SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Hetty Sarlene tolak peluang kerjaya seni di M’sia demi anak

Hetty Sarlene tolak peluang kerjaya seni di M’sia demi anak

Penyanyi lagu ‘Rindu Aku Rindu’ hargai peluang kembali ke kaca TV S’pura
Apr 3, 2026 | 5:30 AM

Hetty Sarlene tolak peluang kerjaya seni di M’sia demi anak

Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Itulah laluan hidup yang dipilih pelakon dan penyanyi Singapura, Hetty Sarlene, 41 tahun, untuk tidak merebut peluang kerjaya di Malaysia demi memberi tumpuan kepada anak-anaknya. 

Hetty, atau nama sebenarnya, Hetty Sarlene Abdul Hamid, merupakan antara bakat seni tempatan terawal pada era 2000-an yang berjaya menempa nama di seberang Tambak menerusi lagu pertamanya, Rindu Aku Rindu, dan selepas itu melibatkan diri dalam bidang lakonan di sana.

“Sejujurnya, ada beberapa tawaran membuat persembahan di Malaysia yang saya terima baru-baru ini.

“Setelah berbincang dengan suami saya, beliau mengizinkan saya untuk ke sana jika tugasnya ambil masa sekitar beberapa hari hingga seminggu. 

“Namun, saya sendiri yang memilih untuk tidak ke sana buat masa ini kerana anak-anak sedang membesar dan memerlukan perhatian saya. 

“Saya tidak boleh bayangkan keadaan berjauhan kerana mereka amat rapat dengan saya. Tambahan pula, saya turut hantar mereka ke tadika setiap hari,” kongsinya yang mempunyai dua anak, Landon Alexander Oakes, lima tahun; dan Hayden Ashton Oakes, lebih satu setengah tahun, kepada Berita Harian (BH).

Terdahulu, Hetty berkahwin dengan Daniel Oakes, pengarah operasi dalam bidang logistik dari Britain pada Julai 2016.  

Setelah hampir setahun berehat daripada persada seni tempatan kerana melahirkan anak kedua, Hetty tidak menyangka jadualnya bakal padat pada 2026, dengan pelbagai tawaran lakonan dan nyanyian muncul bertali arus.  

“Alhamdulillah, suami dan keluarga sentiasa menyokong kerjaya seni saya.

“Saya bersyukur dapat kembali berlakon setelah sekian lama. 

“Saya baru tamat penggambaran bagi drama bersiri, Kaki Bola (Musim Kedua), dan terlibat dalam dua episod drama Cuci (Musim Kedua),” ceritanya yang turut muncul sebagai pelakon undangan bagi pertandingan realiti, Berani Lakon!. 

Hetty turut menjelaskan dirinya teruja kerana terlibat sebagai penyanyi dan pelakon sketsa jenaka dalam rancangan hiburan Raya, Sinar Lebaran 2026, terbitan Mediacorp Suria.

“Kali terakhir saya terlibat dalam Sinar Lebaran adalah pada 2018.

“Ia pengalaman yang menyeronokkan dapat bergandingan bersama rakan selebriti yang lama tidak saya temui sambil menghiburkan penonton,” kongsinya yang berduet dengan penyanyi, Rahila Rashun, bagi lagu Pulang Di Hari Raya (nyanyian asal Noorkumalasari). 

Selain Hetty, kemunculan selebriti tempatan yang telah membina kerjaya di luar negara dan sudah lama tidak muncul di kaca televisyen tempatan seperti Roslan Shah, Rima Melati Adams, Zack Zainal dan Othman Hamzah, dapat mengubat hati penonton.  

Hetty juga bakal beraksi sebagai penyanyi undangan bagi persembahan sempena Pesta Raya, Rock-Eid with Nana Karia & Friends, pada 18 April di Teater Luar DBS Foundation, Esplanade.

Penyanyi undangan lain termasuk Izzan Adlan dan Zaibaktian. 

Hetty yang mula berkecimpung dalam industri hiburan pada usia 16 tahun menerusi pertandingan, Asia Bagus pada 1999, berkata dirinya tidak menghalang jika kededua anaknya meminati bidang seni.  

“Saya akan memberi galakan sepenuhnya.

“Ketika ini, Landon menunjukkan sedikit minat dalam lakonan dan menari. Dia mengikuti kelas pertuturan dan lakonan di tadikanya.

“Dari situ, dia belajar cara mengekspresikan diri dan kini bertambah yakin.

“Dia turut peka dengan kerjaya saya sebagai seorang penyanyi dan kadangkala ingin menemani saya membuat persembahan. 

“Namun, dia perlu mengasah kemahiran bahasa Melayunya kerana buat masa ini, saya hanya mengajarnya perkataan mudah dalam bahasa Melayu,” kata Hetty yang dikenali dengan lagu, Sangsi Asmara dan Siapa Diri Ku Di Sisi Mu. 

Mengimbau kenangan berkarya di negara jiran, Hetty mengakui kejayaannya itu tidak akan terjadi tanpa bimbingan pengarah dan penerbit filem mapan, Datuk Yusof Haslam.  

Beliau menyifatkan Yusof sebagai mentor pertamanya dan setiap pengalaman bersama syarikat Skop Productions, merupakan sebahagian proses pembelajaran sebagai anak seni. 

Antara drama yang pernah dibintanginya termasuk siri Sembilu (2004-2005); Si Capik (2009-2011); serta filem Evolusi KL Drift (2008, 2010); dan Bohsia (2012). 

“Saya gembira melihat lebih ramai bakat tempatan memilih untuk mengembangkan bakat mereka di Malaysia. 

“Bagi saya, mereka harus bekerja lebih keras dan sentiasa bersikap rendah hati apabila di sana agar dapat terus bertahan dalam industri yang sangat sengit dengan persaingan. 

“Saya juga menumpang rasa gembira melihat Abang Iskandar Ismail dinobat sebagai juara Gegar Vaganza Musim 12 (GV12) pada awal 2026. 

“Ia merupakan peluang yang baik baginya kerana beliau merupakan penyanyi yang sangat berbakat dan sudah tiba masanya warga Malaysia mengenali dirinya,” ujar Hetty, yang pernah memasuki GV (Musim Kelima) pada 2018 dan mara hingga peringkat separuh akhir.

‘Sinar Lebaran 2026’ boleh ditonton di mewatch dan YouTube Mediacorp Entertainment.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg