Meskipun usia bakal menginjak 60 tahun pada Julai ini, ia langsung tidak menjadi penghalang untuk Ella, atau nama penuhnya Nor Zila Aminuddin, terus ligat beraksi di atas pentas.

Ini terbukti pada 9 Mei lalu, apabila Ella menguasai pentas The Star Theatre dengan gerak tubuh lincah dan stamina vokal yang mantap sepanjang konsert berlangsung selama dua jam.

Konsert, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 anjuran Hitman Solutions Live dan disokong SAH Entertainment, menyaksikan Ella mempersembahkan 25 lagu beliau, di hadapan 2,500 peminat dan penggemar muzik rok.

Tirai konsert dibuka sekitar 8.15 malam dengan Ella menyanyikan lagu, Rama-Rama. 

Dengan visual rama-rama berwarna-warni terbang memenuhi layar skrin di atas pentas, persembahan pembukaan itu seakan-akan membawa penonton turut ‘terbang’ bersama perasaan penuh nostalgia.

Daripada keindahan visual, suasana segera bertukar rancak apabila Ella menyampaikan Kesal

Rentak rok dalam lagu itu menghangatkan dewan, dengan sebahagian yang datang, menggoyang-goyangkan kepala mengikut irama. 

Selepas larut dalam rentak rok yang rancak, penonton kemudian dibuai emosi menerusi Tiada Tangis Lagi, diikuti Cinta Selembut Sutera, Retak dan Bayangan.

Selesai set pertama, penyanyi kelahiran Pulau Pinang itu mengambil kesempatan berinteraksi dengan peminat, menyapa mereka dengan kemesraan dan kemanjaan yang sudah lama menjadi pesonanya di atas pentas. 

Sambil melentok-lentokkan badan, beliau berkongsi bahawa Singapura menyimpan banyak kenangan, antaranya memori sewaktu bercinta buat dirinya. 

Beliau turut menyebut tentang saudara-maranya yang menetap di Singapura, selain mengimbau pengalaman berguru dengan Papa Rok, Ramli Sarip, ketika beliau mula mengorak langkah sebagai penyanyi solo selepas era Ella and The Boys pada 1988.

Sebagai tanda penghargaan kepada Ramli yang juga anak jati Singapura, Ella menyampaikan lagu Kasih, ciptaan Papa Rok itu sendiri. 

Lagu susulan seperti Pedih, Tinggal Tanda Tanya dan Layar Impian memperlihatkan sisi rok Ella dengan kawalan vokal yang baik.

Ella turut mengambil peluang dalam konsertnya itu untuk meraikan kehebatan penyanyi wanita rok lain yang seangkatannya, menerusi rampaian karya muzik yang tidak pernah lapuk dek zaman.

Dewan konsert bergema dengan suara ramai, menyanyi bersama-sama lagu Ku Takkan Bersuara, nyanyian asal Nike Ardilla; Kawan (Ruhil); Salam Buat Kekasih (Nadia); serta Setelah Aku Kau Miliki (Shima).

Suasana dewan semakin bersemarak, apabila Ella mengejutkan penonton dengan menjemput Wann, penyanyi kelahiran Perak yang sudah bermastautin di Singapura, ke pentas.

Dengan suara serak-serak basah yang menjadi identitinya, Wann berduet bersama Ella menerusi Pengemis Cinta, sebelum mengambil alih pentas menyampaikan lagu balada rok beliau sendiri, iaitu Lamunan Hati. 

Penyanyi Wann (kanan) menjadi artis jemputan semasa konsert, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026’. Mereka berduet dalam lagu, ‘Pengemis Cinta’.
Penyanyi Wann (kanan) menjadi artis jemputan semasa konsert, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026’. Mereka berduet dalam lagu, ‘Pengemis Cinta’. - Foto HITMAN SOLUTIONS

Wann juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu asal Biduanita Saloma, Bossanova, mengubah suasana melankolik, menjadi lebih santai dan meriah, dengan penonton turut berdansa mengikut rentak.

Ella kemudian muncul semula dengan persalinan pakaian trek yang dilapisi blaus putih di bahagian luar, dan meneruskan persembahan dengan membawa Bolero, Dua Insan Bercinta, Penawar dan Permata Biru. 

Pada waktu itu, saya sempat mencuit orang di sebelah sambil berseloroh: “Saya tidak boleh bayangkan ibu saya (yang lebih kurang seusia Ella), terloncat-loncat seperti ini. Silap hari bulan, boleh terseliuh lutut!” 

Dari segi produksi, kekuatan konsert ini terletak pada gabungan visual, pencahayaan dan persembahan Ella yang kelihatan ’bersatu’. 

Penganjur, Hitman Solutions, dikenali dengan kepakaran menyepadukan teknologi visual dan audio canggih untuk menciptakan pengalaman konsert yang mengasyikkan.

Layar latar di atas pentas bukan sekadar hiasan, tetapi bergerak seiring dengan mood lagu, menghasilkan kesan dramatik dan menarik. 

Gabungan visual dan pencahayaan bergerak seiring dengan ‘mood’ lagu menghasilkan kesan menarik sepanjang konsert, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026’.
Gabungan visual dan pencahayaan bergerak seiring dengan ‘mood’ lagu menghasilkan kesan menarik sepanjang konsert, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026’. - Foto HITMAN SOLUTIONS
Pencahayaan pentas berwarna-warni untuk lagu rancak, menaikkan ‘mood’ penonton sepanjang konsert, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026’.
Pencahayaan pentas berwarna-warni untuk lagu rancak, menaikkan ‘mood’ penonton sepanjang konsert, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026’. - Foto HITMAN SOLUTIONS

Kemuncak konsert tiba, apabila Ella mendendangkan rantaian hit iaitu, Standing in the Eyes of the World, disusuli dengan Sembilu dan Sepi Sekuntum Mawar Merah. 

Ketiga-tiga karya malar segar itu membawa hadirin menyelami pelbagai perasaan, daripada semangat yang membara, luka cinta yang menyakitkan hingga rintihan hati dek kehilangan yang meruntun jiwa. 

Secara keseluruhan, konsert malam itu berjaya memberikan hiburan yang memuaskan. 

Tiada satu detik pun terasa membosankan, mungkin kerana susunan lagu yang bijak menyelang-nyelikan deretan lagu popular dengan karya yang kurang dikenali, seiring sokongan visual yang mempesona.

Aura Ella turut menyerlah melalui keperibadian manjanya, tenaga persembahan yang tidak luntur dan vokal rok yang masih utuh, pada usia hampir 60 tahun.

Ella menutup tirai konsert malam itu dengan dua lagu rok rancak Nuri dan P.P.P, sebelum mengakhirinya dengan Gemilang, lagu yang terasa seperti rangkuman sempurna kepada perjalanan seni lebih empat dekad Ratu Rok tersebut.

Ia sekali gus membawa makna simbolik, bahawa sinar kegemilangannya masih belum malap, malah terus bergemerlapan di pentas muzik serantau.

Ella (tengah) merakam gambar kenangan bersama penonton, pemuzik dan penyanyi latar yang mengiringi persembahannya pada malam konsert, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026’.
Ella (tengah) merakam gambar kenangan bersama penonton, pemuzik dan penyanyi latar yang mengiringi persembahannya pada malam konsert, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026’. - Foto HITMAN SOLUTIONS

“Tiada satu detik pun terasa membosankan, mungkin kerana susunan lagu yang bijak menyelang-nyelikan deretan lagu popular dengan karya yang kurang dikenali, seiring sokongan visual yang mempesona. Aura Ella turut menyerlah melalui keperibadian manjanya, tenaga persembahan yang tidak luntur dan vokal rok yang masih utuh, pada usia hampir 60 tahun.”
Penulis.