Topik diikuti
Pergi ke BHkuFilem ‘The Furious’ kupas konflik keluarga di sebalik aksi tinju
Filem ‘The Furious’ kupas konflik keluarga di sebalik aksi tinju
Zul Ariffin, Sky Iskandar bawa emosi mendalam ke gelanggang
Filem ‘The Furious’ kupas konflik keluarga di sebalik aksi tinju
Tidak semua pertarungan berlaku di dalam gelanggang.
Menerusi filem aksi sukan terbaru, The Furious, penonton dibawa menyelami pergelutan yang jauh lebih rumit daripada sekadar menewaskan lawan iaitu berdepan dengan luka dan kenangan silam yang terus menghantui diri.
Menerusi filem sulung arahannya, Heng Aik Siong, yang sebelum ini berpengalaman sebagai penolong pengarah pertama menerusi filem, The Assistant, Malbatt: Misi Bakara dan Magik Rompak, menggabungkan unsur aksi dan drama kekeluargaan dalam naskhah yang sarat dengan tema kehilangan dan pengorbanan.
Di sebalik aksi tinju yang menjadi tunjang penceritaan, The Furious, mengupas kesan berpanjangan daripada satu keputusan yang dibuat dalam keadaan serba terdesak, sehingga meninggalkan parut emosi yang terus menghantui setiap anggota keluarga.
Sebahagian besar beban emosi filem ini dipikul oleh pelakon baru asal Selangor, Malaysia, Sky Iskandar, atau nama sebenarnya, Hadi Iskandar Mohd Rashidan, 31 tahun.
Selepas mencuri perhatian menerusi watak sampingan dalam filem, Kahar: Kapla High Council, pada 2024, Sky memperlihatkan kematangan lakonan menerusi watak Hakim, lelaki yang dibelenggu rasa marah dan kecewa selepas diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia lapan tahun.
Bertahun-tahun mengharungi kehidupan sebagai penarung jalanan di Manila, Hakim akhirnya kembali ke tanah air bukan sekadar untuk menebus maruah arwah bapanya, malah untuk menghadapi persoalan masa lalu yang belum sepenuhnya terlerai.
Sky berjaya menggambarkan pergolakan jiwa Hakim melalui ekspresi yang terkawal dan bahasa tubuh yang meyakinkan.
Di sebalik sifat panas barannya, terselit cabaran petinju muda yang bergelut dengan rasa tidak dihargai, rendah diri dan kerinduan untuk diterima keluarga sendiri.
Sementara itu, Zul Ariffin, 39 tahun, muncul sebagai tunjang emosi utama filem ini.
Sebagai Firdaus, abang sulung yang memikul tanggungjawab untuk menyara keluarga, sekali gus juara tinju Asia yang sukar ditewaskan, Zul menampilkan antara persembahan lakonan terbaik dalam beberapa projek kebelakangan ini.
Antara babak paling menyentuh hati adalah ketika Firdaus cuba menghalang Hakim daripada terus melarikan diri daripada masalahnya, sebelum meluahkan segala beban yang dipendam selama ini.
Saat itu, Firdaus membuka ruang kepada penonton untuk melihat beban emosi yang selama ini disembunyikannya di sebalik watak abang yang cekal.
Zul menyampaikan emosi itu dengan cukup berkesan melalui mimik wajah, penghayatan serta penyampaian dialog yang menyentuh jiwa.
Dari sudut visual, The Furious, turut menyerlah.
Sinematografinya berjaya memperkukuhkan kesan emosi menerusi penggunaan ‘slow-motion’ (pergerakan perlahan), ‘close-up’ (gambar jarak dekat) dan sudut kamera yang membina ketegangan dengan berkesan.
Koreografi pertarungan yang dipersembahkan bukan sahaja kelihatan tersusun, malah, berjaya mengekalkan intensiti serta kesan nyata dalam setiap babak.
Salah satu babak paling meninggalkan kesan termasuk ketika Firdaus dan Hakim menjalani latihan bersama di gelanggang, diiringi lagu, Sakit, nyanyian Zynakal dan Yonnyboii.
Liriknya berbunyi, ‘Kesilapan lama bakal jadi rama-rama. Tapi aku sakit bila ramai keji. Sakit aku bukan sakit di hati. Jadi sakit aku pendam sendiri’.
Tanpa banyak dialog, babak tersebut berhasil menggambarkan rasa bersalah, penyesalan dan kasih sayang yang terpendam antara dua beradik itu.
Ia seakan-akan mencerminkan perjalanan emosi kedua-dua watak, sekali gus menjadikan adegan tersebut antara yang paling berkesan dalam filem ini.
Namun begitu, The Furious, juga ada kelemahannya.
Walaupun filem ini pada awalnya meletakkan Hakim sebagai protagonis utama, tumpuan jalan cerita mula beralih kepada Firdaus selepas satu tragedi yang menyebabkan Hakim lumpuh.
Peralihan ini sememangnya memberi ruang kepada Zul untuk menyerlah, namun pada masa yang sama, ia sedikit sebanyak menjejas perkembangan watak Hakim.
Sepanjang bahagian pertama filem, perjalanan Hakim tertumpu kepada usaha memahami kemarahan yang dipendam sejak kecil serta rasa kecewa terhadap keluarganya.
Namun begitu, selepas peristiwa yang mengubah hidupnya dengan serta-merta, proses perubahan emosi yang Hakim lalui terasa agak pendek dan tergesa-gesa.
Kemarahan dan dendam yang dibina sejak awal terlerai dengan cepat, menyebabkan beberapa konflik yang diperkenalkan sebelum itu tidak diberi penyelesaian yang memuaskan.
Selain itu, pembinaan menuju pertarungan yang dinanti-nantikan antara Hakim dengan petinju yang juga pempengaruh media sosial, Danial, lakonan Ikmal Amry, 31 tahun, terasa sedikit kurang menyengat.
Setelah pelbagai provokasi dan permainan psikologi dilakukan Danial sepanjang filem, konfrontasi yang berlaku tidak memberikan kesan dramatik yang setimpal dengan jangkaan saya.
Secara keseluruhannya, The Furious, mungkin tidak menawarkan sesuatu yang baharu dari sudut penceritaan, namun, kekuatannya terletak pada cara ia mengimbangi aksi dan emosi dalam mengangkat kisah tentang keluarga, kehilangan dan pengorbanan.
