Di sebalik senyuman yang tidak pernah lekang di atas pentas, pernah ada satu fasa apabila muzik tidak lagi mampu membahagiakan penyanyi kacukan Australia-Riau, Shae.

Shae, atau nama sebenarnya, Sheryl Gething, 32 tahun, yang pernah mencipta fenomena di Malaysia dan Singapura, menerusi lagu, Sayang dan Aku Suka Kamu itu, memilih untuk menjauh daripada dunia nyanyian demi mencari semula tujuan hidup.

Bagaimanapun, penyertaannya dalam peraduan realiti kegemaran ramai terbitan Astro, Gegar Vaganza 12 (GV12), pada 2025, menjadi titik perubahan yang menemukan kembali makna sebenar di sebalik muzik.

“Sebelum menyertai GV12, muzik telah kehilangan makna buat saya.

“Sebab itu, saya berundur seketika dalam bidang muzik.

“Saya tidak gembira dengan lagu yang saya keluarkan untuk peminat. Saya rasa mereka mahu sesuatu daripada saya, tetapi ia tidak memberi satu kepuasan pada diri saya.

“Jadi, selama tempoh itu, saya bekerja dalam bidang penerbitan. Saya bantu uruskan persembahan untuk artis dan syarikat korporat di Indonesia.

“Saya berusaha mempelajari kemahiran baharu dan mendalami agama. Selama setahun, saya turut mencuba kerjaya sebagai ejen hartanah.

“Kini, saya sedang fokus membina ‘kos-kosan’ (rumah sewa),” kata Shae kepada Berita Minggu (BM) dalam satu sesi wawancara Zoom, pada 23 Jun.

Shae menganggap peluang menyertai pertandingan realiti tersebut, yang diterbitkan Astro, membuatkan cintanya terhadap muzik berputik kembali.

Di sebalik itu, beliau turut bergelut dengan isu keyakinan diri.

Bagaimanapun, berbekalkan semangat wajanya, Shae menjadikan cabaran itu sebagai ruang untuk terus berkembang.

“Saya rasa penyertaan saya dalam GV12 pada 2025, merupakan satu petunjuk daripada Tuhan untuk kembali ke dunia muzik.

“Namun begitu, saya juga akur pertandingan tersebut agak mencabar bagi saya secara mental.

“Saya sebenarnya seorang pemalu, meskipun tidak tampak begitu ketika berada di depan kamera.

“Saya juga sedar akan kelemahan diri dan antaranya ialah tidak dapat mendengar menggunakan telinga kiri kerana mengalami masalah pendengaran sejak kecil.

“Semua itu mendorong saya untuk bekerja lebih keras dan memberikan persembahan yang lebih baik sepanjang GV12, lebih-lebih lagi kerana sudah lama tidak menyanyi,” tambahnya lagi.

Selama berada dalam GV12, Shae bukanlah artis yang sentiasa berada dalam kedudukan tinggi dalam setiap persembahan.

Baginya, perkara itu tidak dilihat sebagai ukuran utama kejayaannya dalam pertandingan tersebut.

Malah, kehadiran peserta lain yang bernaung di bawah syarikat pengurusan sepanjang pertandingan tidak pernah membuatkan beliau berasa rendah diri.

Sebaliknya, Shae lebih mengutamakan pengalaman yang dapat diberikan kepada penonton menerusi setiap persembahannya selama 11 minggu.

Jika ada satu perkara yang tidak akan berubah tentang Shae, ia adalah kemampuannya menghiburkan penonton dengan penuh tenaga dan keceriaan.

Penyanyi lagu, Gojigo (K.A.M.U.), itu berkata sisi spontan dan ‘gila-gila’ yang sering dilihat ketika membuat persembahan bukan sekadar sebahagian daripada personaliti pentas, malah cerminan dirinya yang sebenar.

“Ketika saya berada di atas pentas, senyuman lebar, gerak-geri spontan dan segala yang penonton lihat itu sebenarnya tidak pernah dirancang. Itulah diri saya yang sebenar.

“Saya rasa sisi ceria dan sedikit ‘gila-gila’ itu akan sentiasa ada kerana saya sangat suka melihat orang lain gembira.

“Setiap kali membuat persembahan, saya berharap penonton dapat melupakan seketika segala masalah yang sedang mereka hadapi dan nikmati detik (persembahan) itu bersama saya.

“Walaupun hanya untuk beberapa minit, saya mahu mereka pulang dengan rasa bahagia,” kongsi Shae.

Walaupun perjalanan Shae terhenti pada peringkat separuh akhir GV12, beliau menemukan sisi dirinya yang tidak cepat berputus asa dan akan bekerja keras untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

“Mungkin ramai juga yang menyedari, kebanyakan masa di GV12, Shae selalu berada di kedudukan terendah.

“Namun, Alhamdulillah, saya dapat bertahan hingga peringkat separuh akhir. Walaupun ada masanya saya hampir pulang, saya tidak lemah semangat atau bersedih.

“Saya seorang yang cekal dan tidak mudah berputus asa. Apa pun, semua yang berlaku ini adalah dengan izin Allah,” ceritanya, yang menemukan perspektif baharu dalam muzik setelah GV12.

Mengulas perubahan landskap industri muzik yang kini menyaksikan ramai artis mempunyai lebih kebebasan dalam mengurus dan memiliki karya sendiri, Shae mengakui masih menantikan perkembangan tertentu dari sudut perundangan yang berkemungkinan membolehkannya kembali menyampaikan lagu terkenalnya, Sayang.

Pada masa sama, Shae tidak terlalu terikat dengan soal pemilikan mutlak sebuah karya kerana percaya muzik merupakan hasil usahasama pelbagai pihak dan akhirnya menjadi milik khalayak yang menghayatinya.

“Saya masih menunggu undang-undang baharu (dalam bidang muzik) di Malaysia berkuat kuasa.

“Buat masa ini, saya hanya menunggu peguam saya menghubungi saya dengan berita baik.

“Bagi saya, soal pemilikan lagu bukan sesuatu yang terlalu saya fikirkan.

“Apabila sesebuah lagu sudah dihasilkan, ia bukan lagi milik seorang individu semata-mata, tetapi menjadi milik dunia.

“Muzik lahir daripada usaha ramai orang yang bekerjasama menjayakannya.

“Apabila semuanya selesai, kita serahkan kembali kepada Allah. Pada akhirnya, segala-galanya adalah milik-Nya,” ujar Shae.