Berkecimpung dalam dunia seni sejak kecil, masih banyak sisi kehidupan pelakon tempatan, Norman Ishak, 38 tahun, yang jarang dikongsikan kepada peminat.

Berikut enam fakta menarik yang dikongsikan kepada Berita Minggu (BM) mengenai pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik – Drama Bersiri; Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Telefilem/Antologi; dan Personaliti Lelaki Paling Popular pada Pesta Perdana 2025:

1. Gemar makan lauk sambal goreng pengantin

Setiap kali Aidilfitri, Norman tidak pernah melepaskan peluang menikmati sambal goreng pengantin hasil air tangan ibunya. Malah, hidangan itu wajib dimasak bersama udang, yang juga merupakan makanan kegemarannya.

2. Pernah bergelar pramugara Singapore Airlines (SIA)

Sepanjang tempoh berehat daripada lakonan, Norman pernah berkhidmat sebagai pramugara Singapore Airlines (SIA) selama setahun. Beliau juga pernah bekerja dalam bidang pemasaran.

Bagaimanapun, bidang seni kekal menjadi satu-satunya kerjaya yang diceburinya secara serius, sehingga memenangi beberapa anugerah berprestij seperti Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Digital) pada Anugerah Televisyen Asia 2022, dan Anugerah Perak di Pesta TV New York 2022.

3. Mudah rasa tersentuh

Akur dirinya seorang yang mudah tersentuh. Malah, potongan video menyayat hati di laman TikTok juga mampu membuatkan Norman mengalirkan air mata.

4. Air mata jadi peneman malam

Norman mengakui sering menangis pada waktu malam kerana itulah caranya meluahkan segala emosi yang dipendam.

5. Pernah teruskan lakonan walaupun cedera

Pernah terhiris jari ketika menjalani penggambaran telefilem khas Hari Kebangsaan terbitan The Moving Visuals Co, arahan M Mahfuz, Umar Umami, yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria.

Namun, Norman tetap meneruskan babak kerana tidak mendengar pengarah menyebut, “Cut!”

6. Kurang gemar hadir acara berskala besar

Norman lebih selesa mengelakkan acara hiburan berskala besar dan tidak gemar berada di tempat yang sesak atau menjadi pusat perhatian ramai.

Atas sebab itu, beliau jarang menghadiri acara dagang dan hiburan berskala besar seperti Celebfest.