Topik diikuti
Pergi ke BHkuWalau terhiris jari, Norman Ishak tidak temu titik ‘henti’ dalam lakonan
Kongsi pengalaman bergelut cari jati diri ketika remaja, kini tidak takut berkata ‘tidak’
Walau terhiris jari, Norman Ishak tidak temu titik ‘henti’ dalam lakonan
Nama pelakon tempatan, Norman Ishak, tidak asing lagi dalam industri seni tempatan, apatah lagi dengan kebolehannya menghidupkan pelbagai jenis watak.
Bermula sebagai pelakon cilik, Norman, 38 tahun, mengakui dunia lakonan menjadi satu-satunya kerjaya yang dikenalinya sejak kecil.
Bagaimanapun, anak pengacara dan pelawak, Allahyarham Ishak Ahmat, itu, pernah berehat panjang daripada dunia lakonan antara usia 14 dengan 24 tahun kerana berdepan krisis identiti.
Mengimbau bersama Berita Minggu (BM), detik yang memanggil dirinya kembali pada cinta pertamanya, iaitu dunia lakonan, Norman berkata:
“Sejak kecil, kehidupan saya memang banyak dihabiskan di set penggambaran.
“Apabila memasuki usia 14 tahun, saya mula melalui fasa remaja.
“Ketika itulah saya mula tertanya-tanya tentang identiti diri sendiri.
“Ia agak mencabar kerana pada masa sama, saya sedang berdepan perubahan zaman remaja serta tekanan rakan sebaya. Orang pula masih mengenali saya sebagai pelakon cilik.
“Semasa kecil, saya seorang yang sangat peramah dan mudah bergaul. Saya akan berbual, bergurau serta menyanyi dengan semua orang di set, tidak kira tua atau muda.
“Namun, apabila saya meningkat remaja, keperibadian saya berubah. Saya menjadi lebih pendiam dan tidak lagi berkongsi banyak perkara dengan orang lain.
“Saya pernah menjadi pramugara di Singapore Airlines selama setahun dan kemudian menceburi bidang pemasaran.
“Tetapi saya mendapati pekerjaan pejabat bukan jiwa saya. Selepas 10 tahun, saya akhirnya kembali ke dunia lakonan.”
Pengajaran selepas sedekad rehat dari bidang lakonan
Dalam tempoh itu juga, Norman turut sedar akan pentingnya untuk berkata tidak dan lebih mengikut kata hati.
“Satu pengajaran yang saya pelajari ialah kita tidak semestinya perlu menerima setiap tawaran (lakonan) yang datang.
“Semasa kecil, saya akan berkata ‘ya’ kepada semua peluang yang diberikan. Malah, ketika awal usia 20-an tahun pun, saya masih mempunyai pemikiran yang sama.
“Apabila semakin dewasa, saya belajar tidak salah untuk berkata ‘tidak’.
“Jika saya berasa tidak selesa, watak itu tidak sesuai atau saya sudah terlalu penat, saya akan menolaknya dengan baik. Itu juga satu bentuk menjaga diri,” katanya lagi.
Demi jayakan watak cef, sanggup berguru dengan yang lebih arif
Membawakan watak seorang cef dalam telefilem sempena sambutan Hari Kebangsaan, Umar Umami, bukan tugas mudah buat Norman.
Manakan tidak? Norman sendiri akur beliau tidak begitu mahir memasak, apatah lagi mempunyai ilmu tentang teknik memotong bahan sajian mahupun masakan bagi menjayakan watak itu.
Demi memastikan lakonannya tampak meyakinkan, beliau sanggup ‘berguru’ dengan rakan seindustri, Malaque Mahdaly, isteri bekas anggota kumpulan Sleeq, Syarif, yang turut memiliki perniagaan makanan ringan, Chulop! dan Boms & Buns.
“Nasib baik saya ada kawan seperti Malaque yang memang pandai memasak.
“Jadi, saya hubunginya dan bertanya sama ada dia boleh mengajar saya beberapa asas, terutamanya teknik memotong.
“Saya pun pergi ke rumah Malaque dan suaminya, Syarif.
“Di sana, dia mengajar saya sedikit demi sedikit, termasuk cara memegang pisau dengan betul dan teknik memotong seperti ‘claw’ (memegang bahan makanan dengan jari membentuk seperti cakar bagi memastikan proses memotong lebih selamat dan tepat).
“Semua itu banyak membantu saya menghidupkan watak cef ini.
“Sebenarnya, saya memang gemar menonton rancangan masakan.
“Rancangan kegemaran saya ialah MasterChef Australia dan saya mengikuti setiap musimnya.
“Walaupun seronok menonton dan mendapat inspirasi daripada pesertanya, hakikatnya kemahiran memasak itu tidak datang dengan hanya melihat.
“Sebab itu saya perlu berlatih.
“Selain itu, cef berpengalaman yang berada di set penggambaran juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” ceritanya, yang memegang watak Umar, seorang cef muda yang menyertai kelab memasak kejiranan selepas dikecam kerana mengkritik makanan tempatan.
Menerusi sebuah kelab memasak kejiranan, Umar mempelajari makna sebenar makanan sebagai lambang budaya, kenangan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Singapura.
Telefilem Umar Umami, terbitan The Moving Visuals Co., disiarkan pada 9 Ogos di saluran Mediacorp Suria, bermula 9 malam, selepas siaran langsung Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).
Terus berlakon walau cedera
Berkongsi lanjut tentang pengalaman di set penggambaran, Norman pernah terpotong jari sendiri ketika memotong bahan masakan untuk satu babak.
Namun, kerana tidak mendengar arahan ‘cut’ (menghentikan rakaman babak) daripada pengarahnya, M Mahfuz, beliau tetap meneruskan lakonan secara profesional.
“Ada satu babak apabila Umar dikunjungi ibunya, Aisyah, lakonan Era Farida.
“Sebenarnya, babak itu hanya memerlukan kami berbual, tetapi M Mahfuz mencadangkan supaya saya menyediakan sarapan agar adegan itu kelihatan lebih semula jadi.
“Jadi, saya mula memotong tomato sambil berdialog.
“Tanpa sedar, saya terpotong jari sendiri.
“Namun, sebagai pelakon, saya sudah terbiasa untuk terus kekal dalam watak selagi pengarah belum memberi arahan ‘cut’.
“Ketika itu, saya hanya tersentak seketika sebelum menyambung semula babak.
“Kak Era, yang berada di sebelah pun terkejut, tetapi kami teruskan sahaja.
“Darah memang sudah mengalir, cuma nasib baik tomato yang saya potong berwarna merah, jadi ia tidak begitu ketara dalam rakaman.
“Selepas babak selesai, M Mahfuz bertanya mengapa saya tidak berhenti walaupun jari saya sudah terluka?
“Saya hanya menjawab, ‘Sebab kau tak cakap ‘cut’, jadi aku teruskan sahaja,’” ujar Norman sambil ketawa.
Telefilem Umar Umami boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria, pada 9 Ogos, bermula 9 malam.
Ia juga boleh ditonton di aplikasi mewatch.
