Meskipun berdarah kacukan Australia dan Riau, penyanyi Indonesia, Shae, membesar dengan perasaan seolah-olah tidak pernah benar-benar mempunyai tempat untuk dirinya sendiri.

Di Indonesia, beliau dianggap terlalu ‘Australia’.

Manakala di Australia pula, beliau dilihat terlalu ‘Indonesia’.

Bagi Shae, atau nama sebenarnya, Sheryl Gething, 32 tahun, pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk pencarian identiti yang dilaluinya sejak kecil.

“Meskipun berdarah kacukan, saya rasa seperti dipinggirkan... kecuali di Malaysia dan Singapura.

“Di Indonesia, ramai menganggap saya lebih sesuai berada dalam kalangan masyarakat Australia. Apabila berada di Australia pula, mereka melihat saya sebagai orang Indonesia.

“Sejak kecil lagi, saya juga sering menjadi mangsa buli kerana dianggap ‘pelik’ atau berbeza. Mereka anggap saya ‘Mat Salih’.

“Pengalaman itu membuatkan saya belajar mengenali identiti diri dan membentuk keperibadian sendiri, termasuk dalam memilih serta membina hubungan dengan rakan,” kata Shae kepada Berita Harian (BH) melalui Zoom, baru-baru ini.

Zaman kanak-kanak Shae banyak dihabiskan di Indonesia – tempat beliau membesar dan bersekolah.

Setiap kali cuti sekolah, barulah penyanyi lagu, Tetaplah Tersenyum itu, pulang ke Australia bagi menghabiskan masa bersama keluarga daripada pihak bapanya.

Walaupun pengalaman dibuli ketika di sekolah meninggalkan kesan mendalam, ia juga menjadi detik yang membuka jalan buat Shae mengenali dan mencintai dunia seni persembahan serta muzik.

“Mungkin (di sekolah), orang kurang memahami saya. Jadi, saya belajar menikmati masa bersendirian dan menerima diri sendiri.

“Semasa kecil, saya tidak mempunyai ramai kawan kerana sering dianggap pelik. Tetapi apabila semakin dewasa, saya sedar tidak salah menjadi berbeza.

“Saya memilih untuk menerima diri saya yang orang anggap pelik itu, dan menjadikannya satu kelebihan. Dari situlah lahirnya minat saya terhadap seni dan juga dunia teater.

“Saya percaya setiap pengalaman negatif, pasti ada hikmahnya.

“Yang penting ialah bagaimana kita memilih untuk melihatnya dan menjadikannya sebagai ruang berkembang,” katanya.

Kemunculan semulanya dalam dunia muzik membuka lembaran baharu buat peserta Gegar Vaganza 12 (GV12) itu, apabila diberi peluang menjayakan kerjasama serantau menerusi lagu berjudul, Akadmu.

Lagu itu bukan sahaja menjadi buah tangan pertamanya buat peminat pada 2026, malah menandakan kerjasama sulung bersama syarikat penerbitan muzik berpangkalan di Singapura, Bhuana Gema Studio.

Akadmu merupakan hasil ciptaan pengasas Bhuana Gema Studio dan penggubah lagu, yang hanya ingin dikenali dengan nama panggung, Pa’an, dengan lirik ditulis bersama Shae.

Lagu terbaharunya itu bakal dipersembahkan pada acara kenal suai, Meet & Greet With Shae, anjuran bersama Bhuana Gema Studio serta Neutral Studio.

Acara itu akan berlangsung pada 22 Ogos, bermula 5 petang hingga 11 malam, di Verona Henderson Ballroom, yang terletak di 102 Henderson Road.

Turut memeriahkan lagi acara itu ialah barisan artis tempatan seperti Fuad Aziz, Bo Jenggo, Azley Flywings, Fyrdaus, Hana Fathana dan Syuk.

Akadmu ialah lagu romantik dan juga single pertama saya bagi tahun ini (2026). Ia menjadi kerjasama sulung saya bersama Bhuana Gema Studio dari Singapura.

“Buat masa ini, lagu tersebut masih dalam proses pembikinan dan dirakamkan di Jakarta.

“Apa yang menarik, projek ini menghimpunkan tenaga kreatif dari tiga negara. Saya dari Indonesia, dan pencipta lagunya dari Singapura iaitu, Pa’an.

“Selepas semuanya siap, saya akan bekerjasama dengan penyanyi asal Singapura, Adeep Nahar, yang juga vokalis kumpulan V.E, dan kini mempunyai kerjaya muzik di Malaysia, sebagai pengarah vokal.

“Kami masih berbincang sama ada akan bertemu di Malaysia atau beliau akan datang ke Jakarta,” cerita Shae.

Buat masa ini, Shae menyasarkan untuk melancarkan lagu, Akadmu, sekitar Ogos ini.

Penghasilan video muzik pula akan dilakukan secara berperingkat.

Tiket bagi acara Meet & Greet With Shae, yang berharga antara $72 dengan $122, boleh didapati di laman Sistic menerusi https://www.sistic.com.sg/events/lite_shae2026.