknya, Mariam.

Berkongsi pengalamannya bergandingan dengan pelakon itu, Daya berkata:

“Walaupun kami pelakon datang daripada generasi dan latar belakang yang berbeza, dengan kebanyakan mereka jauh lebih berpengalaman daripada saya, ia tidak menjadi penghalang untuk kami saling memahami.

“Sejujurnya, kali pertama bekerja dengan Mama Zie (panggilan buat Fauziah) saya agak gementar kerana beliau seorang pelakon veteran yang sangat saya hormati.

“Namun, pada masa yang sama, saya memang gemar bekerja dengan pelakon lebih berpengalaman kerana mereka mempunyai banyak ilmu yang boleh dipelajari.

“Apa yang paling saya hargai ialah Mama Zie tidak lokek berkongsi ilmu.

“Beliau sentiasa memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman, sesuatu yang amat bermakna buat pelakon muda seperti saya,” kata Daya.

Nota: Telefilem Umar Umami boleh ditonton di Mediacorp Suria, pada 9 Ogos, mulai 9 malam.

Ia juga boleh ditonton menerusi aplikasi mewatch.

“Walaupun kami pelakon datang daripada generasi dan latar belakang yang berbeza, dengan kebanyakan mereka jauh lebih berpengalaman daripada saya, ia tidak menjadi penghalang untuk kami saling memahami... saya memang gemar bekerja dengan pelakon lebih berpengalaman kerana mereka mempunyai banyak ilmu yang boleh dipelajari.”
Daya AJ.