Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenyingkap hikmah dan anugerah kehidupan
Di syurga, segala yang disediakan hanyalah untuk dinikmati semata-mata
Menyingkap hikmah dan anugerah kehidupan
Artikel ini adalah ringkasan berdasarkan kuliah dan kupasan hadis daripada kitab, ‘300 Hadis Bimbingan’, yang disampaikan oleh mantan Mufti, Ustaz Mohamed Fatris Bakaram. Ia merupakan sebahagian program, ‘Santunan Emas’, di Masjid Al-Muttaqin, di Ang Mo Kio, yang bertujuan menggalak kesejahteraan dalam kalangan warga emas.
Mari kita lupakan sejenak kesibukan, kesusahan, kerisauan hidup di dunia ini untuk merenung satu lagi hadis nabi tentang syurga.
Memikirkan syurga mampu melahirkan rasa rindu kepada Allah.
Ia mampu menjadikan kita sebagai hamba Allah yang lebih baik, insyallah.
Sabda Rasulullah saw:
“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sejenis pohon yang mana jika seorang penunggang melaluinya, dia akan terus berada di bawah naungan pohon itu (belum melepasinya) meskipun selama 100 tahun .”
Di dalam syurga nanti ada teduhan? Teduh dari apa? Panasnya mentari? Hujan?
Allah swt berfirman: Mereka tidak nampak di situ adanya matahari, dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk. (Surah Al-Insan, ayat 13)
Jika di dalam syurga tiada rasa panas, tiada rasa sejuk, tiada rasa lapar, tiada rasa penat, maka apa guna nikmat-nikmat di dalamnya?
Di syurga nanti, segala yang disediakan hanyalah untuk dinikmati semata-mata. Ia secara mutlak adalah pemberian Allah kepada hamba-hamba-Nya.
Kenikmatannya tidak seperti di dunia.
Jika kita bayangkan, boleh tidak sekiranya Allah tidak menyiapkan makanan di syurga nanti kerana kita tidak akan lapar? Jawapannya, boleh.
Namun Allah tetap menyediakan segala nikmat di dalam syurga, bukan atas dasar keperluan. Tetapi atas dasar kecintaan Allah dan ingin memuliakan hamba-Nya.
Walaupun sesetengah daripada kita akan cari Allah ketika bila hanya ada keperluan.
Apabila sudah dipenuhi keperluan tersebut, maka berakhirnya tahajud, sujud yang lama, air mata semasa di dalam munajat, dan tangan yang menadah memohon kepada Allah.
Tetapi Allah yang sifat-Nya Ar-Rahman Ar-Rahim, Maha Pengasih Maha Penyayang, tidak pernah mensia-siakan hambaNya.
Nikmat yang Allah beri adalah atas dasar sayang supaya kita bergembira, merasa senang, lalu bersyukur agar dapat Dia berikan lebih lagi kenikmatan itu.
Ujian pula diberi kerana cinta Allah kepada hamba-Nya.
Ujian mengajar kita bersabar, agar dibersihkan diri kita daripada dosa-dosa lalu, agar kita kembali dan lebih hampir kepada-Nya.
Harapannya supaya kita dapat dimasukkan ke syurgaNya.
Syukur aku tambah, kufur aku azab
Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras” (Surah Ibrahim: ayat 7)
Di sini harus kita faham, tambah itu tidak semestinya bertambah duit kita, bertambah kesihatan kita, hilang bisa-bisa di badan kita.
Sebaliknya bertambah kemurnian di hati kita, bertambah ketaatan kita pada Allah, bertambah sangka baik kita pada Allah.
Selain itu bertambah juga ketenangan dan kelapangan dalam hati kita, dan kita akan bertambah lebih syukur dan menikmati nikmat-nikmat yang diberi.
Semua itu juga tambahan nikmat – balasan Allah di atas kesyukuran kita di dunia, belum lagi ganjaran yang menanti di akhirat.
Sebaliknya apabila kita tidak bersyukur, kita merungut dan malah hanya tertumpu pada yang buruk-buruk dalam kehidupan, segala kesengsaraan yang dirasa, segala nikmat yang ditarik dari kita, maka azabNya amat pedih.
Bukan azab itu bermakna kita disambar petir atau meninggal secara tiba-tiba.
Ia juga bermakna jiwa kita menjadi sempit, fikiran kita tidak tenang, minda menjadi kacau, perasaan menjadi sedih, bahkan kualiti kehidupan kita bertambah lebih teruk. Semua itu juga azab.
Pilihan di tangan kita
Maka apakah yang kita inginkan dalam kehidupan?
Sama ada melihat segala pemberian sebagai kebaikan yang mendatangkan kesyukuran, atau melihat segala kesusahan yang mendatangkan rungutan?
Sebenarnya jika kita faham, segala nikmat yang ditarik juga adalah pemberian.
Contohnya kita yang dulu ligat, sihat dan kuat, tanpa masalah.
Sekarang dengan tenaga yang berkurangan, sendi yang sakit-sakit, selera makan berkurang, itu juga sebenarnya nikmat.
Pemberian Allah yang membataskan kita daripada membuat dosa, malah memberi peluang menambah amal, dan menggunakan tenaga kekuatan yang ada untuk menunaikan kewajipan.
Sabda Nabi saw: “Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir, maka (amal ibadah yang tidak dapat dilakukan) akan dicatat baginya seperti yang biasa ia lakukan ketika dalam keadaan mukim dan sihat.” (Sahih Bukhari)
Hadiah dari Allah
Usia tua ini sebenarnya hadiah dari Allah buat hamba-hamba-Nya, dan orang-orang tua itu bukan beban, bahkan sebenarnya adalah hadiah dari Allah buat sebuah masyarakat.
Merekalah antara sebabnya sesebuah kaum terhindar dari azab.
Diriwayatkan daripada Nabi saw:
“Bertenanglah terhadap Allah, bertenang, kalaulah bukan kerana bayi-bayi yang menyusu, orang-orang tua yang terbongkok-bongkok, dan haiwan-haiwan yang mencari makan, sudah pasti Allah menimpakan ke atas kamu azab.” (HR Tabrani, Baihaqi & Al-Bazzar).
Maka oleh itu, kita tidak boleh kita sisihkan warga tua kerana kelemahan mereka dan kurangnya sumbangan mereka secara zahir.
Namun sumbangan mereka secara rohani melalui doa-doa dan kewujudan mereka itu sendiri, adalah sesuatu yang mesti kita hargai.
Jangan membazir
Dalam kita menerima hadiah dari Allah, teruslah kita mensyukuri dan usah dibazirkan hadiah dan pemberian tersebut kerana membazir itu perbuatan saudara-saudara syaitan.
Apakah yang dimasudkan dengan membazir dalam hal ini? Antaranya dengan kita mensia-siakan hari-hari kita yang berbaki. Terlalu mengenangkan kesusahan yang ada, sehingga lupa mensyukuri nikmat yang masih dipinjamkan.
Mensia-siakan kewujudan warga senja dalam kalangan masyarakat dan keluarga tanpa memandang mereka sebagai rahmat, sebaliknya sebagai beban tanggungan.
Semoga Allah terus memurnikan hati kita, terus menjadikan kita hamba bersyukur, berfikiran positif, dan sentiasa mengharapkan kebaikan dari Allah yang Maha pemurah lagi maha Kaya.
Artikel ini disumbang oleh Masjid Al-Muttaqin.
