Filem terbaharu, Konspirasi, hadir dengan percubaan berani untuk membawa genre aksi tempatan ke tahap lebih serius dan sarat dengan unsur politik apabila mengetengahkan dunia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai teras penceritaan.

Diterbitkan oleh Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films bersama Primeworks Studios selaku rakan pemasaran rasmi, filem ini menggabungkan ciri pengintipan, jenayah siber dan perebutan kuasa politik dalam ‘thriller’ yang penuh rahsia dan pengkhianatan.

Selain itu, Elepfilm Entertainment menjadi syarikat penerbitan pertama yang menampilkan SPRM secara menyeluruh dalam filem, selain bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan Malaysia bagi merealisasikan naskhah ini.

Filem ini membariskan pelakon berpengalaman seperti Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Amir Nafis, Roy Azman, Rusdi Ramli, Esma Daniel dan Che Puan Sarimah Ibrahim.

Sebuah sistem data rahsia yang menyimpan pelbagai maklumat sulit berkaitan rasuah politik serta aliran wang haram ke luar negara menjadi teras utama penceritaan filem ini.

Demi memastikan maklumat sulit itu tidak jatuh ke tangan pihak tertentu, sebuah pasukan elit SPRM yang terdiri daripada Dhani (lakonan Hisyam Hamid), Ily (Shiqin Kamal), Maya (Alicia Amin), dan diketuai Adli (Adi Putra), digerakkan untuk menjalankan operasi khas.

Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin tegang apabila sebahagian maklumat tersebut tersebar ke media dan laman web gelap sehingga mencetuskan krisis politik besar, selain menimbulkan syak wasangka tentang kewujudan pengkhianat dalam pasukan itu sendiri.

Menurut pengarah Malaysia, Ghaz Abu Bakar, 51 tahun, keputusan menggabungkan unsur jenayah siber dan rasuah dalam filem ini dibuat kerana kededua isu tersebut semakin dekat dengan realiti masyarakat hari ini.

Baginya, filem ini bukan sekadar menyentuh isu sensitif atau tabu, malah turut membawa pesanan tentang perbezaan antara kebaikan dengan kejahatan serta akibat yang perlu ditanggung bagi setiap perbuatan.

“Kami mahu menunjukkan setiap kebaikan akan dibalas dengan ganjaran.

“Manakala, perbuatan salah pula pasti ada akibatnya,” katanya dalam sidang media filem terbabit, yang berlangsung di pawagam Golden Screen Cinemas di pusat beli-belah IOI City, Putrajaya, Malaysia pada 18 Mei.

Ghaz menambah, isu rasuah tidak hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya merupakan masalah sejagat yang mampu memberi kesan besar kepada masyarakat.

Bersandarkan kejayaan filem aksi Malaysia lain seperti Polis Evo, Paskal, Takluk: Lahad Datu dan Legasi: Bomba The Movie, tentu sahaja saya meletakkan jangkaan tinggi terhadap karya ini.

Dari sudut aksi, Konspirasi masih memberikan apa yang diharapkan peminat genre tersebut.

Babak pertarungan dan adegan kejar-mengejar disusun dengan kemas tanpa ada unsur ganas atau ‘gory’ (berdarah).

Antara adegan paling mencuri perhatian saya ialah babak aksi di Sungai Melaka yang berhasil memberikan aura filem Hollywood menerusi koreografi dan visualnya.

Ia berjaya memberikan kesan mendalam berbanding beberapa babak lain dalam filem ini.

Kekuatan utama Konspirasi juga terletak pada unsur misteri dan konspirasi yang cuba dibina.

Penonton dibawa menyelami pelbagai lapisan rahsia dan kejutan jalan cerita sehingga sukar meneka siapakah dalang sebenar di sebalik kebocoran maklumat sulit itu.

Pada peringkat awal, pendekatan ini berjaya mencetuskan rasa ingin tahu kerana jalan ceritanya ibarat menyusun suai gambar atau teka-teki secara perlahan-lahan.

Namun, di pertengahan filem, jalan ceritanya menjadi semakin rumit dan agak mengelirukan.

Terlalu banyak pendedahan serta konflik yang bertindan menyebabkan tumpuan cerita menjadi kabur.

Ada ketika, motif sesetengah watak dilihat kurang kuat dan meyakinkan untuk mendorong tindakan mereka sehingga membuatkan penonton sedikit sukar memahami perkembangan cerita.

Bagaimanapun, satu perkara yang layak diberi pujian ialah penggunaan dialog dwibahasa Melayu dan Inggeris yang terasa lebih dekat dengan cara percakapan harian.

Pendekatan ini sedikit sebanyak membantu filem tampil lebih moden dan realistik.

Bagi pelakon seperti Sarimah, Hisyam dan Alicia, penggunaan kededua bahasa itu kelihatan semula jadi dan meyakinkan.

Namun, tidak semua pelakon juga mampu membawa gaya pertuturan tersebut dengan baik.

Ada dialog yang kedengaran agak dipaksa sehingga membuatkan sesetengah adegan terasa janggal dan kurang ‘menjadi’.

Selain itu, skrip filem ini juga mempunyai beberapa kelemahan dari segi penulisan dialog.

Ada dialog, terutama dalam adegan melibatkan ahli politik serta pihak atasan kerajaan, yang kedengaran seperti tidak menyambung secara logik sehingga sedikit menjejas emosi dan kelancaran babak tersebut.

Walaupun tidak sepenuhnya memenuhi jangkaan saya, Konspirasi tetap memperlihatkan keberanian dalam menggabungkan intensiti aksi dengan jalan cerita yang sarat dengan ciri konspirasi dan politik.

Pada masa sama, keberaniannya mengangkat isu rasuah, manipulasi politik dan ancaman siber turut memberikan identiti tersendiri kepada naskhah ini dalam landskap filem aksi Malaysia.

Saya tetap berpendapat filem ini masih berbaloi untuk ditonton, apatah lagi dengan kehadiran dua bakat kebanggaan Singapura iaitu, Adi dan Hisyam yang berjaya membawa watak masing-masing dengan cukup berkesan.

Filem Konspirasi kini ditayangkan di beberapa cawangan pawagam Golden Village termasuk, GV Downtown East, GV Bedok, GV Jurong Point, GV Paya Lebar, GV Plaza, GV Tampines, GV VivoCity dan GV Yishun.