Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump dijangka diberi taklimat pelan serangan baharu ke atas Iran
Trump dijangka diberi taklimat pelan serangan baharu ke atas Iran
Trump dijangka diberi taklimat pelan serangan baharu ke atas Iran
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dijangka menerima taklimat mengenai beberapa pelan baharu bagi tindakan ketenteraan terhadap Iran ketika Washington menilai pilihan untuk memecahkan kebuntuan rundingan nuklear dan membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Menurut laporan Axios pada 28 April, taklimat itu dijadualkan berlangsung pada 30 April dan akan disampaikan oleh Komand Pemerintah Pusat Amerika (Centcom), Laksamana Brad Cooper.
Laporan itu, yang memetik beberapa sumber tidak dinamakan, berkata taklimat berkenaan menunjukkan Encik Trump sedang mempertimbangkan dengan serius kemungkinan menyambung semula operasi tempur besar-besaran sama ada untuk menekan Iran kembali ke meja rundingan atau melancarkan pukulan akhir sebelum perang ditamatkan.
Rumah Putih tidak segera memberikan respons terhadap permintaan untuk mengulas laporan tersebut.
Menurut Axios, Centcom sudah menyediakan pelan serangan “singkat dan besar” ke atas Iran, yang berkemungkinan menyasarkan prasarana negara itu.
Matlamat serangan itu adalah untuk meningkatkan tekanan terhadap Teheran supaya lebih fleksibel dalam rundingan mengenai program nuklearnya.
Sumber yang dipetik laporan itu berkata Washington berharap serangan sedemikian dapat memaksa Iran kembali ke meja rundingan dengan pendirian yang lebih lembut mengenai isu nuklear.
Satu lagi pelan yang dijangka dibentangkan kepada Encik Trump ialah operasi untuk mengambil alih sebahagian Selat Hormuz bagi membuka semula laluan itu kepada kapal komersial.
Menurut laporan berkenaan, operasi sedemikian mungkin melibatkan penggunaan tentera darat.
Selat Hormuz menjadi tumpuan utama dalam konflik antara Amerika, Israel dan Iran kerana laluan sempit itu merupakan antara laluan tenaga paling penting di dunia.
Penutupan atau gangguan di selat itu boleh menjejas penghantaran minyak dan gas global, sekali gus memberi kesan besar kepada harga tenaga dunia.
Axios turut melaporkan bahawa satu lagi pilihan yang mungkin dibincangkan ialah operasi pasukan khas untuk menguasai dan melindungi simpanan uranium diperkaya tinggi milik Iran.
Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika, Jeneral Dan Caine, juga dijangka menghadiri taklimat tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika Encik Trump memberitahu Axios pada 29 April bahawa beliau melihat sekatan laut terhadap Iran sebagai “agak lebih berkesan daripada pengeboman”.
Dua sumber memberitahu Axios bahawa Encik Trump kini melihat sekatan laut sebagai sumber tekanan utama terhadap Iran.
Namun, beliau masih boleh mempertimbangkan tindakan ketenteraan jika Teheran terus enggan mengalah.
Perancang ketenteraan Amerika juga dilaporkan sedang menilai kemungkinan Iran melancarkan tindakan ketenteraan terhadap pasukan Amerika di rantau itu sebagai tindak balas terhadap sekatan laut.
Laporan itu turut menyebut bahawa Laksamana Cooper pernah memberikan taklimat serupa kepada Encik Trump pada 26 Februari, dua hari sebelum Amerika dan Israel melancarkan perang terhadap Iran.
Seorang sumber yang rapat dengan Encik Trump berkata taklimat ketika itu menyumbang kepada keputusan Presiden untuk berperang.
Taklimat baharu ini muncul ketika rundingan antara Washington dan Teheran masih buntu. Iran menuntut agar sekatan laut Amerika ditamatkan sebelum sebarang persetujuan dicapai, manakala pentadbiran Trump terus menekan Teheran supaya memberi konsesi dalam isu nuklear dan kawalan Selat Hormuz.
Sekiranya Encik Trump memilih untuk melaksanakan salah satu pelan tersebut, ia boleh menandakan peningkatan besar dalam konflik yang sudah pun memberi kesan kepada keselamatan serantau, pasaran minyak dunia dan hubungan Amerika dengan sekutunya.
Buat masa ini, belum jelas sama ada taklimat itu akan membawa kepada keputusan segera. Namun, laporan tersebut menunjukkan Washington sedang menyediakan beberapa pilihan ketenteraan sekiranya strategi sekatan laut gagal memaksa Iran mengubah pendirian. - Agensi berita
