Tidak perlu paparan skrin raksasa yang menyorot kembali perjalanan seninya selama 40 tahun untuk disingkap bersama peminat.

Permainan cahaya di ruang Dewan Konsert Esplanade yang mewujudkan suasana ceria, suntikan nostalgia lagu lama yang pernah berkumandang di corong radio mahupun ‘mood’ ratapan sayu sang penyanyi sahaja sudah mencukupi untuk meresap masuk ke dalam jiwa penonton.

Walaupun ini kali keenam saya menonton Datuk Sheila Majid membawakan gemersik suara uniknya di pentas konsert di Singapura, saya tidak pernah jemu dek keikhlasan, kejujuran dan gurauan selamba beliau yang dikenali dengan julukan, ‘Ratu Jaz Malaysia’.

Konsert, Sheila Majid 40 Years In Music, anjuran Biz Trends Media, pada 6 Jun lalu, boleh saya anggap ‘ada kelas’ dan memukau perhatian, sesuai untuk saya sendiri jadikan sebagai hadiah hari lahir saya yang ke-53, pada 5 Jun.

Pada usia 61 tahun, Sheila masih ‘maintain’ atau mengekalkan tenaga suaranya yang menghiasi pelbagai lagu seperti Warna, Memori, Dia dan Aku Cinta Padamu.

Penyanyi genit ini juga amat menghiburkan dengan sembang santai bak kawan lama atau gurau senda yang mencuit hati tanpa perlu ‘over’ atau cuba tanpa jaya untuk memikat hati penonton.

Selamba, bijak bersenda tanpa mengabaikan adab dan kesopanan orang Melayu, itulah Sheila Majid, anak seni yang saya kenali dari kaca televisyen sejak era 1980-an lagi.

Beberapa kali mewawancaranya secara bersemuka juga meninggalkan kesan kepada diri saya sebab beliau memang bintang merendah hati dan menghormati orang, di samping jujur dan tidak pernah menyorok jawapan pada soalan yang diketengahkan wartawan.

Dalam konsert tempoh hari, Sheila bukan sahaja menyajikan peminatnya dari pelbagai generasi, baik sebaya ataupun jauh lebih muda, dengan bermacam lagu hit, malah, turut mengusik mereka agar malam yang indah itu tidak berlalu pantas dengan rasa jenuh atau resah.

“Saya faham yang dah masuk 50-an tahun ni tak suka atau tak boleh berdiri lama!

“Masuk tiga lagu sahaja, dah tak boleh tahan, sebab lutut kaki dah mula longgar... nak minta duduk segera,” ujarnya, ketika meminta penonton Singapura bersemangat bangun dan menari sama bagi irama rancak.

Apabila ada penonton Generasi X (dilahirkan antara 1965 dengan 1980) mengaku dirinya Generasi Z (lahir antara 1997 dengan 2012), Sheila dengan segera berlari ke tepi pentas untuk mendekati penonton yang begitu teruja bergurau dengannya.

“Oh lahir 1971, bukan 1991... ini bukan Gen Z... apa awak kata?

“Memang bukan Gen Z... muka sahaja macam Gen Z... faham-faham,” ujarnya, seraya tertawa sambil melayan peminat setia yang duduk di barisan depan.

Konsert dibuka tirai dengan sisipan pembukaan lagu Warna, iaitu, “Oh... Oh... Sheila”, yang diulang beberapa kali sebagai menyambut diva kegemaran ramai ini ke pentas.

Biduanita yang kadangkala diusik peminat dengan gelaran ‘Tipah Tertipu’ (gara-gara wataknya sebagai Tipah dalam filem pecah panggung, Ali Setan, dengan dialog yang terus menjadi ingatan) itu tampak anggun, membawa penonton menyusuri jalan kenangan dengan lagu romantis seperti Dia, Antara Anyer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Emosi dan Selamanya.

Sheila menampilkan karyawan muzik handalan, baik di pentas atau di sebalik pentas, yang sudah lama bekerjasama dengannya.

Tiada masalah mendengar kejelasan suara Sheila dalam ruang intim Dewan Konsert Esplanade.

Suaranya tidak tenggelam oleh muzik yang saya anggap lunak didengar di malam hari.

Cukup berbeza dengan beberapa konsert lain yang pernah saya hadiri, yang sayangnya, membenam suara merdu sang penyanyi dek band pengiring yang sama-sama ingin ‘bersaing’ mendapat perhatian penonton.

Tahniah kepada Mac Chew selaku pengarah muzik konsert tersebut dan pengarah konsert, Jennifer Thompson, kerana memberikan pengalaman menyeronokkan dibuai lagu Sheila yang bermutu tinggi.

Dua lagu Sheila yang ‘melekat’ di minda pada hari itu, Ku Mohon dan Gerimis Semalam pula menjadi santapan halwa telinga, yang sentiasa mengingatkan saya akan ada kehilangan dalam hidup ini, tetapi Tuhan yang akan hadir untuk memantapkan jiwa bagi meneruskan kehidupan.

Sebagai insan seni yang sentiasa menghargai dan memberi ruang, Sheila turut menampilkan anak sulungnya, Kayda Aziz (Nur Khaleeda Roslan) yang mencipta nama sebagai penyanyi hip-hop serta gitaris dan komposer jaz terbilang Indonesia, Tohpati Ario Hutomo, di pentas.

Dengan Lagenda, Pengemis Muda dan Sinaran turut dipersembahkan, Sheila Majid membuka pintu hati peminat untuk menaiki mesin kembara masa bagi mengenangkan detik indah dalam hidup mereka.