Topik diikuti
Pergi ke BHkuBahasa isyarat jambatan kasih Adi Putra dengan anak angkat
Bahasa isyarat jambatan kasih Adi Putra dengan anak angkat
Pelakon ‘Mat Kilau’ dan isteri kekal keharmonian rumah tangga atas dasar persahabatan, persefahaman
Bahasa isyarat jambatan kasih Adi Putra dengan anak angkat
Membesarkan dua anak angkat telah mencorak kehidupan pelakon kelahiran tempatan, Datuk Adi Putra, dalam pelbagai cara yang tidak disangka.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Wisma Geylang Serai (WGS), pelakon yang nama asalnya, Mohamed Hadi Putera Halim, 45 tahun, mendedahkan beliau mula menggunakan bahasa isyarat untuk berinteraksi bersama salah seorang anak angkatnya, Zara Adelia, sejak si kecil berusia empat tahun.
Ini selepas mengetahui anaknya itu mempunyai masalah pendengaran sejak usia enam bulan.
Difahamkan Adelia juga mempunyai masalah pertuturan.
Kini remaja berusia 14 tahun itu cekal mengharungi kehidupan sebagai anak istimewa, dengan Adi dan isteri, Datin Zuhaidah Yusof, 51 tahun, atau mesra dikenali sebagai Datin Aida, terus memberi perhatian penuh terhadap perkembangannya.
“Adelia kini sedang belajar di sekolah khas SMK Dato Ibrahim Yaacob, manakala Az Zahra pula sedang mengikuti pengajian di asrama Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan,” katanya yang menjaga kededua anak angkatnya sejak mereka kecil lagi.
Walaupun jadual kerja dan perniagaan sering padat, Adi menegaskan keluarga tetap menjadi keutamaan.
Mereka akan cuba meluangkan masa bersama apabila Zahra, 14 tahun, pulang ke rumah pada hujung minggu dari sekolah asrama.
“Kami juga sering ke Makkah dan Madinah jika jadual mengizinkan,” kata Adi yang mengendalikan perniagaan umrah dan haji.
Aida turut menjelaskan hubungan dengan keluarga kandung anak-anak mereka terbatas disebabkan perihal peribadi, serta demi menghormati keputusan dan batasan semua pihak.
“Walaupun kami tidak dikurniakan anak kandung, alhamdulillah Allah tetap memberikan yang terbaik buat kami sekeluarga,” katanya, yang juga bertindak sebagai pengurus Adi.
Adi, yang ditemui sempena pelancaran inisiatif kesenian baharu Jamiyah Singapura, DayaSeni, baru-baru ini, pula memilih menjaga privasi anak-anaknya dan mahu mereka memberi fokus kepada pendidikan serta pembentukan diri terlebih dahulu.
Aida turut berkongsi keharmonian rumah tangga mereka banyak dibina atas dasar persahabatan, keterbukaan dan saling memahami antara satu sama lain.
Beliau juga memahami tuntutan dunia lakonan termasuk keperluan suaminya bekerjasama dengan pelakon wanita lain.
“Saya faham bagaimana industri ini berfungsi. Jadi soal cemburu itu tidak terlalu menjadi isu kerana apa yang penting ialah kepercayaan dan komunikasi,” katanya, yang mengakui hubungan yang dibina atas persefahaman mendalam.
Pasangan ini pernah berpisah selama setahun pada 2017 dan berkahwin semula pada 2018.
Terus Relevan Dalam Dunia Lakonan
Di sebalik tanggungjawab sebagai seorang bapa, bintang filem Mat Kilau itu terus aktif menjalani penggambaran drama Luka Di Hujung Setia bersama Zara Zya, yang bakal ditayangkan di TV3.
Walaupun sudah lama berkecimpung dalam bidang seni, Adi juga mengakui beliau masih mahu mencabar kemampuan dirinya.
“Saya ingin membawa lima watak dalam satu naskhah. Ia menjadi satu cabaran bagi seorang pelakon dari segi bagaimana kita ingin mencorak kelainan setiap watak supaya boleh meyakinkan penonton,” katanya.
Beliau menegaskan sebagai pelakon, dirinya tidak mahu terlalu terikat dengan watak aksi atau silat semata-mata.
Sebaliknya, beliau lebih gemar menjayakan watak yang pelbagai dan bersifat menyeluruh.
Adi turut menerima kritikan secara terbuka dan positif kerana baginya, setiap komen daripada penonton menunjukkan karya lakonannya masih mendapat perhatian masyarakat.
Filem Baharu Sarat Aksi
Dalam perkembangan lain, pelakon KL Gangster itu juga bakal tampil dalam filem aksi Konspirasi, arahan Ghaz Abu Bakar.
Beliau membawakan watak Adli, seorang pegawai kanan SPRM, dalam filem dengan tema anti-rasuah dan siasatan khas.
Filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Rusdi Ramli, Shiqin Kamal, Roy Azman serta Hisyam Hamid, dan dijadualkan menemui penonton pada 21 Mei ini.
Rezeki Tidak Putus Dari Singapura
Adi juga dilihat aktif menghadiri beberapa acara di Singapura termasuk kemunculannya pada rakaman televisyen, Sinar Lebaran, serta DayaSeni, baru-baru ini
Apabila ditanya mengenai penglibatannya dalam industri hiburan Singapura, beliau meluahkan rasa syukur kerana masih menerima banyak tawaran.
“Saya bersyukur kerana sentiasa menerima tawaran dari Singapura. Namun, disebabkan jadual yang agak padat, saya perlu memilih projek yang benar-benar sesuai dengan masa yang ada,” katanya.
Tambah Adi, hubungan baik yang telah lama terjalin dengan peminat di Singapura membuatkan beliau sentiasa menghargai peluang untuk kembali tampil apabila keadaan mengizinkan.
Walaupun sibuk dengan penggambaran dan perniagaan, Adi kini lebih aktif menghasilkan kandungan di TikTok mengikut trend semasa sebagai cara mendekatkan diri dengan peminat.
“Ia salah satu cara saya mendekatkan diri dengan peminat, lebih-lebih lagi selepas Covid-19,” katanya.
Gigih Meniaga
Dalam dunia perniagaan pula, beliau terlibat dalam beberapa syarikat termasuk Hadid Travels and Tours yang menguruskan jemaah haji dan umrah.
“Ramai sangka saya mutawif syarikat itu, tetapi sebenarnya saya yang menguruskan syarikat itu dan lebih banyak terlibat dalam pengurusan dan mesyuarat di Tanah Suci,” katanya, yang juga pernah mengarah filem amal, Syaban, pada 2023.
Beliau juga merupakan antara ahli lembaga pengarah syarikat ladang ternakan, Aliya Rizq Farm.
Menurut Adi, keseimbangan antara dunia seni dan perniagaan memerlukan disiplin pengurusan masa serta pemilihan jadual kerja yang teliti.
Kesihatan Tidak Halang Terus Beraksi
Sebelum ini, Adi dilaporkan dikejarkan ke hospital pada 2024 selepas mengalami keletihan ketika berada di lokasi penggambaran drama Sekam Di Dada untuk slot ‘Samarinda’ diTV3.
Beliau dilaporkan mengalami jangkitan kuman di paru-paru serta masalah batu karang.
Namun begitu, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus membintangi filem aksi.
“Meskipun pernah mengalami masalah kesihatan, saya tetap komited terhadap filem bergenre aksi.
“Apa yang penting ialah aspek keselamatan ketika menjalani penggambaran terutama babak yang memerlukan ketahanan fizikal,” katanya lagi.
