Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump: Sekatan laut ke atas Iran boleh berlarutan berbulan-bulan, harga minyak melonjak
Trump: Sekatan laut ke atas Iran boleh berlarutan berbulan-bulan, harga minyak melonjak
Trump: Sekatan laut ke atas Iran boleh berlarutan berbulan-bulan, harga minyak melonjak
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata sekatan laut Amerika terhadap Iran boleh berlarutan selama beberapa bulan, ketika harga minyak pada 29April melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun.
Kenyataan itu dibuat ketika usaha diplomatik antara Washington dan Tehran terus buntu selepas beberapa percubaan rundingan gagal membuahkan hasil. Encik Trump turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, yang memberi amaran mengenai “kesan merosakkan” jika Amerika Syarikat dan Israel menyambung semula perang terhadap Iran.
Dalam pertemuan dengan eksekutif minyak pada Selasa, Encik Trump berhujah bahawa sekatan ke atas pelabuhan Iran lebih berkesan berbanding pengeboman. Tehran sebelum ini menegaskan bahawa sekatan itu mesti ditamatkan terlebih dahulu sebelum sebarang perjanjian boleh dicapai.
Seorang pegawai Rumah Putih, yang bercakap tanpa mendedahkan nama, berkata Encik Trump membincangkan usaha untuk “meredakan tekanan terhadap pasaran minyak global” serta langkah yang boleh diambil bagi meneruskan sekatan sedia ada selama beberapa bulan jika perlu, sambil mengurangkan kesannya terhadap pengguna Amerika.
Encik Trump, dalam wawancara dengan Axios, menggunakan bahasa keras terhadap Iran.
“Mereka sedang tersekat seperti babi yang disumbat. Dan keadaan akan menjadi lebih buruk untuk mereka,” katanya mengenai tindakan laut Amerika terhadap Iran.
Harga niaga hadapan minyak Brent melonjak lagi 7.6 peratus kepada AS$119.69 (S$152.72) setong, paras tertinggi sejak peringkat awal perang Ukraine pada 2022.
Iran pula cuba mengenakan tekanan balas selepas diserang dengan memperketat kawalan ke atas Selat Hormuz, laluan sempit yang biasanya membawa kira-kira satu perlima aliran minyak dunia.
Encik Trump kini berdepan tekanan politik yang semakin kuat untuk menamatkan perang. Konflik itu tidak popular, termasuk dalam kalangan sebahagian penyokong beliau sendiri, selain meningkatkan kos pengguna Amerika di stesen minyak dan membimbangkan sekutu-sekutu Washington.
Pada 29 April Encik Trump turut mengecam Canselor Jerman, Friedrich Merz, dan mengancam untuk mengurangkan jumlah tentera Amerika di Jerman. Ancaman itu dibuat susulan keengganan Berlin menyokong perang di Iran atau menyumbang kepada pasukan pengaman di Selat Hormuz.
Encik Merz menjadi sasaran kemarahan Encik Trump selepas berkata awal minggu ini bahawa Iran sedang “memalukan” Washington di meja rundingan.
Pegawai kanan Amerika, termasuk Naib Presiden JD Vance, dilaporkan dua kali membatalkan lawatan ke Pakistan minggu lalu untuk berunding dengan Iran. Teheran pula menyuarakan keraguan terhadap keikhlasan Encik Trump dalam usaha diplomasi.
Pegawai Amerika berkata mereka tidak pasti siapa sebenarnya yang kini bercakap bagi pihak Iran, sama ada diplomat atau Kor Pengawal Revolusi yang lebih tegas dan semakin berpengaruh selepas beberapa pemimpin tertinggi Iran terbunuh dalam serangan Israel.
Dalam perkembangan berkait, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) memberi amaran bahawa perang itu, yang turut menyebabkan harga baja melonjak, boleh menjerumuskan lebih 30 juta orang ke dalam kemiskinan di 160 negara.
“Ini pembangunan yang bergerak ke belakang,” kata Ketua UNDP, Alexander De Croo, kepada AFP.
Walaupun kerajaan Iran terus menunjukkan ketegasan, mata wang rial jatuh ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika.
Penduduk Teheran yang bercakap kepada wartawan AFP di Paris menggambarkan suasana putus asa dalam kalangan rakyat biasa.
“Setiap kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini rundingan diadakan, keadaan ekonomi rakyat hanya menjadi lebih buruk. Sekatan sama ada bermula atau diperketat,” kata seorang arkitek berusia 52 tahun yang bercakap tanpa mendedahkan nama.
“Mereka pergi berunding dan pulang dengan lebih banyak sekatan, dan isunya sentiasa nuklear. Tiada perbincangan mengenai rakyat, ekonomi atau kebebasan. Rakyat berhak untuk tidak mahu lagi mendengar perkataan ‘rundingan’,” katanya.
Iran mencadangkan untuk melonggarkan kawalannya ke atas Selat Hormuz sekiranya Washington menarik balik sekatan laut dan rundingan lebih luas diadakan. Namun, pentadbiran Trump dilaporkan memandang cadangan itu dengan penuh keraguan.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang muncul sebagai tokoh penting sejak perang bermula, berkata pada Rabu bahawa sekatan laut Amerika bertujuan mencetuskan perpecahan dalam negara itu.
Menurut beliau, matlamat Washington adalah untuk “membuat kami runtuh dari dalam.”
Ketegangan juga terus berlaku di medan perang Lebanon, walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah yang disokong Iran baru-baru ini dilanjutkan. Hezbollah sebelum ini menyeret Lebanon ke dalam perang dengan melancarkan roket ke arah Israel, sebelum Israel membalas dengan serangan udara dan pencerobohan darat.
Buat pertama kali sejak gencatan senjata bermula, tentera Lebanon berkata pada Selasa bahawa serangan Israel menyasarkan anggotanya, menyebabkan dua askar cedera di selatan negara itu. Satu lagi serangan pada Rabu membunuh seorang askar Lebanon, menurut tentera negara itu.
Presiden Lebanon, Joseph Aoun, berkata Israel perlu memahami bahawa keselamatan hanya boleh dicapai melalui rundingan.
“Israel akhirnya mesti sedar bahawa satu-satunya jalan kepada keselamatan ialah melalui rundingan, tetapi ia mesti terlebih dahulu melaksanakan sepenuhnya gencatan senjata sebelum bergerak kepada rundingan,” katanya dalam satu kenyataan.“Serangan Israel tidak boleh terus berlaku seperti sekarang,” katanya.
Sementara itu, satu laporan yang disokong PBB pada 29 April berkata lebih 1.2 juta orang di Lebanon dijangka berdepan kelaparan akut akibat perang terbaharu itu. - Agensi berita
