Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonsert solo pertama Fauziah Latiff di KL membuai emosi
Konsert solo pertama Fauziah Latiff di KL membuai emosi
Tampil dengan seadanya, fokus pada vokal tanpa gimik
Konsert solo pertama Fauziah Latiff di KL membuai emosi
Tidak disangkal lagi, persembahan penyanyi Fauziah Latiff atau lebih mesra dengan panggilan Jee, yang layak bergelar Ratu Lagu Cinta, memperlihatkan dua elemen yang paling kuat dirasai penonton, iaitu kejujuran dan keberanian.
Apa yang ditampilkan bukan sekadar konsert nostalgia yang bergantung kepada deretan lagu popular, sebaliknya, persembahan yang memperlihatkan sisi dirinya sebagai penghibur matang, jujur dengan perjalanan seni dan berani tampil seadanya, lapor BH Online.
Kejujuran itu dapat dilihat melalui cara Jee mendendangkan lagu dengan emosi yang tidak dibuat-buat.
Jee tidak cuba menjadi ‘Fauziah Latiff’ pada era 1990-an semata-mata demi memenuhi jangkaan penonton, sebaliknya menerima dirinya hari ini dengan penuh yakin.
Nada suara yang mungkin sudah berubah dimanfaatkan sebagai kekuatan untuk membawa interpretasi lebih mendalam dan matang terhadap setiap lagu.
Disebabkan itu, penonton bukan sekadar mendengar nyanyian, malah merasai pengalaman hidup yang dibawa bersama dalam persembahan.
Keberanian penyanyi Dia ini terserlah apabila Jee memilih pendekatan persembahan yang sederhana dan tidak terlalu bersandar kepada gimik berlebihan.
Dalam era konsert moden yang sering mengejar sensasi visual, Jee tampil dengan vokal terkawal, emosi dan penghayatan.
Itu memerlukan keberanian besar kerana fokus penonton akhirnya hanya tertumpu kepada dirinya sebagai penyanyi.
Malah, keberanian Fauziah terserlah dalam keterbukaan berkongsi emosinya di pentas.
Ada detik Jee tampak rapuh, tersentuh dan sangat manusiawi.
Namun, itulah yang menjadikan persembahan itu dekat di hati penonton.
Jee tidak cuba menyembunyikan usia, pengalaman atau perjalanan hidupnya, sebaliknya, menjadikan semua itu sebahagian daripada naratif konsert.
Jee yang tidak segan mengakui diburu rasa takut untuk beraksi di pentas ketika mempromosikan konsert itu, awal 2026, memilih single balada, Setiaku Korbankan yang pernah melatari drama terbitan TV3, Kiranya Aku Tahu pada 2001, sebagai lagu pembuka tirai.
Dengan vokal terkawal dan penghayatan mendalam, Jee membawa bersama nostalgia dan nilai sentimental dalam karya ciptaan LY dan lirik dihasilkan Baiduri, yang kali pertama diperdengarkan pada 2000.
Tampil bersama sekumpulan penari yang masing-masing berpayung seolah-olah dalam hujan, kemunculan Jee yang menggayakan gaun rekaan Ezuwan Ismail, cukup mengujakan peminat yang rata-ratanya dalam kelompok usia 40-an hingga 50-an, yang ketika remaja menjadikan Jee sebagai idola.
Set pertama menyaksikan Jee membuai emosi peminat dengan rangkaian lagu galau, disusuli Apa Sebenarnya dan lagu diberi sentuhan baharu, Tua Mengejar Kita, yang disambut peminat dengan tepukan gemuruh.
Lagu ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan lirik dihasilkan Amran Omar ini menjadi antara karya ‘wajib nyanyi’ dalam karier Jee yang mula bertapak pada 1988.
Jee terus membuai rasa dengan dua lagi karya ciptaan Allahyarham Adnan, iaitu Bukan Berpatah Arang dan Aku Sebutir Pasir.
Set kedua pula menyaksikan Jee yang bertukar busana, memulakan segmen dengan lagu paling mencabar vokal, iaitu Enggan ciptaan komposer berasal Sabah, Asmin Mudin.
Sekali lagi, emosi, pengalaman dan elemen nostalgia yang datang bersama lagu itu menjadikan aksi Jee cukup bermakna, biarpun sesekali agak mencabar untuk dirinya bermain dengan vokal.
Apa yang pasti, segmen itu menjadi antara detik dikenang, apatah lagi, lagu Enggan hampir tidak pernah dipersembahkan secara terbuka berdekad lamanya, sejak mula dilancarkan pada 1995.
Jee yang tampak makin selesa, meneruskan segmen dengan lagu balada yang pernah menjadi siulan ramai, iaitu Ku Pohon Kemaafan dan Aku Masih Seperti Dulu.
Ketika mendendangkan lagu ciptaan Manan Ngah, iaitu Bukan Kemahuan Fikiran yang dipetik daripada album nuasa nusantara, Kini, terbitan 1990, Jee mengajak peminat menyanyi bersama, lantas mengusik emosi penyanyi jelita itu.
penyanyi undangan, Datuk Jamal Abdillah untuk mengisi segmen seterusnya.
Mereka mendendangkan lagu duet ikonik, Kehebatan Cinta sebelum pentas diserahkan kepada Raja Pop itu yang mempersembahkan lagu ‘cari makan’, Gadis Melayu.
Jee kemudian memperkenalkan penyanyi undangan, Datuk Jamal Abdillah untuk mengisi segmen seterusnya.
Mereka mendendangkan lagu duet ikonik, Kehebatan Cinta sebelum pentas diserahkan kepada Raja Pop itu yang mempersembahkan lagu ‘cari makan’, Gadis Melayu.
Set ketiga menyaksikan Jee terus mencabar vokal dengan lagu hit Kau Merubah Segalanya, Batas Menanti dan medley lagu rancak, iaitu Di Muara Sepi dan Sekilas Senyumanmu.
Pada segmen ini, Jee yang menggayakan gaun hitam berkilat, tampak lebih ‘segar’ berikutan dendangan rancak sudah menjadi ‘forte’ dirinya.
Dirasakan adalah lebih baik segmen lagu rancak seperti itu ditambah, apatah lagi, peminat rindu melihat Jee berdansa mengiringi lagu rancak yang menjadi identitinya.
Pentas terus menjadi hangat apabila Jee mempersembahkan lagu Kenari ciptaan Allahyarham Ross Ariffin dan lirik dihasilkan Amran Omar.
Jelas terlihat kesungguhan Jee beraksi sehabis baik dalam melontarkan setiap bait puitis lagu yang pernah popular sehingga ke Jepun itu.
Jee kemudian menutup set ketiga dengan lagu Sahabat yang berentak R&B.
Memulakan set keempat dengan tampil menggayakan busana santai bercelana, Jee dilihat mula mendapat rentak dan lebih yakin.
Mungkin selesa dengan celana digayakan, Jee makin berani mengusik penonton dengan aksi dan jenaka bersahaja.
Jee membawa penonton melalui terowong masa dengan mendendangkan lagu yang menjadi tanda dagangnya selama ini, iaitu Dia, Dari Kaki Tangga Ke Menara dan Yang Kau Lebih Bercinta.
Jee kemudian beralih kepada sebuah lagi karya ikonik, Gubahan Rindu Puisi Syahdu ciptaan Allahyarham Adnan sebelum menutup tirai persembahan dengan lagu malar segar, Teratai Lagu Di Tasik Madu yang bagai menjadi ‘cop mohor’ kepada perjalanan seni wanita berusia 55 tahun ini.
Apa yang menarik, pada penghujung lagu itu, Jee yang perasan tertinggal beberapa baris akhir, meminta pengarah muzik, Chaan mengulang semula bahagian itu.
Jee yang sejak awal persembahan cuba mengawal emosi, akhirnya, berjaya menyudahkan lagu ‘berhantu’ yang mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) 1993 itu, lalu tenggelam dengan sorakan dan nyanyian peminat yang turut sama mengiringinya.
Secara keseluruhan, aksi Jee yang tampil jujur, tulus dan yakin menyerlah kematangan dan tahap profesional dirinya.
Namun, konsert boleh menjadi lebih manis jika Jee lebih banyak berkongsi mengenai pengalaman menjadi penyanyi rakaman ketika usia remaja, kisah di sebalik rakaman lagu dan persahabatan dengan komposer yang menghadiahkan dirinya karya agung merentasi generasi.
Selain itu, material sokongan seperti foto atau klip video lama menjejaki detik awal bergelar penyanyi, segmen ‘tribute’ kepada insan tersayang seperti ibunya atau laungan kemanusiaan seperti sering dipaparkan penyanyi ini dalam media sosial, mungkin mampu mewarnakan lagi konsert solo pertama insan istimewa ini.
Pada akhir konsert dibawakan Ideatelier itu, Jee yang tersentuh dengan sanjungan dan kesetiaan peminat, apatah lagi, kali pertama beraksi pada konsert, memberitahu apa yang disaksikan sepanjang malam adalah suatu permulaan bagi dirinya.
Jee memberi gambaran dirinya beroleh semangat baharu dan menyimpulkan konsert itu sebagai ‘a good start’.
Perlu dinyatakan, apa yang menjadikan konsert Jee istimewa adalah penonton dapat melihat seorang legenda yang tidak lagi cuba membuktikan dirinya relevan, tetapi artis yang benar-benar memahami siapa dirinya.
Dalam dunia hiburan yang sering menuntut kesempurnaan, Jee memilih untuk tampil dengan ketulusan dan itulah keberanian paling besar.
