Topik diikuti
Pergi ke BHkuHayati pengajaran berguna daripada Piala Dunia
Hayati pengajaran berguna daripada Piala Dunia
Daripada gol saat akhir hingga semangat juang pasukan kecil, Piala Dunia ajar erti syukur, tabah dan jaya yang tidak diukur dengan trofi semata
Hayati pengajaran berguna daripada Piala Dunia
Ustaz Mohammad Hafiz Kusairi
Setiap kali saya ‘dijangkiti’ demam bola sepak baik ketika musim Liga Perdana England ataupun Piala Dunia, saya sering terkenang perkongsian guru saya iaitu Allahyarham Kiai Kassim Adnan, di dalam salah satu majlis ilmunya yang menyentuh tentang permainan bola sepak.
Ketika itu, rakyat Singapura baru ‘sembuh’ daripada demam bola sepak yang lebih dekat dari segi geografi iaitu demam Piala Malaysia pada 1994.
Allahyarham Kiai Kassim telah mengambil kesempatan daripada keadaan tersebut untuk membuat beberapa perumpamaan yang bukan sahaja menarik, malah, bermakna dan berkesan buat diri saya yang hadir ketika itu.
Antaranya, beliau menyatakan pemain yang menjadi sanjungan peminat adalah pemain yang tidak ‘lokek’ menawarkan peluang jaringan untuk dimanfaatkan teman-teman sepasukan.
Sebaliknya, mereka yang tamak dengan bola akan dicemuh oleh teman sepasukan dan penyokong sendiri.
Begitulah juga realiti kehidupan bagi mereka yang pemurah dengan harta mereka – mereka akan dihargai oleh Allah swt dan makhluk-Nya dan tidak dijauhi berbanding orang yang bakhil.
Rasulullah saw bersabda dalam hadis:
“Orang yang pemurah dekat dengan Allah, dekat dengan syurga, jauh dari neraka. Manakala orang yang bakhil jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh dari syurga dan dekat dengan neraka.” (HR At-Tirmizi).
Begitulah berhikmahnya guru-guru kita yang peka terhadap minat masyarakat dan memanfaatkan kecenderungan tersebut untuk membimbing mereka melihat serta menanggapi dunia dengan lebih baik.
Di sini, saya ingin menggunakan pendekatan yang serupa sempena Piala Dunia yang sedang berlangsung.
Sekurang-kurangnya, waktu yang kita luangkan bersengkang mata menyokong negara pilihan masing-masing tidak terbuang sia-sia, sebaliknya menjadi wadah untuk kita mengambil iktibar dan memperkasa mutu kehidupan kita.
Nilai usia terletak pada penghujungnya
Sejauh ini, terdapat lapan perlawanan yang menyaksikan gol kemenangan dijaringkan pada waktu kecederaan iaitu minit-minit terakhir perlawanan.
Antaranya ialah gol kemenangan Brazil ke atas Jepun pada minit ke-95; gol kemenangan Portugal ke atas Croatia pada minit ke-94; dan gol kemenangan Mikel Merino, untuk pasukan Sepanyol pada minit ke-91 yang menghantar Cristiano Ronaldo pulang ke Portugal tanpa menjulang Piala Dunia sepanjang kerjayanya.
Sering kali gol tersebut terhasil akibat kealpaan pemain yang kepenatan dan juga kehilangan tumpuan kerana mengharap waktu tambahan atau sepakan penalti dapat memberikan peluang yang lebih cerah untuk menang.
Dalam kehidupan yang singkat dan tidak menentu ini, penting untuk kita tidak hilang tumpuan terhadap tujuan penciptaan kita, iaitu beribadah kepada Allah swt dengan rendah hati, sebagaimana disebut dalam Surah Az-Dzariyat, ayat 56, di samping memakmurkan bumi ini dengan jasa dan bakti seperti yang termaktub dalam Surah Hud, ayat 61.
Sering kali kita terbuai dengan pelbagai nikmat – baik dari segi nikmat kebendaan seperti keluasan rezeki, mahupun nikmat yang bersifat kerohanian seperti kemudahan melaksanakan ketaatan – sehingga akhirnya kita menjadi lalai dan angkuh.
Akibatnya, keluasan rezeki yang kita perolehi tidak sedikit memanfaatkan orang lain dan kemudahan kita melaksanakan ketaatan pula menyebabkan kita mudah memandang rendah terhadap orang lain.
Ingatlah akan hadis Rasulullah saw yang mengingatkan kita tentang kepentingan berwaspada hingga ke hujung usaha iaitu usia kita:
“Demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya dalam kalangan kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan (Allah), lalu beliau melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah beliau ke dalam neraka.” (HR Muslim).
Kegagalan bukan pengakhiran, tetapi kejayaan tertunda
Tidak kurang juga dalam Piala Dunia ini, banyak perlawanan menyaksikan pasukan yang dibolosi terlebih dahulu akhirnya bangkit untuk meraih kemenangan.
Ia termasuk kemenangan England ke atas Congo dan kemenangan Brazil ke atas Jepun setelah tercicir satu gol.
Lebih dramatik lagi, Belgium berjaya menewaskan Senegal dan Argentina pula bangkit menundukkan Mesir meskipun pasukan itu ketinggalan dua gol terlebih dahulu.
Sebagaimana pengajaran pertama mengingatkan kita untuk tidak lalai dengan pencapaian kita kerana kejayaan hanya rasmi tercapai apabila kita mampu mengekalkan tumpuan terhadap matlamat penciptaan kita hingga ke nafas terakhir, demikian juga halnya ketika menghadapi kegagalan.
Mungkin sahaja kegagalan tersebut berupa kegagalan mencapai suatu matlamat yang ditetapkan di tempat kerja atau sekolah.
Lebih parah lagi, mungkin sahaja kegagalan yang menimpa diri kita berupa kegagalan menunaikan suatu tuntutan agama disebabkan kelalaian kita seperti meninggalkan ibadah solat dan puasa dengan sengaja.
Setiap kegagalan yang dibiarkan membelenggu jiwa dan anggota sehingga kita gagal bangkit memperbaiki punca yang membawa kepada kegagalan tersebut, merupakan kegagalan yang lebih besar daripada kegagalan asal.
Kegagalan untuk bangkit bermuhasabah tentang kegagalan di tempat kerja atau sekolah akan menyebabkan kita mengulangi kesilapan yang sama kerana takut untuk bersemuka dengan kesilapan dan kelemahan kita.
Begitu juga kegagalan berbaik sangka dengan Allah Yang Maha Pengampun dan memohon pengampunan-Nya akan menyebabkan kita berputus asa dan terus bergelumang dalam kubang dosa yang kita enggan keluar daripadanya.
Bukankah Allah swt telah berfirman dalam Surah Az-Zumar, ayat 53:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani’.”
Piala lebih bermakna daripada Piala Dunia
Di saat pertandingan ini menghampiri kemuncaknya, sebenarnya sudah muncul pemenang yang telah ditabalkan sebagai ‘juara’ walaupun mereka mungkin tidak pernah dianggap sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Dunia.
Jepun dan para penyokongnya, misalnya, telah menunjukkan teladan yang baik kepada dunia melalui keprihatinan terhadap kebersihan.
Para pemain memastikan bilik persalinan ditinggalkan dalam keadaan kemas dan rapi, lengkap dengan nota penghargaan, manakala para penyokong pula tanpa perlu diingatkan terus membersihkan kawasan tempat duduk mereka selepas perlawanan, tanpa mengira sama ada pasukan mereka menang atau tewas.
Ini merupakan satu amalan yang perlu menjadi rujukan utama rakyat Singapura yang masih perlu diingatkan untuk bertimbang rasa tentang soal penjagaan kebersihan di tempat awam.
Begitu juga dengan pasukan Cape Verde yang menunjukkan semangat juang yang sangat tinggi untuk melangkah ke pusingan kedua dan hampir-hampir mengejutkan juara bertahan, Argentina.
Dengan minda yang tidak mudah menyerah dan keyakinan diri yang tinggi sedangkan negara itu hanya mempunyai lebih kurang 524,000 penduduk dan merupakan peserta Piala Dunia kali pertama.
Dalam dunia yang cenderung menilai sesuatu kejayaan dengan pencapaian yang bersifat kebendaan, Jepun dan Cape Verde menunjukkan nilai mulia.
Ia merupakan ‘piala’ yang bukan sahaja dinikmati oleh 11 pemain di atas padang, bahkan oleh seluruh negara untuk generasi seterusnya.
Piala Dunia biasanya bertukar tangan setiap empat tahun, namun nilai murni akan sentiasa kekal dimiliki sesuatu masyarakat zaman-berzaman.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, saya tidak cenderung untuk terus menafikan kebaikan yang ada pada fenomena Piala Dunia.
Ini kerana terdapat kebaikan yang boleh kita garap daripadanya selagi mana kita tidak terbawa-terbawa mengikut perkembangannya sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah swt dan sesama ciptaan-Nya.
Piala Dunia mengajar kita agar sentiasa berwaspada terutama sekali ketika mengecapi sesuatu nikmat, tidak berputus asa ketika bertembung dengan kegagalan dan tidak membataskan kejayaan kepada pencapaian kebendaan semata-mata.
Semoga pengajaran yang dikongsi dapat kita julang tinggi kerana nilai inilah yang menjadi pemangkin kejayaan sesebuah masyarakat, sama ada mereka layak beraksi di Piala Dunia atau tidak.
Artikel ini ditulis ketika Piala Dunia masih lagi di pusingan ke-16. Penulis masih cuba menguatkan diri untuk mengambil iktibar daripada perlawanan yang berbaki walaupun pasukan pilihannya, Jerman, sudah terkeluar daripada pertandingan. Penulis ialah guru sejarah di sebuah institusi pendidikan tempatan. Beliau merupakan lulusan bidang Sejarah dengan ijazah kepujian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) dan diiktiraf Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).