Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarga minyak capai paras tertinggi sejak Jun 2022
Harga minyak capai paras tertinggi sejak Jun 2022
Ini susulan laporan Trump pertimbang serang Iran
Harga minyak capai paras tertinggi sejak Jun 2022
Harga minyak mencapai paras tertinggi baru pada 30 April selepas laporan bahawa tentera Amerika Syarikat akan memberi taklimat kepada Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengenai kemungkinan tindakan terhadap Iran.
Ini juga selepas beliau memberi isyarat tidak akan menghentikan sekatan tentera laut ke atas pelabuhan Iran.
Minyak mentah Brent, penanda aras minyak sedunia, melonjak 6.9 peratus kepada AS$126.20 ($170.37) setong pada 12.19 tengah hari waktu Singapura, selepas mencapai paras tertinggi sejak Jun 2022.
Penanda aras Amerika, West Texas Intermediate, meningkat 3.1 peratus kepada AS$110.23.
Encik Trump berkata kepada Axios bahawa sekatan laut tidak akan ditarik balik sehingga perjanjian nuklear dicapai dengan Iran.
Laporan berasingan menyatakan Komand Pusat Amerika (Centcom) akan membentangkan pelan ketenteraan yang bakal dilaksanakan pada 30 April.
Amerika meningkatkan tekanan terhadap Teheran dengan berusaha melucutkan hak dua kapal tangki minyak yang dikaitkan dengan Iran yang dirampas oleh tentera laut Amerika sedang pihak Amerika cuba menghalang penjualan minyak mentah Iran.
Tentera Amerika juga meminta penghantaran peluru berpandu hipersonik ke Timur Tengah, menandakan kali pertama senjata tersebut digunakan.
Selat Hormuz telah ditutup sejak akhir Februari lalu, menyekat aliran minyak mentah, gas asli dan produk petroleum serta menaikkan harga tenaga.
Pada 28 April, Encik Trump membincangkan langkah melanjutkan sekatan sambil mengurangkan kesan kepada pengguna Amerika dalam satu mesyuarat dengan eksekutif minyak dan perdagangan, menurut Rumah Putih.
Pegawai Iran kekal bertegas. Encik Mohsen Rezaee, penasihat ketenteraan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, memberi amaran Iran akan bertindak balas jika sekatan diteruskan.
Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menuduh Encik Trump cuba memaksa Teheran menyerah kalah melalui tekanan ekonomi dan perpecahan dalaman, lapor agensi berita Tasnim.
Encik Robert Rennie, Ketua Penyelidikan Komoditi di Westpac Banking, berkata:
“Trump telah menyingkirkan pelindung keselamatan pasaran – bahawa harapan perang hampir berakhir.”
“Pedagang kini menghadapi hakikat lebih buruk: kededua pihak masih merasakan mereka menang, tiada dorongan untuk berunding, dan harga tenaga semakin meningkat.”
Sekatan di Selat Hormuz oleh Amerika dan Iran mengurangkan perjalanan harian kapal menjadi hampir sifar.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyifatkan konflik ini sebagai kejutan bekalan terbesar dalam sejarah, manakala Vitol Group menganggarkan kehilangan bekalan sekitar satu bilion tong.
Pentadbiran Trump kini meminta negara lain menyertai gabungan antarabangsa bagi membolehkan pelayaran melalui Selat Hormuz, menurut laporan Wall Street Journal. Ia memetik kabel dalaman Jabatan Negara yang dihantar ke kedutaan Amerika pada 28 April.
Eksport minyak mentah Amerika melonjak ke paras rekod minggu lalu apabila pembeli sedunia beralih kepada pengeluar Amerika untuk menggantikan bekalan dari Timur Tengah.
Penghantaran eksport minyak mentah Amerika ke luar negara meningkat melebihi enam juta tong sehari, mengatasi rekod sebelumnya iaitu hampir 5.3 juta tong sehari yang dicapai pada akhir 2023. – Agensi berita.
