Selepas hampir sedekad, penyanyi tempatan, yang juga juara Anugerah 2005, Hyrul Anuar, kembali menggalas amanah sebagai mentor dalam pertandingan realiti terbitan Mediacorp Suria, Anugerah 2026.

Kali terakhir penyanyi lagu Letih itu menggalas peranan sebagai mentor dalam pertandingan berkenaan adalah pada Anugerah 2017.

Berita Minggu (BM) menghubungi Hyrul, 40 tahun, menerusi WhatsApp bagi mendapatkan pandangannya mengenai peranan sebagai mentor serta harapannya terhadap peserta Anugerah 2026.

Soalan (S): Bagaimanakah peranan Hyrul selaku mentor dalam pertandingan realiti, Anugerah 2026?

Hyrul: Sebagai mentor, saya ingin berkongsi pengalaman sebagai bekas peserta (dalam Anugerah 2005), tentang cabaran yang bakal mereka hadapi, cara mengurus tekanan, membina keyakinan diri dan yang paling penting, bagaimana berkembang menjadi penghibur yang lengkap.

Saya harap dapat membantu mereka ‘menyembunyikan’ kekurangan dan menyerlahkan kekuatan serta identiti mereka sendiri.

S: Berdasarkan pengalaman Hyrul sebagai peserta sebelum ini, apakah penambahbaikan yang ingin dilihat dalam edisi kali ini?

Hyrul: Saya ingin melihat peserta diberikan lebih banyak ‘ownership’ (tanggungjawab) terhadap persembahan mereka.

Saya rasa menarik jika mereka diberi lebih kebebasan bagi mengemukakan idea kreatif, dengan pasukan penerbitan bekerjasama merealisasikan visi tersebut.

Kini, untuk lebih menonjol dalam industri hiburan, ia bukan lagi tentang vokal semata-mata.

Ia tentang keseluruhan pakej termasuk, penguasaan pentas, ‘showmanship’ (daya tarikan pentas), cara bercerita melalui persembahan dan bagaimana mereka membina identiti sebagai seorang artis.

Saya juga berharap peserta lebih berani keluar dari zon selesa.

Ramai yang sangat selesa menyanyi di media sosial atau dalam suasana yang terkawal.

Namun begitu, pentas besar memerlukan tenaga, keyakinan dan kehadiran yang berbeza.

Saya mahu lihat mereka berani mengambil risiko dan menjadi versi terbaik diri mereka sendiri, bukan sekadar meniru penyanyi yang mereka minati.

S: Adakah terdapat aspek tertentu yang anda rasa kurang diberi perhatian dahulu, yang boleh membantu peserta mengembangkan potensi mereka?

Hyrul: Saya rasa dahulu banyak tumpuan diberikan kepada aspek nyanyian, tetapi untuk berjaya dalam industri hiburan, ia memerlukan lebih daripada sekadar suara yang baik.

Peserta juga perlu dibimbing tentang cara membawa diri di atas pentas, mengawal perhatian penonton, membina personaliti sebagai penghibur dan mengasah kemahiran komunikasi mereka.

Ada kalanya, perkara kecil seperti bahasa tubuh, cara komunikasi ketika temu bual atau berinteraksi dengan pihak media dan peminat, boleh menjadi faktor yang membezakan mereka daripada peserta lain.

Pada akhirnya, orang tidak hanya mengingati suara kita.

Mereka lebih mengingati siapa diri kita sebagai seorang artis, yang dicorakkan daripada disiplin dan keperibadian kita sendiri.