Topik diikuti
Pergi ke BHkuBerbekal nama ‘Anugrah’, Chariska mahu cipta identiti sendiri di pentas ‘Anugerah’
Tidak kejar vokal tinggi, anak Eka Mairina pilih pendekatan Gen Z lebih ‘groovy’
Berbekal nama ‘Anugrah’, Chariska mahu cipta identiti sendiri di pentas ‘Anugerah’
Hubungan bakat muda, Chariska Diva Anugrah, dengan program adu bakat setempat, Anugerah, sebenarnya bermula sebelum dirinya dilahirkan lagi.
Ketika ibunya yang juga Juara Anugerah 2003, Eka Mairina, kini 48 tahun, menyertai pertandingan itu, Chariska masih berada dalam kandungan.
Kenangan Eka bertanding dalam peraduan itu turut diabadikan dalam nama belia genit ini.
Lebih dua dekad kemudian, Chariska, 22 tahun, kini mengikut jejak ibunya di pentas sama, namun tampil dengan identiti tersendiri menerusi gaya nyanyian yang bertenaga dan berentak ‘groovy’ atau mengasyikkan, sekali gus berusaha mencipta nama tanpa sekadar bersandarkan legasi Eka.
“Berbanding ibu yang lebih menyerlah dari segi teknik dan kekuatan vokal, saya rasa kekuatan saya pula lebih kepada gaya nyanyian yang ‘groovy’.
“Saya sedar saya bukan penyanyi dengan kemampuan vokal seperti Mariah Carey.
“Masih banyak yang perlu saya latih dan perbaiki, terutama untuk memperkuatkan vokal.
“Dahulu, saya pernah terfikir mungkin saya tidak cukup berbakat.
“Tetapi kemudian saya sedar, bukan saya tidak berbakat, cuma kekuatan saya terletak pada ruang yang berbeza.
“Saya masih boleh terus berlatih, berkembang dan mencari identiti sendiri sebagai penyanyi,” katanya kepada Berita Minggu (BM), ketika ditemui di Mediacorp Campus baru-baru ini.
Berbeza dengan Eka yang dikenali menerusi vokalnya yang lantang dan bernada tinggi, Chariska membawa pendekatan lebih segar dan dekat dengan cita rasa generasi masa kini.
Identiti pentasnya turut mencuri perhatian menerusi cara jalan penuh gaya, gerak tari bertenaga serta lirikan mata tajam ketika membawakan lagu Gatal, nyanyian asal Janna Nick, pada pusingan pertama Anugerah 2026.
Ia disiarkan secara langsung dari Mediacorp Campus menerusi saluran Mediacorp Suria, pada 25 Ogos lalu.
Meskipun dorongan Eka menjadi antara pencetus keberaniannya menyertai Anugerah 2026, Chariska menegaskan keputusan untuk bertanding lahir atas kemahuannya sendiri apabila rasa sudah tiba masa untuk membawa minat nyanyiannya ke tahap lebih serius.
Sebelum ini, anak sulung dalam keluarga tiga beradik itu, pernah muncul sebagai antara 10 finalis dalam adu bakat anjuran Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 3.0, pada 2022.
Masih hijau dalam bidang nyanyian, Chariska, bagaimanapun, mengakui bertuah mempunyai ibu yang lebih berpengalaman untuk dijadikan tempat bertukar pandangan dan mendapatkan bimbingan.
“Bukan ibu yang memaksa saya menyertai Anugerah.
“Saya sendiri rasa sekarang adalah waktu yang tepat untuk mencuba.
“Pertandingan berbeza daripada persembahan biasa-biasa.
“Jadi, kita kena lebih bijak memilih lagu yang sesuai dengan tona, julat vokal dan kemampuan sendiri.
“Walaupun saya banyak berbincang dengan Mummy (panggilan buat Eka), beliau tetap memberi kebebasan kepada saya membuat pilihan sendiri.
“Saya mahu setiap persembahan (dalam Anugerah) menunjukkan siapa Chariska sebagai seorang penyanyi,” ujar mahasiswi jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Nasional Singapura (NUS), itu.
Pertandingan, ‘Anugerah 2026’, boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria, setiap Selasa, bermula 8.30 malam. Ia juga boleh ditonton di aplikasi mewatch.
