Topik diikuti
Pergi ke BHkuLaporan: Trump arah sekatan Selat Hormuz dilanjut
Laporan: Trump arah sekatan Selat Hormuz dilanjut
Pakistan jangka Iran kemuka cadangan baru tamatkan perang dalam beberapa hari mendatang
Laporan: Trump arah sekatan Selat Hormuz dilanjut
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilaporkan mengarahkan pembantunya bersiap sedia melanjutkan sekatan laut Amerika di Selat Hormuz, ketika Washington berusaha meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Iran selepas perang memasuki bulan ketiga.
Menurut laporan The Wall Street Journal, Encik Trump membuat keputusan itu dalam beberapa pertemuan bersama pegawai kanan pentadbirannya.
Langkah tersebut bertujuan terus menekan keupayaan Iran mengeksport minyak dengan menghalang kapal yang menuju ke atau keluar dari pelabuhan republik Islam itu.
Akhbar berkenaan melaporkan keputusan itu dibuat pada malam 28 April, selepas Encik Trump menilai bahawa sekatan laut yang berpanjangan adalah pilihan yang kurang berisiko berbanding menyambung semula serangan bom ke atas Iran atau menarik Amerika sepenuhnya daripada konflik tersebut.
Keputusan itu menunjukkan Washington mungkin sedang bergerak ke arah fasa konflik yang lebih panjang, dengan pertempuran besar sebahagian besarnya terhenti tetapi tanpa penyelesaian kekal.
Pada masa yang sama, status laluan kapal melalui Selat Hormuz kekal tidak menentu.
Amerika sebelum ini menyekat kapal yang menuju ke dan dari pelabuhan Iran bagi menekan hasil minyak negara itu.
Iran pula terus menutup selat berkenaan kepada hampir semua trafik lain.
Pada 28 April, Encik Trump berkata Iran meminta Amerika menarik balik sekatan laut di Selat Hormuz ketika kedua-dua pihak berunding bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan dan menggugat bekalan tenaga sejagat.
Menurut Encik Trump, Teheran mahu laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas itu dibuka “secepat mungkin” ketika kepimpinannya berdepan tekanan besar.
“Mereka mahu Selat Hormuz dibuka secepat mungkin, ketika mereka cuba menyelesaikan keadaan kepimpinan mereka,” kata Encik Trump dalam hantaran di Truth Social.
Beliau turut mendakwa Iran kini berada dalam “keadaan runtuh”.
Iran dilaporkan memberi isyarat ia mungkin bersedia menerima perjanjian sementara untuk membuka semula Selat Hormuz sebagai pertukaran kepada langkah Washington menamatkan sekatan ke atas pelabuhan Iran.
Rundingan yang lebih rumit mengenai program nuklear Iran pula akan ditangguhkan ke peringkat seterusnya.
Namun, Teheran tetap mahu mengekalkan sebahagian kawalan terhadap pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, satu tuntutan yang dijangka sukar diterima Washington.
Menurut The Wall Street Journal, Encik Trump menolak tawaran itu dan memberitahu pembantunya, cadangan Iran menunjukkan Teheran tidak berunding dengan niat baik.
Dalam perkembangan berkaitan, CNN melaporkan pengantara di Pakistan menjangkakan Iran akan mengemukakan cadangan baru untuk menamatkan perang dalam beberapa hari akan datang, memetik sumber yang rapat dengan proses rundingan.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata tawaran Iran untuk menamatkan perang adalah lebih baik daripada yang dijangkakan Washington.
“Tawaran itu lebih baik daripada apa yang kami fikir mereka akan kemukakan,” katanya kepada Fox News.
Namun, Encik Rubio berkata Rumah Putih masih mempunyai persoalan mengenai sama ada pihak yang mengemukakan cadangan itu benar-benar mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Beliau berkata Amerika masih menilai “sama ada orang yang mengemukakannya mempunyai kuasa untuk mengemukakannya,” sekali gus mengulangi dakwaan Washington bahawa kepimpinan Iran berpecah mengenai strategi rundingan.
Kebuntuan diplomatik itu terus memberi kesan besar kepada pasaran tenaga.
Harga minyak mentah Brent meningkat untuk sesi ketujuh berturut-turut dan ditutup melebihi AS$111 ($141) setong, ketika kebimbangan semakin meningkat bahawa proses damai yang berpanjangan boleh menyebabkan Selat Hormuz kekal tertutup untuk tempoh yang tidak menentu.
Selat Hormuz ialah antara laluan tenaga paling penting di dunia.
Sebelum konflik bermula, kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair sejagat melalui perairan tersebut.
Namun kini, laluan strategik itu hampir lumpuh.
Kesan perang itu turut dapat dilihat apabila Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan pada 28 April ia akan keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) dalam langkah yang memberi tamparan kepada kumpulan pengeluar minyak itu dan peneraju utamanya, Arab Saudi.
UAE mempunyai keupayaan menghasilkan lebih banyak minyak mentah berbanding jumlah yang dibenarkan di bawah kuota Opec.
Negara itu sudah lama tidak berpuas hati dengan sekatan pengeluaran yang dikenakan kumpulan tersebut.
Menteri Tenaga UAE, Encik Suhail Al Mazrouei, berkata keputusan itu dibuat pada masa yang sesuai kerana pasaran ketika ini masih kekurangan bekalan.
“Keputusan itu dibuat pada masa yang tepat pada pandangan kami kerana ia tidak akan memberi kesan besar kepada pasaran: pasaran sedang kekurangan bekalan,” katanya.
Menurut beliau, Abu Dhabi percaya kekurangan bekalan akibat perang memerlukan negara pengeluar bertindak lebih tangkas bagi memenuhi permintaan pasaran.
Amerika dan Iran memulakan gencatan senjata sekitar 7 April, tetapi permusuhan masih boleh tercetus semula jika kedua-dua pihak gagal bersetuju meneruskan rundingan.
Pusingan pertama rundingan di Pakistan pada pertengahan April berakhir tanpa keputusan muktamad.
Kebuntuan itu turut menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pemimpin asing, khususnya kerana penutupan Selat Hormuz sudah menyebabkan catuan bahan api di banyak negara Asia dan Afrika serta meningkatkan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi sejagat. – Agensi berita.
